Anda suka makan cendawan? Kali ini kami kongsikan khasiat cendawan Enoki. Cendawan Enoki turut dikenali sebagai cendawan Enokitake atau cendawan Enokidake. Selain itu, cendawan ini turut dikenali sebagai cendawan jarum emas atau cendawan musim sejuk.
Cendawan enoki berasal dari negara China, Jepun dan Korea. Kini, cendawan ini boleh didapati di banyak tempat di seluruh dunia. Orang cina mengenali cendawan ini sebagai “Jingu” manakala orang Korea memanggilnya sebagai “Paengi Beoseot”. Nama saintifik bagi cendawan enoki ialah Flammulina veluptipes.
Di Malaysia, cendawan ini mula mendapat tempat dan digunakan dalam banyak resepi seperti goreng celup tepung, dicampur dalam sambal tumis, dicampur dalam tomyam dan lain-lain lagi.

Kredit penulis: Jannoon028 melalui Freepik.com
Berikut adalah beberapa khasiat cendawan enoki untuk kesihatan kita berdasarkan kajian:
1. Kaya dengan nutrisi penting
Dalam 100gram cendawan ini, terdapat nutrient-nutrien berikut (1):
- Air: 88.34 gram
- Kalori: 37 kcal
- Protein: 2.66 gram
- Karbohidrat: 7.81 gram
- Serat: 2.7 gram
- Zat besi: 1.15 miligram
- Magnesium: 16 miligram
- Fosforus: 105 miligram
- Kalium: 359 miligram
- Zink: 0.65 miligram
- Selenium: 2.2 mikrogram
- Folat: 48 mikrogram
Selain itu, cendawan ini turut mengandungi vitamin B kompleks, vitamin E, vitamin D dan juga vitamin K.
Mineral-mineral dan vitamin-vitamin ini adalah antara komponen penting untuk mengekalkan sistem badan yang sihat.
2. Boleh melawan kanser atau tumor
Laporan menunjukkan kanser di Malaysia semakin meningkat. Bilangan kes baharu kanser yang dikesan dalam tempoh 2012 hingga 2016 mencatatkan 115 238 kes iaitu peningkatan sebanyak 11,731 kes berbanding lima tahun sebelumnya.
Satu kajian makmal yang dijalankan mendapati ekstrak cendawan ini boleh menghalang pertumbuhan sel kanser payudara. Ekstrak ini juga turut boleh mematikan sel-sel kanser payudara dan menghalang pembentukan koloni sel kanser (2).
Cendawan enoki ini juga mengandungi sebatian bioaktif yang didapati mempunyai kesan sitotoksik terhadap beberapa jenis kanser seperti kanser serviks, kanser hati, kanser payudara, kanser perut dan kanser paru-paru (3, 4).
3. Mengurangkan risiko penyakit jantung
Penyakit jantung merupakan salah satu penyakit kardiovaskular yang menjadi salah satu penyumbang kematian tertinggi di Malaysia. Penyakit jantung banyak dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol yang tinggi.
Cendawan enoki mempunyai sebatian seperti serat diet, polisakarida dan mycosterol yang diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan kolesterol.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak cendawan enoki boleh merendahkan kepekatan jumlah kolesterol, merendahkan trigliserida, kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dan nisbah kolesterol-LDL / kolesterol-HDL (kolesterol baik) (5).
Cendawan enoki juga turut mengandungi bahan yang dikenali sebagai lovastatin dan GABA boleh menghalang penghasilan kolesterol dan mengurangkan tekanan darah tinggi (6, 7).
4. Baik untuk memori
Penyakit Alzheimer adalah antara penyakit yang melibatkan kemerosotan memori dan kognitif.
Kajian makmal mendapati khasiat cendawan enoki juga turut merangkumi kemampuannya untuk menambahbaik keupayaan pembelajaran dan memori kumpulan haiwan yang dikaji dan melegakan tekanan pengoksidaan (8).
Kajian-kajian klinikal terhadap manusia diperlukan untuk mengetahui kesan sebenar cendawan ini terhadap fungsi pembelajaran dan memori manusia.
5. Meningkatkan fungsi imunisasi
Kajian mendapati cendawan enoki mempunyai sebatian protein yang boleh membantu meningkatkan imuniti. Sistem imuniti yang baik dapat mencegah badan kita daripada dijangkiti penyakit atau mendapat alahan.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati, protein yang terdapat dalam cendawan ini boleh melindungi haiwan tersebut daripada gejala alahan yang teruk seperti anafilaksis (9).
Kajian-kajian lain seterusnya juga turut menunjukkan kesan anti-alahan sebatian protein ini terhadap alahan saluran pernafasan (10, 11).
6. Mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat
Satu kajian pada 2010 mendapati ekstrak cendawan enoki mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Bacillus subtilis (12).
Kajian lain turut mendapati ekstrak metanol daripada cendawan ini menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis B. subtilis, Bacillus pumilus, S. aureus dan Pseudomonas aeruginosa (13).
Kajian pada 2016 oleh pengkaji dari Mexico pula mendapati ekstrak daripada cendawan enoki ini menghalang kulat jenis Sporothrix schenckii dan Candida albicans daripada melekatkan pada sel-sel kulit (14).
Kesimpulan
Sebenarnya banyak khasiat cendawan enoki yang boleh memberi manfaat untuk kesihatan kita. Cendawan ini menunjukkan potensi yang baik untuk menceah kanser, penyakit kardiovaskular, memori dan juga bersifat antibakteria serta antikulat.
Cendawan ini juga mudah untuk dimakan dan ditambah dalam diet harian kita.