Bunga telang ialah sejenis tumbuhan herba memanjat yang digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional. Khasiat bunga telang ini semakin mendapat perhatian kerana potensinya untuk digunakan dalam perubatan moden.
Pokok bunga telang ini berasal dari negara Asia dan telah tersebar ke negara-negara lain seperti Selatan dan Amerika Tengah, China dan India.
Nama saintifik bagi bunga telang adalah Clitoria ternatea. Bunga telang juga dikenali dengan beberapa nama lain di luar negara seperti Butterfly pea, Asian pigeonwings, Darwin pea dan Blue pea.
Bagi masyarakat Melayu di Malaysia, bunga telang ini digunakan dalam masakan seperti pewarna biru bagi nasi kerabu. Ada juga yang menggunakan bunga telang ini untuk dibuat minuman dan juga kuih-muih.
Perubatan tradisional India atau ayurveda menggunakan bunga telang sebagai tonik otak, antidepresi, antitekanan, antikeresahan dan juga sebagai ejen sedatif. [1]

Berikut ialah beberapa khasiat bunga telang yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.
1. Tinggi dengan Antioksidan
Antioksidan boleh membantu mencegah seseorang itu daripada terkena penyakit-penyakit kronik termasuklah kanser dengan melawan atau meneutralkan radikal bebas.
Antioksidan daripada tumbuhan boleh didapati daripada vitaminnya atau sebatian-sebatian fenolik dan flavanoid.
Bunga telang juga tinggi dengan kandungan antioksidan. Menurut kajian, kelopak bunga telang mengandungi sebatian antosianin iaitu salah satu sebatian dalam kumpulan flavanoid. [2]
Antosianin ini juga adalah sejenis antioksidan. Terdapat banyak kajian yang mengaitkan kebaikan antosianin ini dalam mencegah kanser, mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan meningkatkan memori atau fungsi kongnitif. [3]
2. Boleh Merawat Asma
Asma adalah salah satu penyakit pernafasan yang menyerang paru-paru. Asma atau turut dikenali sebagai lelah adalah penyakit yang berpanjangan yang sering berlaku terhadap kanak-kanak.
Simptom atau tanda-tanda asma boleh tercetus akibat daripada 3 perkara iaitu:
- senaman
- iritasi akibat bahan kimia, gas atau habuk
- alahan
Bunga telang digunakan dalam perubatan Ayurveda untuk merawat simptom-simptom penyakit asma.
Melihat potensi dan khasiat bunga telang ini, satu kajian terhadap haiwan pada tahun 2018 melaporkan bahawa ekstrak bunga telang boleh mengurangkan atau melemahkan simptom-simptom asma. [4]
3. Bersifat Antiradang
Makanan yang bersifat antiradang bermanfaat untuk mengurangkan keradangan yang berlaku dalam badan.
Keradangan yang berterusan (kronik) boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis (diabetes), penyakit jantung, sakit sendi dan juga alahan.
Kajian terhadap haiwan turut mendapati bunga telang juga boleh membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh dua bahan penyebab keradangan iaitu karaginan dan asid asetik. [4]
4. Baik untuk Pesakit Kencing Manis
Penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 ialah penyakit kronik yang melibatkan kadar gula atau glukosa yang tinggi dalam darah. Hormon insulin akan membantu membawa glukosa dalam darah kepada sel-sel badan di mana ia digunakan untuk tenaga.
Sel-sel badan penghidap kencing manis juga tidak bertindak balas kepada insulin seperti mana sepatutnya. Keadaan ini menyebabkan peningkatan paras gula darah yang tinggi.
Satu kajian klinikal kecil yang melibatkan 15 orang lelaki sihat mendapati pengambilan sukrosa (gula) bersama-sama 1 dan 2 gram ekstrak bunga telang boleh mengurangkan paras gula dalam darah dan kepekatan insulin. [5]
Ekstrak bunga telang juga dilaporkan boleh mengurangkan indeks glisemik bagi tepung. Kesan ini disebabkan oleh keupayaan ekstrak bunga telang untuk merencatkan enzim penghadam karbohidrat. [6]
Tepung biasanya mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Nilai indeks glisemik yang tinggi menandakan makanan tersebut menyebabkan peningkatan paras gula darah yang mendadak. Makanan yang tinggi indeks glisemik tidak bagus buat penghidap kencing manis.
5. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Biji atau biji benih bunga telang mengandungi protein yang bersifat antikulat dan didapati berkesan untuk mencegah jangkitan kulat yang selalu menjangkiti manusia seperti Candida spp. dan Cryptococcus spp. [7]
Kulat Candida boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj wanita manakala kulat Cryptococcus boleh menjangkiti paru-paru dan sistem saraf pusat.
Selain itu, daun dan kelopak bunga telang turut mempunyai khasiat mencegah jangkitan bakteria seperti bakteria Straphylococcus aureus. [8]
Bakteria jenis ini boleh menyebabkan jangkitan kulit, pneumonia, jangkitan pada tulang dan injap jantung.
6. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Seperti mana digunakan dalam perubatan tradisional, kajian perubatan moden turut melaporkan bahawa ekstrak bunga telang boleh meningkatkan fungsi otak.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak daripada akar pokok bunga telang boleh meningkatkan memori bagi subjek yang diuji. [9]
Manakala dalam satu kajian lain pula, ekstrak daun bunga telang didapati boleh melindungi otak daripada kemorosotan kognitif akibat penyakit kencing manis (diabetes). [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal yang dijalankan terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.
7. Boleh Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko seseorang itu terkena penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung, strok atau penyakit salur darah.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak biji dan akar bunga telang boleh menurunkan jumlah kolesterol, trigliserida, kolesterol vLDL (kolesterol jahat) dan kolesterol LDL (kolesterol jahat).
Kesan ini dipercayai disebabkan oleh peningkatan perkumuhan hempedu dan penurunan penyerapan kolesterol yang dimakan. [11]
Rumusan
Bunga telang mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita. Daripada akar hinggalah ke bunganya, tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat perubatan.
Kajian-kajian menunjukkan bunga telang mempunyai sifat antioksidan, antiradang, antibakteria dan antikulat. Tumbuhan ini juga boleh membantu mengawal paras gula darah, paras kolesterol serta baik untuk otak.
Namun begitu, kajian-kajian yang dijalankan kebanyakan masih diperingkat awal dan harus diteruskan sehingga kajian klinikal untuk menguatkan lagi dapatan-dapatan kajian ini.
Rujukan
- Pulok K. Mukherjee, et al. (2008). The Ayurvedic medicine Clitoria ternatea—From traditional use to scientific assessment. Journal of Ethnopharmacology.
- Jaafar, N. F., et al. (2020). Optimum Extraction Condition of Clitorea ternatea Flower on Antioxidant Activities, Total Phenolic, Total Flavonoid and Total Anthocyanin Contents. Tropical life sciences research.
- Lila M. A. (2004). Anthocyanins and Human Health: An In Vitro Investigative Approach. Journal of biomedicine & biotechnology.
- Singh, N. K., et al. (2018). Anti-allergy and anti-tussive activity of Clitoria ternatea L. in experimental animals. Journal of ethnopharmacology.
- Chusak, C., et al. (2018). Acute effect of Clitoria ternatea flower beverage on glycemic response and antioxidant capacity in healthy subjects: a randomized crossover trial. BMC complementary and alternative medicine.
- Chusak, C., et al. (2018). Influence of Clitoria ternatea Flower Extract on the In Vitro Enzymatic Digestibility of Starch and Its Application in Bread. Foods.
- K, A., & K, S. (2014). A novel antifungal protein with lysozyme-like activity from seeds of Clitoria ternatea. Applied biochemistry and biotechnology.
- Bea Anthika, et al. (2015). Ultrasonic Approach in Clitoria ternatea (Butterfly Pea) Extraction in Water and Extract Sterilization by Ultrafiltration for Eye Drop Active Ingredient. Procedia Chemistry.
- Rai, K. S., et al. (2001). Clitoria ternatea (Linn) root extract treatment during growth spurt period enhances learning and memory in rats. Indian journal of physiology and pharmacology.
- Talpate, K. A.,et al. (2014). Neuroprotective and nootropic activity of Clitorea ternatea Linn.(Fabaceae) leaves on diabetes induced cognitive decline in experimental animals. Journal of pharmacy & bioallied sciences.
- Solanki, Y. B., & Jain, S. M. (2010). Antihyperlipidemic activity of Clitoria ternatea and Vigna mungo in rats. Pharmaceutical biology.