Nutrisi

8 Khasiat Buah Tin Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah tin atau nama saintifiknya Ficus carica adalah buah yang penuh dengan khasiat dan kebaikan untuk manusia. Khasiat buah tin disumbang oleh profil nutrisinya yang menarik dan kandungan antioksidannya. Kali ini kita akan merungkai khasiat buah tin berdasarkan kajian-kajian sains yang telah dijalankan.

Baru-baru ini kita dapat lihat bahawa buah ini juga boleh ditanam dan hidup di Malaysia.

Terdapat beberapa jenis buah tin yang boleh didapati di negara-negara lain seperti Turki, Itali, Sepanyol dan Amerika. Antaranya adalah black mission, brown turkey, sierra, calimyrna dan kadota.

Manakala, buah tin kering pula boleh didapati di banyak negara di seluruh dunia. Terima kasih kepada industri import dan eksport.

Buah Tin dan bahagian lain pada tumbuhan ini telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti anemia, sembelit, demam (demam kuning), buasir, kanser, diabetes, penyakit hati, lumpuh, penyakit kulit, ulser dan penyakit kusta (10).

Banyak kajian telah dijalankan untuk mendapatkan pengesahan atau bukti saintifik terhadap amalan perubatan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Berikut adalah beberapa khasiat buah tin berdasarkan kajian dan bukti sains:

1) Fakta Nutrisi Buah Tin

Bagi 100g buah tin segar, nutrien yang terkandung di dalamnya adalah seperti berikut:

NutrienUnitNilai bagi 100g
Proksimat
Airg79.11
Tenagakcal74
Proteing0.75
Jumlah Lipid (lemak)g0.3
Karbohidratg19.18
Seratg2.9
Gula, Jumlahg16.26
Mineral
Kalsium, Camg35
Zat Besi, Femg0.37
Magnesium, Mgmg17
Fosforus, Pmg14
Kalium, Kmg232
Natrium, Namg1
Zink, Znmg0.15
Vitamin
Vitamin C, jumlah asid askorbikmg2
Thiaminmg0.06
Riboflavinmg0.05
Niacinmg0.4
Vitamin B-6mg0.113
Folat, DFEµg6
Vitamin B-12µg0
Vitamin A, RAEµg7
Vitamin A, IUIU142
Vitamin E (alfa-tokoferol)mg0.11
Vitamin D (D2 + D3)µg0
Vitamin DIU0
Vitamin K (filokuinon)µg4.7
Lipid
Asid Lemak, jumlah tepug0.06
Asid Lemak, jumlah mono tak tepug0.066
Asid Lemak, jumlah poli tak tepug0.144
Asid Lemak, jumlah transg0
Kolesterolmg0
khasiat buah tin

2) Kaya dengan Antioksidan

Buah Tin yang kering mempunyai antioksidan (sebatian fenolik) yang tinggi serta dapat melindungi badan kita daripada tekanan pengoksidaan (1).

Tekanan pengoksidaan ini ialah satu proses yang membawa kepada kerosakan sel. Tekanan pengoksidaan ini dipercayai menjadi faktor kepada penyakit seperti kanser, penyakit jantung, strok, diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan juga penyakit mata.

Sebatian fenolik ini lebih banyak di bahagian kulit buah tin (2).

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa buah Tin yang berwarna gelap mempunyai lebih kapasiti antioksidan berbanding dengan buah yang berwarna cerah (3).

3) Merendahkan Tekanan Darah

Buah ini juga kaya dengan mineral kalium (potassium) dan rendah dengan mineral natrium (sodium). Makanan yang tinggi dengan natrium dan rendah kalium boleh membawa kepada tekanan darah tinggi yang seterusnya boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan kematian akibat daripada penyakit jantung (4).

Kalium penting untuk fungsi otot di samping merendahkan tekanan darah, merehatkan dinding pembuluh darah dan melindungi kita daripada kekejangan otot.

4) Bagus untuk Pesakit Diabetes

Ekstrak buah Tin merupakan sumber kepada asid absisik. Asid absisik berpotensi menstabilkan gula secara alami dan mengawal insulin.

Dalam satu kajian, pengambilan ekstrak buah Tin sebanyak 200mg ke dalam larutan glukosa dapat mengurangkan indeks glisemik dan indeks insulin, masing-masing sebanyak 25% dan 24% (5).

5) Baik untuk Pesakit Anemia

Buah Tin juga membekalkan kira-kira 4% zat besi kepada lelaki dewasa bagi setiap 100 gram buah ini.

Mineral zat besi diperlukan untuk membentuk hemoglobin dalam darah. Oleh itu, buah ini berguna kepada pesakit Anemia (kekurangan darah) (6).

6) Boleh Melegakan Penyakit Buasir

Antara amalan yang boleh diamalkan bagi pesakit buasir ialah dengan merendam buah Tin kering ke dalam air dan dibiarkan selama satu malam.

Kemudian, makan buah dan air rendaman tadi keesokkan paginya.

Kaedah ini adalah amalan tradisional untuk melegakan buasir kerana buah Tin mempunyai sifat laksatif. Laksatif dapat membantu mengurangkan tekanan pada rektum dan dubur, seterusnya melegakan buasir.

Dalam satu jurnal yang diterbitkan pada tahun 2013, buah Tin digunakan dalam perubatan tradisional kerana khasiatnya sebagai laksatif, antiradang dan anti-kekejangan otot (7).

7) Baik untuk Kulit

Buah Tin juga baik untuk kulit. Buah ini boleh mencegah kedutan pada kulit.

Dalam satu kajian terhadap krim sapuan yang mengandungi ekstrak buah Tin mendapati ekstrak buah Tin ini boleh mengurangkan melanin kulit, kehilangan air melalui kulit, dan sebum kulit.

Oleh itu, ekstrak buah Tin ini berguna dalam perawatan bagi hiperpigmentasi, jerawat, jeragat dan kedutan (8).

8) Boleh Melawan Kanser

Buah Tin juga mungkin berguna sebagai pelindung daripada kanser.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Tunisia dan kumpulannya mendapati ekstrak buah Tin menunjukkan kesan antiproliferatif yang signifikan terhadap sel-sel kanser kolorektal. Selain itu, ekstrak buah Tin juga didapati boleh membunuh sel-sel kanser kolorektal ini (9).

Kesimpulan

Buah Tin mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kesihatan. Dari manfaat kandungan antioksidannya yang tinggi hinggalah kepada kemampuannya dalam melawan kanser.

Buah Tin ini boleh dimakan segar atau yang telah dikeringkan. Manfaatkan khasiat dan kebaikan buah tin ini dalam diet harian kita.

Kemaskini terakhir pada 22 Julai 2020.

Write A Comment