Sinonim sebagai juadah pencuci mulut, buah tembikai merupakan buah yang enak dan menyegarkan. Bukan itu sahaja, sebenarnya buah tembikai juga kaya dengan khasiat untuk kesihatan kita. Khasiat buah tembikai banyak disumbangkan oleh kandungan antioksidannya.
Buah tembikai atau nama saintifiknya Citrullus lanatus berasal dari Afrika dan telah ditanam sejak 4000 tahun dahulu lagi (1).
Buah ini adalah satu keluarga dengan buah rockmelon, timun batang dan tembikai susu. Tembikai boleh didapati dalam beberapa jenis iaitu yang mempunyai isi berwarna merah , kuning, jingga dan berbiji ataupun tidak.
Tembikai rendah dengan nilai kalori serta tinggi dengan kandungan nutriennya seperti vitamin C dan vitamin A.

Berikut adalah 8 khasiat buah tembikai berdasarkan kajian-kajian sains:
1) Membantu Kita Terhidrat
Air adalah sumber yang penting untuk mengekalkan badan kita kekal terhidrat.
Disamping itu, makan makanan yang tinggi dengan kandungan air juga boleh membantu kita terhidrat. Sebiji buah tembikai mengandungi 92% air dan 7.55% karbohidrat (2).
Kandungan air yang tinggi ini juga membuatkan kita rasa kenyang apabila makan buah tembikai ini.
2) Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam 100 gram buah tembikai terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 30 kcal
- Protein: 0.61 gram
- Lemak: 0.15 gram
- Karbohidrat: 7.55 gram
- Serat: 0.4 gram
- Gula: 6.2 gram
- Kalsium: 7.0 miligram
- Kalium: 112 miligram
- Vitamin C: 8.1 miligram
- Vitamin A: 28 mikrogram
Buah tembikai juga tinggi dengan beta-karotin dan likopena iaitu masing-masing sebanyak 303 mikrogram dan 4532 mikrogram.
3) Buah Tembikai Boleh Mencegah Kanser
Buah tembikai merupakan sumber unik kepada likopena kerana likopena ini boleh didapati terus selepas memakan buah ini. Jika dibandingkan dengan buah tomato, likopena dalam buah tomato hanya boleh didapati dalam kuantiti yang lebih tinggi selepas rawatan haba (2).
Dalam satu kajian, didapati bahawa likopena berkeupayaan untuk menghalang tumbesaran sel kanser payudara dan endometrium (3).
Disamping itu, dalam satu kajian lain mendapati likopina merupakan antioksida yang mempunyai ciri-ciri seperti anti-pertumbuhan sel kanser, antikarsinogeik, dan anti-anterogenik. Kajian-kajian lain juga menunjukkan peranan likopena ini dalam menghalang dan mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung (4).
4) Mengurangkan Kesakitan Otot
Buah tembikai dan jus tembikai didapati boleh mengurangkan kesakitan otot dan mempercepatkan masa pemulihan selepas senaman dalam kalangan atlit.
Para pengkaji percaya bahawa keupayaan ini disebabkan kandungan asid amino L-citrulline yang terdapat dalam buah tembikai (5).
5) Mencegah dari Degenerasi Makular Berkaitan Usia
Penyakit digeneratif makular bermula dengan penipisan lapisan makular retina sehingga mengakibatkan penurunan penglihatan secara beransur-ansur.
Kandungan likopina dalam buah tembikai boleh mengurangkan risiko terkena penyakit degenerasi makular (2).
6) Boleh Merendahkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Kandungan likopina yang tinggi dalam buah tembikai menjadikannya satu sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan ini.
Satu analisis mendapati pengambilan likopina boleh merendahkan risiko penyakit kardiovaskular (6).
Kandungan kalium yang tinggi dalam buah tembikai ini juga baik untuk mengawal tekanan darah seterusnya mengelakkan pemakannya daripada terkena penyakit kardiovaskular seperti strok (7).
7) Buah Tembikai Baik untuk Kulit dan Rambut
Vitamin A dan C adalah dua vitamin penting kepada kesihatan kulit dan rambut.
Vitamin A penting untuk kesihatan kulit. Vitamin ini boleh membantu menghasilkan dan membaiki sel kulit. Kekurangan vitamin A membuatkan kulit kita kelihatan kering dan berkelupas (8).
Vitamin C pula sememangnya popular dengan keupayaannya menghasilkan kolagen kulit iaitu protein yang mengekalkan keanjalan kulit dan menguatkan rambut (9).
8) Buah Tembikai juga Baik untuk Penghadaman
Kandungan air dan serat dalam buah tembikai ini sangat berguna untuk kesihatan sistem pencernaan.
Kandungan serat ini membolehkan najis lebih besar dan kandungan air membolehkan saluran pencernaan bergerak dengan lancar.
Kesimpulan
Di pasaran Malaysia, buah tembikai ini boleh didapati dengan isi yang warna merah dan kuning. Disebalik rasanya yang enak, buah tembikai juga kaya dengan khasiat untuk tubuh badan kita.
Buah ini juga enak dimakan sejuk dan juga dibuat jus. Walaupun mempunyai indeks glisemik yang tinggi, namun buah ini mempunyai muatan glisemik yang rendah. Ini membuatkan pengambilan buah ini kurang memberi kesan kepada tahap gula darah.