Buah rambutan (Nephelium lappaceum) ialah buah yang berasal dari Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia dan Indonesia. Buah rambutan mempunyai khasiat yang tersendiri. Khasiat buah rambutan banyak disumbang oleh kandungan antioksidan dan mikronutreinnya.
Rambutan mendapat jolokan namanya daripada sifat kulit buahnya yang berbulu-bulu seperti rambut. Isinya pula lut cahaya atau jernih seperti buah laici dan longan. Kebiasannya buah ini dimakan segar atau dibuat jem.

1. Kaya dengan Nutrien
Dalam 100 gram buah rambutan terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (1):
- Tenaga: 59.9 kcal
- Air: 84.7 %
- Protein: 0.7 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Karbohidrat: 13.9 gram
- Serat: 0.2 gram
- Kalsium: 22.0 miligram
- Fosforus: 30.0 miligram
- Zat besi: 2.5 miligram
- Thiamin (B1): 0.01 miligram
- Riboflavin (B2): 0.04 miligram
- Niacin (B3): 0.1 miligram
- Vitamin C: 38.6 miligram
2. Kaya dengan Antioksidan
Buah rambutan juga agak tinggi dengan vitamin C (asid askorbik) yang merupakan antioksidan yang efektif dalam buah. Diet yang tinggi dengan asid askorbik ini dikatakan dapat mengurangkan risiko kanser.
100 gram buah rambutan, boleh membekalkan kira-kira 55% daripada RNI (recommended nutrient intake) vitamin C atau asid askorbik bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh National University of Singapore, buah rambutan menunjukkan kapasiti antioksidan yang sederhana. Kapasiti antioksidan ini menunjukkan keupayaan antioksidan dalam buah ini meneutral atau memusnahkan radikal bebas (2).
3. Baik untuk Penghadaman
Rambutan juga baik untuk penghadaman.
Kira-kira separuh dari serat dalam isi rambutan ini tidak larut, maka ia akan melalui usus kita tanpa dicernakan.
Serat yang tidak larut akan menambahkan saiz atau kepukalan pada najis dan mempercepatkan pergerakan dalam usus. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan sembelit (3).
Sebahagian serat lagi adalah larut, serat yang larut ini menjadi makanan kepada bakteria baik dalam perut kita.
4. Menguatkan Sistem Imunisasi
Buah rambutan juga boleh menguatkan sistem imunisasi kita.
Kandungan vitamin C dalam buah ini boleh mengalakkan penghasilan sel darah putih untuk badan melawan jangkitan penyakit (4).
Menariknya, kulit rambutan juga mempunyai sifat antivirus yang boleh melawan jangkitan berdasarkan kajian makmal (5).
5. Membantu dalam Penurunan Berat Badan
Kandungi kalori yang agak rendah iaitu kira-kira 60 kalori bagi 100 gram buah ini dipercayai dapat membantu bagi mereka yang berdiet.
Buah rambutan boleh membuatkan kita berasa kenyang lebih lama. Selain itu, buah ini juga tinggi dengan kandungan air yang membolehkan kita terus terhidrasi dan juga berasa kenyang (6).
6. Khasiat dan Manfaat yang Lain
Kebanyakan manfaat atau khasiat rambutan yang lain dijumpai dalam kulit atau biji rambutan. Kebiasaannya, kulit dan biji rambutan tidak dimakan.
a. Mempunyai Sifat Antidiabetes
Dalam kajian terhadap sel dan haiwan mendapati ekstrak kulit rambutan boleh meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan paras gula darah (7 , 8).
b. Mengurangkan Risiko Kanser
Kajian makmal terhadap haiwan dan sel juga menjumpai sebatian dalam biji rambutan yang boleh mencegah penyebaran dan pembesaran sel kanser (9).
Kesimpulan
Buah rambutan mempunyai khasiat dan kelebihannya yang tersendiri disebalik luarannya yang berbulu. Dikenali sebagai buah eksotik oleh masyarakat luar, buah rambutan sangat enak dimakan kerana rasanya yang manis.
Dari aspek kesihatan, buah rambutan kaya dengan antioksidanya, mampu menguatkan sistem imun kita dan baik untuk penghadaman.
Kajian-kajian yang lebih mendalam terhadap khasiat buah ini harus diteruskan dan diperbanyakkan.