Buah oren merupakan antara buah yang paling popular di dunia. Buah oren boleh dikategorikan sebagai buah sitrus sama seperti buah lemon, limau nipis, limau mandarin dan lain-lain. Buah oren mempunyai banyak khasiat dan keistimewaan untuk kesihatan kita.
Buah oren kaya dengan serat, vitamin C, folat, kalium dan juga antioksidan. Selalunya buah ini dimakan segar atau dibuat jus.

Berikut merupakan beberapa khasiat dan kebaikan buah oren berdasarkan pembuktian sains:
1) Kaya dengan Vitamin C
Buah oren merupakan antara sumber vitamin C terbaik. Vitamin ini penting dalam penghasilan kolagen, protein yang memberikan struktur kepada tulang, rawan, otot dan saluran darah.
Sebiji oren besar dengan berat kira-kira 184g dapat memberikan lebih 100% vitamin C mengikut RNI Malaysia (1).
2) Mencantikkan Kulit
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah oren juga baik untuk kulit. Vitamin C mengalakkan penghasilan kolagen untuk kulit.
Selain itu, vitamin C ini juga bertindak sebagai peneutral atau pembuang pengoksidaan akibat daripada pencemaran persekitaran atau akibat sinaran UV (ultraviolet) (2).
3) Mencegah Penyakit Anemia
Penyakit anemia ialah penyakit akibat kekurangan sel darah merah serta mengurangkan keupayaannya untuk membawa oksigen. Penyakit ini kebiasaannya akibat kekurangan zat besi.
Walaupun buah oren bukan sumber yang zat besi yang baik, namun kandungan asid askorbik (vitamin C) dan asid sitrik yang tinggi dalam buah oren dapat membantu badan untuk menyerap zat iron dalam sistem penghadaman (3,4).
Penyakit anemia boleh dicegah dengan mengabungkan makanan kaya dengan zat besi seperti bayam dan buah oren atau jus oren.
4) Mengurangkan Risiko Terkena Strok
Dalam satu kajian yang mengambil masa selama 14 tahun mendapati, pengambilan buah sitrus seperti buah oren boleh mengurangkan risiko terkena strok.
Kandungan flavanon (subkelas flavonoid) dalam buah atau jus sitrus dikaitkan dengan pengurangan risiko strok iskemia (5).
5) Baik untuk Kesihatan Mata
Semua buah jenis sitrus kaya dengan antioksida jenis karotenoid yang memberikan warna kepada buah-buah ini.
Buah oren kaya dengan karotenoid jenis beta-kriptoxantin dan merupakan sumber kepada vitamin A (6).
Kekurangan vitamin A boleh membawa kepada kehilangan penglihatan atau rabun malam (7).
6) Baik untuk Kesihatan Jantung
Kandungan serat, kalium (potassium), vitamin C dan kolina dalam buah oren semuanya baik untuk kesihatan jantung.
Kandungan kalium yang tinggi dalam buah oren dapat mengimbangi kesan negatif natrium (sodium). Dalam satu kajian mendapati, pengambilan kalium dapat mengurangkan kesan buruk pengambilan natrium yang tinggi serta menunjukkan perkaitan penurunan risiko penyakit kardiovaskular dan strok (8).
7) Mengelakkan daripada Sembelit
Pemahaman bahawa buah-buah sitrus seperti oren menyebabkan sembelit adalah tersasar sama sekali. Sebaliknya, buah-buahan jenis ini mengandungi pektin iaitu sejenis karbohidrat larut air.
Selama lebih 50 tahun pektin telah membantu mengawal masalah sembelit (9).
Kesimpulan
Banyak khasiat buah oren yang boleh dimanfaatkan oleh kita dalam diet harian. Selain rasanya yang enak, buah oren juga merupakan sumber vitamin C yang sangat baik.
Walau bagaimanapun, pengambilan jus oren harus dihadkan kerana tinggi dengan kadar gula semulajadi. Lebih memburukkan keadaan sekiranya jus ini jika ditambah dengan gula tambahan yang boleh membawa kepada kegemukan.