Khasiat nanas bukan sahaja terhad pada khasiat kandungan nutrien dan antioksidannya, bahkan turut mempunyai banyak manfaat kesihatan seperti membantu dalam penghadaman, meningkatkan imuniti dan mempercepatkan pemulihan dari pembedahan.
Buah nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus merupakan buah tropika yang berasal dari negara Amerika selatan iaitu Brazil, Argentina dan Paraguay (1).
Ada yang berpendapat bahawa buah nanas boleh mengakibatkan pedih perut kerana rasanya yang ‘tajam’. Sebaliknya, buah nanas mempunyai vitamin yang baik untuk perut.
Berikut merupakan 7 khasiat nanas untuk manfaat kita semua:
1. Kaya dengan Nutrien
Bagi 100 gram buah ini, terdapat nutrien seperti berikut:
- Kalori: 50 kcal
- Protein: 0.54 gram
- Lemak: 0.12 gram
- Karbohidrat: 13.1 gram
- Serat: 1.4 gram
- Kalsium: 13 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Fosforus: 8 miligram
- Kalium: 109 miligram
- Vitamin C: 47.8 miligram
- Vitamin B1 (Thiamin): 0.08 miligram
- Vitamin B3 (niacin): 0.5 miligram
- Folat: 18 mikrogram
Selain itu, buah nanas turut mengandungi vitamin A, kolina, dan beta-karotin.

2. Boleh Meningkatkan Imuniti
Buah nanas telah digunakan dalam rawatan tradisional sejak dahulu lagi.
Enzim yang terdapat dalam buah nanas seperti bromelain didapati boleh meningkatkan imuniti badan dan boleh mengurangkan keradangan (2).
Dalam satu kajian selama 9 minggu terhadap kanak-kanak mendapati, kanak-kanak yang mengambil buah nanas mempunyai risiko yang rendah untuk dijangkiti virus dan bakteria. Mereka yang makan paling banyak buah nanas ini juga mempunyai mempunyai sel darah putih yang melawan penyakit berbanding kumpulan lain (3).
3. Mempercepatkan Pemulihan Selepas Pembedahan
Bromelain juga didapati boleh mempercepatkan pemulihan selepas pembedahan.
Dalam satu ujian klinikal, pesakit-pesakit yang mengalami keretakan tulang dirawat dengan bromelain secara oral selepas pembedahan. Hasil dari percubaan ini didapati pengurangan secara ketara dari segi kesakitan,bengkak, dan juga proses penyembuhan yang lebih cepat (4).
Satu ujian klinikal lain terhadap pesakit yang menjalani pembedahan katarak. Didapati pengambilan bromelain secara oral 2 hari sebelum dan 5 hari selepas pembedahan menunjukkan pengurangan ketara terhadap kesakitan dan radang (5).
4. Baik untuk Sistem Penghadaman
Kandungan serat diet dan air dalam buah nanas boleh mencegah sembelit dan melancarkan sistem penghadaman.
Selain itu, enzim bromelain dalam buah nanas juga bertindak sebagai enzim penghadaman.
Enzim ini berfungsi sebagai proteases, yang memecahkan molekul protein ke dalam bloknya seperti asid amino dan peptida kecil (6).
Apabila molekul protein telah dipecahkan, mereka akan lebih mudah untuk diserap disepanjang usus kecil. Keadaan ini sangat membantu mereka yang menglami masalah kekurangan pankreas, iaitu keadaan di mana pankreasnya tidak menghasilkan enzim pencernaan yang cukup (7,8).
5. Boleh Merendahkan Risiko Kanser
Buah nanas juga kaya dengan vitamin C.
Bagi 100g buah ini terdapat kira-kira 47.8 mg vitamin C yang merangkumi 68.3% RNI (recommended nutrient intake) untuk orang dewasa di Malaysia.
Vitamin C ialah antioksidan yang kuat yang boleh melawan pembentukan radikal bebas. Radikal bebas boleh membawa kepada penyakit kanser.
Penghidap kanser mempunyai plasma vitamin C yang rendah berbanding mereka yang sihat. Malahan, mereka yang mempunyai kanser yang lebih agresif mempunyai plasma vitamin C yang lebih rendah (9).
Satu kajian terhadap peranan vitamin C terhadap risiko kanser buah pinggang. Kajian ini mendapati vitamin C boleh mengurangkan risiko kanser buah pinggang. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih besar dan kajian kes yang lebih berkualiti diperlukan (10).
6. Boleh Mengawal Tekanan Darah
Buah nanas turut mengandungi mineral kalium,K (potassium) yang agak tinggi.
Mineral ini bertindak sebagai elektrolit dan penting untuk fungsi otot. Selain itu, kalium dikaitkan dengan kebolehannya menurunkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi.
Beberapa kajian mendapati, pengambilan kalium boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik (11,12,13,14).
Secara tidak langsung, penyakit kardiovaskular seperti serangan strok, penyakit jantung koronori dan kegagalan jantung yang berpunca daripada tekanan darah tinggi dapat dikurangkan.
7. Mengurangkan Simptom Artritis
Artritis melibatkan kesakitan di bahagian sendi akibat radang.
Buah nanas mengandungi bromelain yang mempunyai ciri-ciri antiradang. Lazimnya, bromelain difikirkan boleh memberi kelegaan kesakitan bagi mereka yang mempunyai radang artritis (15).
Beberapa kajian terbaru melihat keberkesanan bromelain dalam merawat penyakit artritis.
Dalam satu kajian melibatkan 42 pesakit osteoartritis kronik dan akut mendapati rawatan mengunakan ubat yang mengandungi bromelain mengurangkan kesakitan sendi dalam kalangan pesakit osteoartritis (16).
Ujian klinikal di India mendapati pengambilan enzim yang turut mengandungi bromelain menunjukkan penambahbaikan yang ketara dalam mengurangkan kesakitan pesakit osteoartritis (17).
Kesimpulan
Banyak khasiat dan manfaat buah nanas untuk kesihatan kita tanpa kita sedari.
Buah ini juga boleh dimakan secara segar , dijadikan salad atau dicampurkan dalam menu makanan lain. Maka, jadikan buah nanas satu makanan rutin anda!