Nutrisi

5 Khasiat Buah Mangga Yang Menarik Perhatian Ramai

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat buah mangga sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Selain kaya dengan antioksidan dan vitamin C, buah mangga juga berkhasiat untuk kesihatan jantung, kesihatan kulit dan lain-lain lagi.

Di Malaysia, buah mangga dipanggil dengan beberapa nama seperti buah mempelam dan buah pauh.

Nama saintifik bagi buah ini ialah Mangifera indica. Mangga dikatakan berasal dari India dan Asia Tenggara dan telah ditanam sejak 4,000 tahun dahulu.

Terdapat pelbagai jenis buah mangga yang boleh diperolehi di Malaysia. Antara buah mangga yang paling popular ialah Harum Manis. Iaitu buah mangga atau mempelam yang berasal dari negeri Perlis.

Selain enak dimakan segar, buah mangga yang telah masak juga boleh dijadikan jus dan ada juga yang makan buah ini bersama-sama pulut.

Berikut adalah khasiat buah mangga berdasarkan kajian sains untuk kesihatan:

1. Kaya dengan nutrien penting

Bagi 100 gram buah mangga, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):

  • Air: 83%
  • Tenaga: 60 kcal
  • Protein: 0.82 gram
  • Lemak: 0.82 gram
  • Karbohidrat: 14.98 gram
  • Serat: 1.6 gram
  • Gula (sukrosa, glukosa dan fruktosa): 13.66 gram
  • Kalsium: 11 miligram
  • Zat besi: 0.16 miligram
  • Magnesium: 10 miligram
  • Kalium: 168 miligram
  • Vitamin C: 36.4 miligram
  • Folat: 43 mikrogram

Selain itu, buah mangga turut mengandungi vitamin B, vitamin A, vitamin E, vitamin K dan mineral-mineral seperti tembaga, zink, mangan dan selenium.

khasiat buah mangga

2. Baik untuk kesihatan jantung

Kandungan mikronutrien seperti magnesium, kalium dan kalsium menjadikan buah mangga adalah salah satu makanan pilihan yang baik untuk kesihatan jantung.

Kalium dan magnesium boleh membantu mengekalkan denyutan jantung yang sihat, mengendurkan saluran darah, dan merendahkan tekanan darah (1 , 2).

Buah mangga juga tinggi dengan antioksidan yang dikenali sebagai mangiferin (3).

Antioksidan ini dikatakan boleh melindungi sel-sel jantung daripada keradangan, tekanan pengoksidaan dan kematian sel menurut beberapa kajian terhadap haiwan (4, 5, 6).

3. Baik untuk sistem penghadaman

Buah manga juga merupakan buah yang tinggi dengan kandungan air dan juga serat.

Gabungan air dan serat ini dapat membantu masalah-masalah penghadaman seperti sembelit dan cirit-birit.

Tambahan lagi, buah ini mengandungi enzim yang dikenali sebagai amilase.

Amilase adalah enzim penghadaman yang menukarkan karbohidrat kepada gula seperti glukosa dan maltosa.

Enzim penghadaman ini menguraikan molekul makanan yang besar kepada molekul yang lebih kecil bagi memudahkan penghadaman dan penyerapan. Secara tidak langsung, mengekalkan kesihatan sistem penghadaman.

Enzim amilase ini lebih aktif dalam mangga yang masak berbanding mangga yang belum masak (7).

4. Baik untuk kesihatan mata

Mangga juga mengandungi dua antioksidan yang penting untuk kesihatan mata iaitu lutein dan zeaxantin.

Lutein dan zeaxantin terkumpul di retina dan makula mata. Antioksidan ini dapat melindungi mata daripada katarak dan degenerasi makula berkaitan usia (8).

Selain itu, kandungan vitamin A dalam buah ini juga dapat meningkatkan kesihatan mata. Kekurangan vitamin A dikaitkan dengan rabun malam (9).

5. Baik untuk kulit dan rambut

Buah mangga juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.

Vitamin C sangat penting untuk penghasilan kolagen. Kolagen ialah protein yang memberikan struktur kepada kulit dan rambut. Kolagen yang mencukupi dapat melambatkan kedutan dan lendutan pada kulit (10).

Kandungan vitamin E dalam buah mangga turut bermanfaat untuk kulit pemakannya. Vitamin E melindungi kulit dari sinaran matahari yang berbahaya dan beberapa masalah kulit yang lain (11).

Kesimpulan

Buah mangga adalah antara buah tempatan yang enak dimakan.

Khasiat yang terkandung dalam buah mangga menambah lagi nilai pada buah ini. Buah ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesihatan jantung, mata, kulit dan juga rambut.

Rasanya yang manis dan isinya yang pejal dan lembut menjadikan buah ini satu pilihan ramai.

Write A Comment