Nutrisi

7 Khasiat Buah Lemon untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah lemon merupakan buah sitrus yang kaya dengan vitamin C. Kebiasaanya, lemon digunakan dalam makanan atau minuman. Khasiat buah lemon banyak dikaitkan dengan kecantikan kulit, untuk menurunkan berat badan dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Adakah dakwaan ini benar? Teruskan membaca.

Nama saintifik bagi buah lemon adalah Citrus limon. Buah ini berasal dari selatan Asia terutamanya di timur laut India.

Buah lemon adalah pilihan yang baik untuk mendapatkan vitamin C kerana dalam 100 gram buah ini, terdapat 53 miligram vitamin C. Nilai ini membekalkan kira-kira 76% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk vitamin C bagi golongan dewasa di Malaysia.

khasiat buah lemon

Berikut adalah khasiat buah lemon untuk kesihatan tubuh badan:

1) Membantu Menurunkan Berat Badan

Satu kajian terhadap tikus yang digemukkan mendapati tikus yang makan polifenol lemon yang diekstrak daripada kulit lemon mempunyai berat dan lemak badan yang kurang berbanding tikus yang tidak memakan polifenol lemon ini. Ini menunjukkan lemon mempunyai potensi dalam mengurangkan berat badan pemakannya (1).

Satu kajian klinikal dijalankan terhadap 84 orang wanita yang mempunyai BMI yang tinggi. Kajian ini melibatkan diet lemon detox. Selepas 7 hari, didapati kumpulan yang mengamalkan diet lemon detox berjaya merendahkan lemak badan, nilai BMI , nisbah pinggang-pinggul dan kerintangan insulin (9).

Kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui bagaimana lemon boleh membantu menurunkan berat badan.

Seperti yang didakwa, kajian menunjukkan buah lemon berperanan dalam membantu menurunkan berat badan.

2) Baik untuk Kesihatan Jantung

Lemon ialah sumber vitamin C yang baik.

Berdasarkan kajian, mereka yang mengambil buah-buahan yang kaya dengan vitamin C kurang berisiko menghidap penyakit jantung (2).

Sebatian polifenol dalam lemon yang dikenali sebagai flavonoid dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Bagi penyakit jantung, peranan flavonoid adalah sebagai antioksidan, antitrombotik (agen yang menganggu pembentukan trombus), mengurangkan ketegangan pembuluh darah, dan anti-iskemik (3).

3) Meningkatkan Sistem Imunisasi

Kandungan vitamin C dalam buah sitrus ini juga boleh merangsangkan sistem imunisasi badan kita.

Vitamin C melindungi badan kita daripada serangan bakteria dan virus serta mencegah daripada tekanan pengoksidaan (4).

4) Meningkatkan Penyerapan Zat Besi

Zat besi adalah mineral penting yang diperlukan untuk membentuk sel-sel darah merah. Kekurangan zat besi boleh membawa kepada penyakit anemia.

Menggabungkan makanan yang tinggi kandungan zat besi dengan makanan yang tinggi vitamin C boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan (5).

5) Baik untuk Penghadaman

Lemon mempunyai serat larut yang dikenali sebagai pektin. Pektin merupakan serat larut yang mempunyai banyak kebaikan dan dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan.

Kajian menunjukkan pengambilan pektin secara makan kepada kanak-kanak boleh mengurangkan jangkitan pada usus dan mengurangkan cirit-birit secara signifikan (6, 7).

Walau bagaimanapun, untuk mendapat manfaat dari pektin ini, buah lemon harus dimakan bersama pulpanya. Sebagai contoh, jus lemon yang dibuat bersama-sama pulpanya.

6) Baik untuk Kesihatan Kulit

Vitamin C juga berguna untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Kulit manusia mengandungi vitamin C lebih tinggi berbanding bahagian tubuh yang lain.

Vitamin C membantu meningkatkan penghasilan kolagen kulit dan bertindak sebagai antioksidan yang meneutral dan menyingkirkan radikal bebas yang terbentuk akibat pencemaran persekitaran dan sinaran UV (8).

Keupayaan ini membolehkan kulit kekal anjal serta melambatkan penuaan dan kedutan kulit.

7) Berpotensi Menurunkan Tekanan Darah

Terdapat satu kajian yang melibatkan wanita Jepun yang kerap berjalan dan makan buah lemon setiap hari mempunyai tekanan darah yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak (10).

Namun begitu, kajian lanjut masih diperlukan untuk mengenalpasti peranan buah lemon dalam menurunkan tekanan darah tinggi kerana bersenam atau aktiviti fizikal seperti berjalan juga boleh menurunkan tekanan darah.

Oleh itu, khasiat buah lemon terhadap tekanan darah masih kurang jelas.

Kesimpulan

Buah lemon tinggi dengan kandungan vitamin C, serat dan sebatian antioksidan yang baik untuk kesihatan manusia.

Buah lemon berkhasiat dalam membantu menurunkan berat badan, kesihatan jantung, meningkatkan imunisasi badan, baik untuk penghadaman, membantu meningkatkan penyerapan zat besi, dan baik untuk kesihatan kulit.

Kemaskini terakhir pada 29 Jun 2020

Write A Comment