Nutrisi

10 Khasiat Buah Kurma Untuk Wanita dan Lelaki

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kurma adalah makanan sunnah yang menjadi amalan pemakanan umat Islam. Banyak kajian yang telah dijalankan untuk merungkai khasiat buah kurma ini terhadap kesihatan wanita atau lelaki. Kali ini kita akan ketahui khasiat-khasiat buah kurma yang ditemukan oleh para saintis.

Nama saintifik bagi kurma adalah Phoenix dactylifera. Terdapat banyak jenis buah kurma dan dikenali dengan banyak nama. Buah ini juga mempunyai beberapa fasa kematangan (masak) yang berbeza-beza.

Kurma masak dalam empat peringkat, masing-masing dikenali dengan nama Arabnya di seluruh dunia, iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut), dan tamr atau tamar (masak, keringan matahari).

khasiat buah kurma

Berikut adalah beberapa khasiat buah kurma berdasarkan kajian-kajian:

1. Mempunyai Profil Nutrisi yang Menarik

Buah kurma sangat kaya dengan kandungan mineral seperti fosforus, kalsium, magnesium, zat besi, natrium, kalium (potassium), zink, dan mangan.

Bagi sebiji buah kurma medjool tanpa biji (24 gram) mengandungi (USDA):

  • Kalori (tenaga): 66.5 kcal
  • Protein: 0.43g
  • Karbohidrat: 18g
  • Serat: 1.61g
  • Gula: 16g

Mineral

  • Kalsium: 15.4 mg
  • Zat besi: 0.22 mg
  • Magnesium: 13 mg
  • Fosforus: 14.9 mg
  • Kalium: 167 mg
  • Natrium: 0.24 mg
  • Zink: 0.11 mg
  • Tembaga: 0.09 mg
  • Mangan: 0.07 mg

Vitamin

  • Vitamin B1 (Thiamin): 0.01 mg
  • Vitamin B2 (Riboflavin): 0.01 mg
  • Vitamin B3 (Niacin): 0.39 mg
  • Vitamin B6 : 0.06 mg
  • Folat: 3.6 mikrogram
  • Kolina: 2.38 mg
  • Vitamin A: 1.68 mikrogram
  • Vitamin K: 0.65 mikrogram

2. Melegakan Sembelit

Buah kurma boleh dikategorikan sebagai buah yang kaya dengan serat.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Tunisia, buah kurma yang kaya dengan serat penting dalam mengalakkan pergerakan usus dan memastikan laluan yang selesa kepada makanan semasa melalui saluran usus [1].

Rawatan tradisional Tunisia juga turut menggunakan kurma dalam rawatan sembelit.

3. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Penyakit jantung adalah pembunuh no.1 di Malaysia. Pada tahun 2019, sebanyak 18, 267 kes sakit jantung koronari direkodkan berbanding 9,371 kes pada tahun 2010.

Buah kurma juga mengandungi sebatian bioaktif yang dikenali sebagai polifenol yang terdiri daripada asid fenolik dan flavonoid. Asid fenolik dan flavonoid ini bersifat antioksidan dan mempamerkan aktiviti antioksidan yang tinggi dalam melawan radikal bebas [2, 3].

Selain itu, polifenol ini juga didapati boleh merendahkan kadar kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida [4].

Kolesterol tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung koronari. Oleh itu, pemakanan kurma boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

4. Memudahkan Bersalin

Satu kajian dijalankan oleh Jordan University of Science and Technology terhadap 114 orang wanita mengandung. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan seramai 69 orang mengambil 6 biji kurma sehari selama 4 minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Manakala, kumpulan kedua seramai 45 orang tidak mengambil buah kurma sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Hasil kajian mendapati wanita yang memakan kurma selama 4 minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin mempunyai bukaan servik lebih tinggi semasa dimasukkan ke wad. 95% daripada mereka bersalin secara spontan berbanding 75% daripada mereka yang tidak memakan kurma [5].

Penggunaan ubat atau hormon (prostin/oksitosin) juga lebih rendah bagi wanita yang mengambil kurma (26%) berbanding mereka yang tidak (47%).

Kajian lain yang dijalankan di Malaysia turut mendapati pemakanan kurma ketika hampir waktu bersalin boleh mengurangkan keperluan untuk cetusan pelahiran menggunakan ubat seperti oksitosin [6].

5. Bersifat Antiradang

Buah kurma digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat demam, sakit perut, bronkitis, edema (sembab), alergi rinitis, cirit-birit dan menyembuhkan luka.

Kajian moden pula mendapati kandungan antioksidan buah kurma seperti polifenol, karotenoid dan tanin boleh mencegah tekanan pengoksidaan yang boleh mengurangkan risiko terjadinya keradangan [7].

Kurma ajwa juga turut menunjukkan sifat antiradang dan mengurangkan kematian sel akibat daripada kerosakan jantung dalam satu kajian terhadap haiwan [8].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui kesan antiradang ini terhadap manusia.

6. Bersifat Antibakteria

Buah kurma juga mempunyai sifat antibakteria dan telah digunakan sejak dahulu lagi untuk merawat pelbagai jangkitan penyakit.

Kajian mendapati buah kurma boleh mencegah atau mengurang tumbesaran bakteria jenis Streptococcus pyogenes, Staphylococcus aureus, Staphylococcus epidermidis, Bacillus subtilis, Enterococcus faecalis, E. coli, Klebsiella and Salmonella [9,10,11].

Bakteria-bakteria ini bertanggungjawab terhadap pelbagai jangkitan penyakit terhadap manusia.

Namun begitu, terdapat juga laporan daripada kajian yang menyatakan 3 jenis buah kurma dari Oman tidak mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Lactobacillus brevis, Salmonella typhimurium, E. coli dan Pseudomonas spp [12].

7. Melindungi Kulit Daripada Sinaran UV

Biji kurma juga turut mempunyai manfaatnya. Minyak biji kurma berpotensi melindungi kulit daripada sinaran UV. Sinaran UV boleh menyebabkan kerosakan kepada sel-sel kulit.

Kajian yang dijalankan pengkaji dari Tunisia mendapati minyak biji kurma boleh mencegah kerosakan akibat daripada sinaran UV-B. Pengkaji turut berpendapat bahawa minyak biji kurma ini boleh mengurangkan kerosakan pada DNA [13].

8. Bersifat Antikanser

Selain bersifat antiradang, buah kurma juga mempunyai khasiat dalam melawan kanser.

Buah kurma juga dilaporkan boleh melambatkan perkembangan kanser yang berkaitan dengan angiogenesis.

Angiogenesis adalah satu proses yang melibatkan pertumbuhan salur darah yang baru di salur darah yang sedia ada. Angiogenesis akan mengekalkan keradangan dengan membekalkan oksigen dan nutrien kepada sel-sel di kawasan yang mengalami keradangan.

Selain itu, ekstrak kurma ajwa juga didapati boleh mencegah pembesaran dan pembiakan sel-sel kanser payudara. Kajian makmal ini juga mendapati kurma ajwa boleh mencetuskan kematian sel terancang terhadap sel-sel kanser payudara ini [14].

Kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk mengetahui kesan antikanser ini terhadap manusia.

Khasiat-khasiat Buah Kurma yang Lain

Buah kurma juga dilaporkan mempunyai beberapa khasiat lain. Namun ia masih diperingkat awal kajian yang memerlukan lebih banyak kajian lanjut.

9. Bersifat laksatif

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati buah kurma mempunyai ciri-ciri laksatif. Ia boleh meningkatkan pembuangan najis sebanyak 4% – 20% [15].

Laksatif ialah ubat, minuman atau makanan yang boleh melawaskan pembuangan air besar.

10. Boleh Melindungi Otak

Buah kurma juga dilaporkan boleh melindungi otak iaitu di bahagian hipokampus. Hipokompus ialah bahagian otak yang mengawal selia emosi, motivasi, pembelajaran dan memori.

Rawatan awal terhadap haiwan menggunakan ekstrak buah kurma pada dos 250 mg/kg didapati boleh mengurangkan kematian neuron di hipokampus dengan ketara [16].

Makanan Sunnah

Buah kurma sememangnya diketahui sebagai makanan sunnah yang disarankan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini berdasarkan beberapa hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat.

Diriwayatkan dari kedua putera Bisr as-Sulamayyain, keduanya mengatakan,

Rasulullah s.a.w telah bertamu kepada kami, lalu kami menghidangkan kepada baginda sari susu dan buah kurma, dan baginda sangat menyukai keduanya.

HR Abu Daud dalam sunan Abu Daud, kitab Al-At’imah

Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a., ia berkata

Rasulullah s.a.w menyebut buah kurma dan susu dengan sebutan al-Atyaban yang ertinya dua makanan terbaik.”

HR Hakim

Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud [17]:

Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.

HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)

Aisyah R.Anha turut meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.

HR Muslim (2048)

Berapa biji kurma yang sunnah dimakan sehari?

Sunnah untuk makan 7 biji kurma sehari pada awal pagi berdasarkan hadith-hadith di atas.

Beli kurma ajwa (kurma nabi) online

Rumusan

Buah kurma adalah makanan sunnah yang telah disarankan pemakanannya sejak dahulu lagi.

Kajian-kajian sains juga turut menyokong kebaikan dan khasiat buah kurma kepada kesihatan kita semua. Daripada kesihatan otak hinggalah kesihatan perut. Bahkan kurma turut berkhasiat untuk wanita mengandung yang bakal melahirkan anak.

Peredaran masa dan teknologi serta kerancakan ekonomi telah membuatkan makanan sunnah ini semakin mudah didapati di negara ini. Maka, janganlah kita lepaskan peluang untuk beramal dengannya.

Kemaskini terakhir pada 16 Oktober 2020.

Rujukan
Rujukan
  1. Souli, A., et al. (2014). Effects of dates pulp extract and palm sap (Phoenix dactylifera L.) on gastrointestinal transit activity in healthy ratsJournal of medicinal food.
  2. Tang, Z. X., et al. (2013). Date fruit: chemical composition, nutritional and medicinal values, productsJournal of the science of food and agriculture.
  3. Shahdadi, F., et al. (2015). Study of phenolic compound and antioxidant activity of date fruit as a function of ripening stages and drying processJournal of food science and technology.
  4. Alqarni, M., et al. (2019). Antioxidant and antihyperlipidemic effects of Ajwa date (Phoenix dactylifera L.) extracts in rats fed a cholesterol-rich dietJournal of food biochemistry.
  5. Al-Kuran, O., et al. (2011). The effect of late pregnancy consumption of date fruit on labour and deliveryJournal of obstetrics and gynaecology.
  6. Razali, N., et al. (2017). Date fruit consumption at term: Effect on length of gestation, labour and deliveryJournal of obstetrics and gynaecology.
  7. Taleb, H., et al. (2016). Chemical characterisation and the anti-inflammatory, anti-angiogenic and antibacterial properties of date fruit (Phoenix dactylifera L.)Journal of ethnopharmacology.
  8. Al-Yahya, M., et al. (2016). ‘Ajwa’ dates (Phoenix dactylifera L.) extract ameliorates isoproterenol-induced cardiomyopathy through downregulation of oxidative, inflammatory and apoptotic molecules in rodent modelPhytomedicine.
Rujukan point 6-10
  1. Nizar M. Abuharfeil, et al. (1999). Effect of Date Fruits, Phoenix Dactyliferia L., on the Hemolytic Activity of Streptolysin O. Pharmaceutical Biology.
  2. Saleh FA, et al.(2013). Antibacterial Activity of Date Palm (Phoenix Dectylifera L.) Fruit at Different Ripening Stages. J Food Process Technol 4: 285.
  3. Kchaou, W., et al. (2016). Phenolic profile, antibacterial and cytotoxic properties of second grade date extract from Tunisian cultivars (Phoenix dactylifera L.)Food chemistry.
  4. Zehra, S. et al. (2015). Antioxidant and antibacterial studies of Phoenix dactylifera and its varieties. International Journal of Applied Microbiology and Biotechnology Research 3: 81-88.
  5. Dammak, I., et al. (2010). Effect of date seed oil on p53 expression in normal human skinConnective tissue research.
  6. Khan F, et al. (2016). Ajwa Date (Phoenix dactylifera L.) Extract Inhibits Human Breast Adenocarcinoma (MCF7) Cells In Vitro by Inducing Apoptosis and Cell Cycle Arrest. PLoS ONE.
  7. Al-Qarawi, A. et al. (2004). Protective effect of extracts from dates (Phoenix dactylifera L.) on carbon tetrachloride-induced hepatotoxicity in rats. International Journal of Applied Research in Veterinary Medicine 2(3): 176–180.
  8. Vayalil, Praveen. (2012). Date Fruits ( Phoenix dactylifera Linn): An Emerging Medicinal Food. Critical reviews in food science and nutrition.
Rujukan hadith
  1. Tengku Ibrahim Helmi. 2019. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-347 : FADILAT MEMAKAN TUJUH BIJI KURMA, ADAKAH KHUSUS BUAT KURMA AJWAH MADINAH SAHAJA ATAU UMUM BUAT SEMUA JENIS KURMA?. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (diakses pada 16 Oktober 2020).

2 Comments

  1. Kurma memang makanan sunnah terbaik yang bagus di amalkan. Semasa Nina mengandung, setiap hari makan kurma. Alhamdulillah BP cantik dan sentiasa bertenaga.

Write A Comment