Nutrisi

7 Khasiat Buah Kranberi Untuk Wanita

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah kranberi adalah buah beri dalam keluarga yang sama dengan buah beri biru dan bilberi. Disebalik rasa yang masam, khasiat buah kranberi ini telah menyebabkan buah ini terus mendapat sambutan.

Buah kranberi ini banyak ditanam di Amerika, Kanada dan Chile.

Buah kranberi biasanya tidak dimakan segar atau mentah kerana rasanya yang masam. Buah ini selalunya dibuat jus atau jem.

Selain itu, buah kranberi ini juga turut dikeringkan, dijadikan serbuk atau diekstrak dan digunakan dalam makanan tambahan (supplement).

Secara tradisionalnya, masyarakat barat telah menggunakan buah atau daun kranberi untuk merawat gangguan pada pundi kencing, perut dan hati. Selain itu, ia turut diguanakn untuk merawat diabetes, luka dan masalah lain [1].

Artikel kali ini akan menerangkan mengenai khasiat buah kranberi berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan termasuklah profil nutrisinya.

khasiat buah kranberi

1. Profil Nutrisi

Bagi 100 gram buah kranberi mentah, terdapat nutrien-nutrien berikut (USDA):

  • Tenaga: 46 kcal
  • Protein: 0.5 gram
  • Karbohidrat: 12 gram
  • Serat: 3.6 gram
  • Kalsium: 8 miligram
  • Magnesium: 6 miligram
  • Fosforus: 11 miligram
  • Kalium: 80 miligram
  • Vitamin C: 14 miligram
  • Folat: 1 mikrogram
  • Kolina: 5.5 miligram
  • Vitamin A: 3 mikrogram
  • Vitamin E: 1.3 miligram
  • Vitamin K: 5 mikrogram

Buah kranberi ini juga turut mengandungi vitamin B dan sedikit mineral lain seperti zat besi, zink, tembaga dan selenium.

Selain itu, buah kranberi turut mengandungi antioksidan seperti beta-karotena, kuersetin, mirisetin, peonidin, asid ursolik, proanthocyanidin jenis-A, lutein dan zeaxantin [2].

2. Mencegah Jangkitan Saluran Kencing

Buah kranberi boleh mencegah jangkitan saluran kencing yang biasanya terjadi kepada wanita atau perempuan.

Jangkitan saluran kencing ini biasanya disebabkan jangkitan bakteria seperti E.coli. Bakteria ini akan melekat pada lapisan dalam pundi kencing atau saluran kencing.

Kandungan antioksidan buah kranberi iaitu proanthocyanidin jenis-A didapati boleh mencegah jangkitan saluran kencing kerana bersifat antilekatan terhadap bakteria seperti E.coli [3].

Proanthocyanidin jenis-A ini menghalang bakteria E. coli daripada melekat pada lapisan dalam pundi dan saluran kencing.

Kajian terhadap 40 orang kanak-kanak (39 perempuan dan 1 lelaki) menunjukkan kumpulan yang menerima jus kranberi yang tinggi dengan proanthocyanidin dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing sebanyak 65% [4].

Satu kajian klinikal telah dijalankan terhadap 150 orang wanita yang menghidap jangkitan saluran kencing akibat jangkitan bakteria E.coli. Kajian ini mendapati pengambilan jus kranberi secara tetap boleh mengurangkan jangkitan saluran kencing yang berulang [5].

Satu kajian klinikal lain yang dijalankan terhadap 150 orang wanita berusia 21 hingga 72 tahun mendapati pengambilan jus kranberi atau tablet kranberi boleh mengurangkan simptom jangkitan saluran kencing [6].

Walaupun, hasil-hasil kajian menunjukkan keputusan yang menarik, harus diingat juga bahawa tidak semua jus kranberi yang boleh dibeli di pasaran berkesan untuk mencegah jangkitan salur kencing.

Ini kerana proanthocyanidin jenis-A ini mungkin hilang semasa pemprosesan.

Makanan tambahan (supplement) buah kranberi yang mengandungi proanthocyanidin jenis-A yang mencukupi mungkin lebih berkesan.

Harus diingat bahawa buah atau jus kranberi hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan dan bukannya menyembuhkan jangkitan.

3. Berpotensi Mencegah Kanser

Buah kranberi atau ekstraknya didapati berpotensi dalam mencegah kanser.

Berdasarkan kajian makmal, buah kranberi dilihat mampu merencatkan perkembangan kanser esofagus, perut, kolon, pundi kencing, prostat, limfoma dan otak.

Berdasarkan 34 kajian praklinikal, kranberi didapati boleh mencegah atau melawan kanser melalui beberapa mekanisma berikut:

  • Mencetuskan kematian sel-sel kanser.
  • Merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser.
  • Mengurangkan keradangan.
  • Mengurangkan tekanan pengoksidaan.

Kandungan antioksidan iaitu proanthocyanidin dalam buah kranberi dilihat paling mujarab dalam mencegah sel-sel kanser yang diuji [7].

Walaupun kajian praklinikal menunjukkan hasil yang memberangsangkan, namun kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui kesan sebenar buah kranberi ini terhadap kanser di dalam badan manusia.

4. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol

Khasiat buah kranberi yang seterusnya ialah berupaya untuk membantu merendahkan paras kolesterol.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 30 orang pesakit diabetes mendapati ekstrak kranberi berupaya menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) [8].

Kajian lain turut mendapati bahawa pengambilan jus kranberi yang rendah kalori boleh mengurangkan kolesterol LDL yang teroksida [9].

Kolesterol LDL yang teroksida boleh menyebabkan penyumbatan arteri atau penyakit jantung.

5. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Khasiat buah kranberi yang boleh menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL juga baik untuk kesihatan jantung.

Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan jus kranberi yang rendah kalori boleh meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik) dalam kalangan lelaki yang obes abdomen (buncit) [10].

Kolesterol HDL yang tinggi baik untuk kesihatan jantung kerana kolesterol ini berfungsi menyerap lebihan kolesterol dalam badan dan dibawa ke hati. Kemudian, hati akan menyingkirkan lebihan kolesterol ini dari badan.

Satu kajian lain mendapati jus kranberi pada kepekatan yang tinggi boleh mengurangkan kekerasan (kekakuan) arteri dalam kalangan pesakit jantung [11].

6. Meningkatkan Kesihatan Mulut

Selain itu juga, buah kranberi turut bermanfaat untuk meningkatkan kesihatan mulut.

Kandungan antioksidan dalam buah kranberi iaitu proanthocyanidin (PAC) boleh mencegah atau mengawal penyakit periodontal [12].

Penyakit periodontal melibatkan dua jenis keadaan iaitu gingivitis dan periodontitis. Gingivitis melibatkan gusi berdarah, bengkak dan merah. Periodontitis pula melibatkan jangkitan pada gusi yang lebih serius yang boleh merosakkan tisu lembut atau lebih teruk menyebabkan kehilangan gigi.

Kandungan proanthocyanidin ini juga boleh menghalang bakteria daripada melekat pada permukaan gigi [13].

Kajian makmal yang lain juga turut mendapati proanthocyanidin dalam buah kranberi ini boleh mengurangkan pembentukan plak gigi oleh bakteria Streptococcus mutan (S.mutan) dan karies gigi [14].

Namun, harus diingat bahawa dengan meminum jus kranberi sahaja mungkin tidak berkesan untuk kesihatan mulut kerana masa sentuhan yang singkat antara permukaan mulut dan PAC kranberi.

7. Boleh Mencegah Ulser Perut

Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) adalah antara penyumbang terbesar yang menyebabkan ulser perut, keradangan perut ataupun kanser perut.

H. pylori ini akan melekat pada lapisan tisu dalam perut dan menyebabkan gastritis (penyakit radang perut) dan mengalakkan pembentukan kanser.

Kandungan proanthocyanidin dalam buah Kranberi didapati boleh mencegah bakteria H.pylori daripada melekat pada lapisan tisu perut [15,16].

Kajian terhadap 189 orang dewasa mendapati dengan minum jus kranberi 500ml sehari selama 90 hari boleh mengurangkan jangkitan bakteria H. pylori [17].

Kesan Sampingan

Secara umumnya, buah kranberi atau produk kranberi adalah selamat untuk di makan oleh semua orang.

Tetapi, jika diambil pada kadar yang banyak, buah atau produk ini boleh menyebabkan sakit perut atau cirit-birit terutamanya kepada kanak-kanak [1].

Bagi wanita mengandung atau ibu yang menyusu, tiada maklumat yang mencukupi akan keselamatan penggunaannya untuk tujuan kesihatan.

Dimana Boleh Beli Buah Kranberi atau Jus Kranberi?

Buah kranberi biasanya boleh dibeli di pasar raya sama ada dalam bentuk sejuk beku atau kering. Jus kranberi pula boleh didapati di kedai-kedai yang menjual makanan kesihatan seperti kedai Timur Tengah.

Jus kranberi ini juga boleh dibeli secara atas talian – Beli jus kranberi online.

Rumusan

Buah kranberi dan produk daripada buah ini sememangnya mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan kita.

Banyak kajian yang dijalankan menjerumus terhadap kesannya terhadap jangkitan saluran kencing. Malah, sudah ada produk makanan tambahan (supplement) yang menggunakan ekstrak buah kranberi dalam produk mereka.

Selain itu, buah kranberi turut berkhasiat untuk kesihatan jantung, mencegah kanser, menurunkan paras kolesterol, mencegah ulser perut dan juga untuk kesihatan kesihatan mulut.

Sekiranya anda ingin mengambilkan jus kranberi, pastikan ia tidak dicampur gula tambahan atau pewarna tiruan.

Rujukan
Rujukan
  1. NCCIH. (2020). Cranberry. [diakses pada 2 November 2020].
  2. Neha Pathak. (2020). Health Benefits of Cranberries. WebMD[diakses pada 2 November 2020].
  3. Howell A. B. (2007). Bioactive compounds in cranberries and their role in prevention of urinary tract infectionsMolecular nutrition & food research.
  4. Afshar, K., et al. (2012). Cranberry juice for the prevention of pediatric urinary tract infection: a randomized controlled trialThe Journal of urology.
  5. Kontiokari, T.,et al. (2001). Randomised trial of cranberry-lingonberry juice and Lactobacillus GG drink for the prevention of urinary tract infections in womenBMJ (Clinical research ed.).
  6. Stothers L. (2002). A randomized trial to evaluate effectiveness and cost effectiveness of naturopathic cranberry products as prophylaxis against urinary tract infection in womenThe Canadian journal of urology.
  7. Weh, K. M., et al. (2016). Cranberries and Cancer: An Update of Preclinical Studies Evaluating the Cancer Inhibitory Potential of Cranberry and Cranberry Derived ConstituentsAntioxidants (Basel, Switzerland).
  8. Lee, I. T., et al. (2008). Effect of cranberry extracts on lipid profiles in subjects with Type 2 diabetesDiabetic medicine : a journal of the British Diabetic Association.
  9. Ruel, G., et al. (2008). Low-calorie cranberry juice supplementation reduces plasma oxidized LDL and cell adhesion molecule concentrations in menThe British journal of nutrition.
Rujukan point 5-7
  1. Ruel, G., et al. (2006). Favourable impact of low-calorie cranberry juice consumption on plasma HDL-cholesterol concentrations in menThe British journal of nutrition.
  2. Dohadwala, M. M., et al. (2011). Effects of cranberry juice consumption on vascular function in patients with coronary artery disease. The American journal of clinical nutrition.
  3. Feghali, K., et al. (2012). Cranberry proanthocyanidins: natural weapons against periodontal diseasesJournal of agricultural and food chemistry.
  4. Koo, H., et al. (2006). Influence of cranberry juice on glucan-mediated processes involved in Streptococcus mutans biofilm developmentCaries research.
  5. Koo, H., et al. (2010). Influence of cranberry proanthocyanidins on formation of biofilms by Streptococcus mutans on saliva-coated apatitic surface and on dental caries development in vivoCaries research.
  6. Ora Burger, et al. (2000). A high molecular mass constituent of cranberry juice inhibits Helicobacter pylori adhesion to human gastric mucus. FEMS Immunology and Medical Microbiology.
  7. Shmuely, H., et al. (2004). Susceptibility of Helicobacter pylori isolates to the antiadhesion activity of a high-molecular-weight constituent of cranberryDiagnostic microbiology and infectious disease.
  8. Zhang, L., et al. (2005). Efficacy of cranberry juice on Helicobacter pylori infection: a double-blind, randomized placebo-controlled trialHelicobacter.

1 Comment

Write A Comment