Buah delima adalah antara buah yang mempunyai banyak khasiat di dunia. Buah ini boleh dimakan segar, dibuat jus atau digunakan dalam masakan serta dijadikan ekstrak.
Buah delima dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Pomegranates. Buah delima dikelaskan dalam keluarga Lythraceae. Nama saintifiknya pula adalah Punica granatum.
Buah delima berasal dari Himalaya hingga Iran tetapi telah ditanam sejak zaman dahulu lagi di kawasan Mediterranean. Buah ini juga boleh dijumpai di India dan kawasan kering di Asia Tenggara. Kini, buah ini telah banyak ditanam di Timur Tengah, Utara dan Tropika Afrika, Sub-benua India, Aisa Tengah dan juga Asia Tenggara.
Berikut adalah 10 khasiat buah delima berdasarkan kajian-kajian sains perubatan:
1) Kaya dengan Nutrien Penting
Buah delima dikategorikan sebagai kumpulan beri. Mempunyai saiz kira-kira 5-12 cm diameter dan berwarna merah pada kulit dan isinya. Namun, terdapat juga buah delima yang berkulit merah kekuningan.
Buah ini berkulit agak tebal dan didalamnya terdapat biji-biji yang boleh dimakan. Setiap biji ini diselaputi oleh isi yang berjus dan manis yang dikenali sebagai aril.
Bagi 100g buah delima segar, terdapat nutrien seperti berikut:
Nutrien | Unit | Nilai bagi 100g |
Proksimat | ||
Air | g | 77.93 |
Tenaga | kcal | 83 |
Protein | g | 1.67 |
Jumlah Lipid (lemak) | g | 1.17 |
Karbohidrat | g | 18.7 |
Serat | g | 4 |
Gula, Jumlah | g | 13.67 |
Mineral | ||
Kalsium, Ca | mg | 10 |
Zat Besi, Fe | mg | 0.3 |
Magnesium, Mg | mg | 12 |
Fosforus, P | mg | 36 |
Kalium, K | mg | 236 |
Natrium, Na | mg | 3 |
Zink, Zn | mg | 0.35 |
Vitamin | ||
Vitamin C, jumlah asid askorbik | mg | 10.2 |
Thiamin | mg | 0.067 |
Riboflavin | mg | 0.053 |
Niacin | mg | 0.293 |
Vitamin B-6 | mg | 0.075 |
Folat, DFE | µg | 38 |
Vitamin B-12 | µg | 0 |
Vitamin A, RAE | µg | 0 |
Vitamin A, IU | IU | 0 |
Vitamin E (alfa-tokoferol) | mg | 0.6 |
Vitamin D (D2 + D3) | µg | 0 |
Vitamin D | IU | 0 |
Vitamin K (filokuinon) | µg | 16.4 |
Lipid | ||
Asid Lemak, jumlah tepu | g | 0.12 |
Asid Lemak, jumlah mono tak tepu | g | 0.093 |
Asid Lemak, jumlah poli tak tepu | g | 0.079 |
Asid Lemak, jumlah trans | g | 0 |
Kolesterol | mg | 0 |

2) Boleh Merendahkan Tekanan Darah
Tekanan darah tinggi merupakan penyebab kepada serangan jantung dan strok.
Dalam satu kajian untuk mengetahui ciri-ciri antihipertensi dalam bahagian-bahagian buah delima seperti jus delima, kulit buah delima, ekstrak buah delima dan minyak biji delima. Hasil kajian klinikal dan terhadap haiwan menunjukkan jus delima dapat menurunkan tekanan darah jangka pendek dan jangka panjang (1).
3) Mencegah Kanser Prostat
Pada tahun 2012, dianggarkan lebih 1.1 juta lelaki di Malaysia menghidap kanser prostat. Kanser ini adalah pembunuh keempat selepas serangan jantung, penyakit darah tinggi dan kencing manis (diabetes).
Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap sel, haiwan dan kajian klinikal mendapati jus buah delima dan/atau ekstrak buah delima menganggu tumbesaran tumor, angiogenesis dan metastasis (sel kanser yang merebak) kanser prostat (2).
3) Boleh Melawan Kanser Payudara
Kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia. 1 daripada 19 orang wanita adalah berisiko. Mengikut statistik KKM 2016, kanser payudara menyumbang 32.1% kematian di hospital kerajaan di negara ini.
Jus dan minyak biji (seed oil) daripada buah delima mengandungi polifenol yang boleh melawan sel kanser payudara.
Jus delima yang ditapai (fermented) menunjukkan kesan berganda berbanding jus delima segar dalam mencegah tumbesaran sel kanser. Minyak biji delima pula menunjukkan pencegahan pertumbuhan sel kanser sekitar 54% hingga 90% (3).
4) Boleh Mencegah Kanser Kulit
Kanser kulit kebiasaanya terjadi akibat daripada kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran Ultraungu-B (UVB) merupakan radiasi daripada matahari yang menjadi faktor risiko utama kepada terjadinya kanser kulit.
Ekstrak buah delima, jus buah delima, dan minyak biji delima telah diuji dalam sel kultur, model kulit manusia, dan haiwan yang mempunyai kanser kulit menunjukkan potensi yang besar untuk mencegah kanser kulit yang disebabkan oleh UVB (4,5,6).
5) Mempercepatkan Pemulihan Otot
Dalam satu kajian terhadap 9 atlet angkat berat mendapati bahawa dengan pengambilan jus buah delima asli, masa selama 48 jam untuk pemulihan adalah mencukupi untuk mencapai nilai rehat dari penanda kerosakan otot yang dipilih selepas sesi latihan intensif (7).
6) Baik untuk Penjagaan Gigi
Khasiat buah delima juga turut merangkumi penjagaan gigi.
Berdasarkan kajian, ekstrak hidroalkoholik dari buah delima menunjukkan pengurangan jumlah unit pembentuk koloni bakteria plak gigi sebanyak 84% berbanding ubat pencuci mulut sebanyak 79% (8).
7) Mencegah Sakit Sendi
Kajian oleh Case Western University mendapati, ekstrak buah delima atau sebatian yang diperolehi daripadanya boleh mencegah degradasi rawan dalam Osteoartritis dan juga boleh menjadi suplemen untuk fungsi dan integriti sendi (9).
8) Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Buah delima juga mempunyai khasiat yang berpotensi untuk meningkatkan kesuburan lelaki.
Kajian dijalankan terhadap tikus makmal menunjukkan pengambilan jus delima menambahbaik kualiti sperma dan mengurangkan jumlah sperma yang tidak normal disamping meningkatkan aktiviti antioksidan dalam tikus tersebut (10).
Namun, kajian yang lebih banyak masih diperlukan untuk menyokong dapatan ini.
9) Mampu Menambah baik Daya Ingatan
Satu kajian terhadap pesakit pembedahan jantung mendapati 2g ekstrak buah delima boleh mencegah daripada hilang ingatan selepas pembedahan bagi pesakit tersebut (11).
Kajian lain terhadap 28 pesakit yang mengadu masalah daya ingatan mendapati 237ml jus delima sehari menunjukkan peningkatan signifikan terhadap penunjuk kepada memori penglihatan dan percakapan (12).
10) Mungkin Boleh Merawat Masalah Mati Pucuk
Jus buah delima menunjukkan kapasiti antioksida yang tinggi. Pengambilan jus buah delima pada satu jangka yang panjang meningkatkan pengaliran darah, meningkatkan tindak balas ereksi dan pengenduran otot dengan lancar bagi subjek (arnab) mati pucuk (13).
Dalam satu kajian terhadap 53 lelaki dengan masalah mati pucuk menunjukkan jus buah delima mempunyai manfaat namun tidak signifikan (14).
Ketahui cara makan buah delima yang mudah dan cepat.
Rumusan
Buah delima kaya dengan khasiat untuk tubuh badan kita. Selain buah delima, ekstrak buah delima, minyak biji delima dan jus delima serta ekstrak daun delima juga mempunyai potensi untuk antiobesiti (15).
Buah delima juga sangat bermanfaat untuk mencegah kanser, merendahkan tekanan darah, penyakit sendi dan lain-lain lagi.
Khasiat-khasiat buah delima ini menjadikan buah ini satu pilihan yang baik untuk diamalkan atau dijadikan menu dalam diet yang sihat.