Nutrisi

8 Khasiat Buah Bidara untuk Wanita dan Lelaki

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah bidara mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Secara ringkasnya, khasiat buah bidara termasuklah mengatasi masalah insomnia (sukar tidur), mengurangkan kebimbangan, meningkatkan fungsi otak dan lain-lain.

Buah bidara adalah buah tropika dan subtropika yang boleh didapati di banyak negara Asia hingga Kepulauan Pasifik seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myammar, Nepal, Sri Lanka, Australia, Afghanistan, Bhutan, Vietnam, Afrika, India dan China.

Buah ini mempunyai banyak nama antaranya ialah jujube, indian jujube, chinese date, masau, red date, suan zao ren, ziziphi spinosae, sour date, black jujube, Regi pandu dan indian plum.

khasiat buah bidara

Berikut adalah beberapa khasiat buah bidara untuk kesihatan wanita dan lelaki:

1. Kaya dengan nutrisi yang bermanfaat

Dalam 100 gram (kira-kira 3 biji) buah bidara, terdapat mikronutrien seperti berikut (1, USDA):

  • Tenaga: 79 kcal
  • Protein: 1.2 gram
  • Karbohidrat: 20 gram
  • Serat: 10 gram
  • Kalsium: 21 miligram
  • Zat besi: 0.5 miligram
  • Magnesium: 10 miligram
  • Fosforus: 23 miligram
  • Kalium: 250 miligram
  • Vitamin C: 69 miligram

Buah ini turut mengandungi mikronutrien seperti tembaga, mangan dan juga vitamin B.

Kalori yang rendah dan serat yang tinggi menjadikan buah bidara satu sajian snek yang sihat untuk dimakan.

2. Membantu mengatasi masalah insomnia

Buah bidara telah lama digunakan dalam perubatan Cina untuk merawat masalah sukar tidur atau insomnia.

Buah dan biji bidara mengandungi sebatian flavonoid- saponin dan polisakarida. Saponin didapati boleh bertindak sebagai penggalak untuk tidur dengan meningkatkan masa tidur. Kualiti sedatifnya membantu mendorong tidur dengan memberikan kesan yang menenangkan kepada keseluruhan sistem saraf (2, 3).

3. Kaya dengan antioksidan

Buah ini juga kaya dengan beberapa sebatian antioksidan seperti flavonoid, polisakarida dan asid triterpenik. Buah bidara juga turut mengandungi vitamin C yang juga merupakan salah satu antioksidan.

Antioksidan ialah sebatian yang dapat mencegah kerosakan akibat radikal bebas yang berlebihan.

Kerosakan akibat radikal bebas ini menjadi penyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, dan juga kanser.

Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan aktiviti antioksidan flavonoid dalam buah bidara dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan dan radang yang mengakibatkan kerosakan hati (4).

4. Meningkatkan fungsi otak

Buah bidara juga turut digunakan meluas dalam perubatan alternatif untuk meningkatkan fungsi otak.

Dalam perubatan moden, buah ini bermanfaat kepada otak dengan kesan perlindungan dan mengelakkan kematian sel otak.

Penyakit Parkinson dan Alzheimer adalah penyakit yang berkaitan kerosakan otak yang disebabkan oleh tekanan pengoksidaan (antara faktor penyebab).

Kajian makmal yang dijalankan mendapati ekstrak air bidara menunjukkan perlindungan kepada sel otak daripada kecederaan pengoksidaan dan menghalang pembentukkan ROS (Reactive Oxygen Species) yang boleh menyebabkan kematian sel (5).

Selain itu, buah bidara juga dapat melindungi neuron daripada kerosakan iskemik (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak ) melalui kesan antioksidannya (6).

5. Melegakan Kebimbangan (Anxiety)

Buah bidara telah terbukti mempunyai kesan yang menenangkan terhadap otak dan sistem saraf.

Kajian di China menunjukkan sup dari buah bidara masam berkesan untuk digunakan sebagai ubat untuk kecelaruan keresahan (anxiety disorder) sama seperti ubat Doxepin (7).

Kajian terhadap haiwan juga menunjukkan kesan pengurangan kebimbangan melalui pengambilan ekstrak buah bidara (8, 9).

6. Mengawal tekanan darah

Buah bidara juga kaya dengan kandungan kalium (potassium) dan rendah garam (sodium).

3 biji buah ini membekalkan kira-kira 5.3% RNI (recommended nutrient intake) kalium kepada badan.

Selain membolehkan badan berfungsi dengan baik, kalium juga dapat merendahkan tekanan darah tinggi dengan mengurangkan kesan negatif garam (sodium).

Kalium juga berfungsi mengendurkan dinding pembuluh darah, merendahkan tekanan darah dan melindungi daripada kekejangan otot (10).

7. Meningkatkan keimunan

Buah ini juga boleh meningkatkan keimunan badan.

Satu kajian tabung uji menunjukkan serat dalam buah bidara ini mengalakkan penghasilan sel imun dan meningkatkan kadar sel ini meneutralkan sebatian yang berbahaya (11).

Kajian lain turut mendapati sebatian yang dikenali konjugat polisakarida dalam buah ini boleh meningkatkan sistem imun dan aktiviti antioksidan terhadap haiwan yang diuji (12).

Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia harus dijalankan untuk mengenalpasti manfaat buah ini terhadap sistem imun manusia.

8. Mencegah sembelit

Kira-kira 50% daripada karbohidrat buah adalah datang dari serat.

Serat sangat bermanfaat untuk sistem penghadaman kita. Serat membantu melembut dan membesarkan najis.

Kandungan saponin dan triterpenoid dalam buah ini juga turut memainkan peranan dengan meningkatkan penyerapan nutrien dan mengalakkan pergerakan makanan yang sihat melalui usus (13).

Peringatan!

Buah bidara adalah selamat dimakan oleh kebanyakan orang.

Namun, bagi mereka yang mengambil ubat antidepresan seperti venlafaxine atau sebarang serotonin-nerepinephrine reuptake inhibitor (SSNRI), anda harus mengelak daripada makan buah ini kerana buah ini boleh bertindak balas dengan ubat ini (14).

5 Comments

  1. amri ghani Reply

    buah bidara mempunyai khasiat yang tinggi. Amalkan mkn buah bidara untiuk penjagaan kesihatan diri.

Write A Comment