Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa biji anggur mempunyai banyak khasiat dan kebaikannya. Kebiasaannya, ramai yang suka membeli buah anggur tanpa biji. Mungkin kerana biji anggur ini menganggu semasa kita makan atau kerana rasa pahit kelat jika termakan atau tergigitnya.
Ekstrak dari biji anggur pula telah dihasilkan sejak tahun 1970-an lagi. Kini, ekstrak biji anggur dijadikan sebagai suplemen dengan membuang rasa pahit, mengeringkan dan mendebukan biji anggur tersebut.
Biji anggur ini mengandungi sebatian antioksidan, oligomeric proanthocyanidin (OPC) bersama-sama dengan antioksidan yang lain iaitu asid fenolik, flavonoid, dan anthocyanins.

Berikut merupakan khasiat biji anggur atau ekstrak biji anggur berdasarkan kajian-kajian sains:
1) Melancarkan Aliran Darah
Biji anggur mempunyai keupayaan untuk membantu melancarkan aliran darah.
Ekstrak biji anggur dipercayai mampu memulihkan mereka yang mempunyai masalah salur darah. Contohnya seperti masalah salur darah yang tidak dapat menyalurkan darah daripada kaki kembali ke jantung.
Dalam satu kajian di Jepun mendapati, ekstrak biji anggur membantu mengurangkan bengkak pada kaki wanita sihat akibat duduk yang terlalu lama. Kandungan proanthocyanidin dipercayai memainkan peranan penting dalam penyembuhan ini (1).
Kajian lain yang dijalankan terhadap 17 orang wanita yang telah menopaus mendapati pengambilan ekstrak biji anggur sebanyak 400 mg sehari mempunyai kesan pencairan darah, maka ia berpotensi mengurangkan risiko darah tersumbat (12).
2) Boleh Merendahkan Tekanan Darah
Satu kajian mendapati ekstrak biji anggur mempunyai kesan baik kepada tekanan darah. Keseluruhan analisis mendapati penurunan pada tekanan darah sistolik dan tekanan darah diastolik selepas rawatan dengan ekstrak biji anggur . Kesan ini lebih jelas terhadap subjek kajian yang muda dan obes (2).
Satu kajian lain terhadap 29 orang dewasa mendapati pengambilan ekstrak biji anggur sebanyak 300 mg sehari menunjukkan penurunan signifikan terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik menunjukkan penurunan sebanyak 5.6% dan tekanan darah diastolik menurun sebanyak 4.7% selepas 6 minggu pengambilan ekstrak biji anggur (3).
3) Melindungi daripada Kerosakan Pengoksidaan
Ekstrak biji anggur kaya dengan antioksidan. Antioksidan diketahui mempunyai kebolehan untuk mencegah atau melewatnya kerosakan sel akibat radikal bebas. Radikal bebas ini turut menyebabkan tekanan pengoksidaan yang membawa kepada kerosakan sel.
Satu kajian mendapati ekstrak biji anggur mampu mengurangkan kesan sampingan kardiotoksik yang disebabkan oleh Litium (Li). Litium ini digunakan dalam rawatan depresi dan kecelaruan bipolar (4).
Satu kajian terhadap tikus makmal yang diberikan arsenik trioksida (ketoksidan pembiakan) mendapati ekstrak biji anggur bersama proanthocyanidin mampu mengurangkan kerosakan tekanan pengoksidaan pada testis tikus jantan tersebut (5).
Dalam satu kajian lain, satu kumpulan terdiri daripada 87 orang pesakit yang bakal menjalani pembedahan jantung diberikan ekstrak biji anggur sebanyak 400mg, 24jam sebelum pembedahan. Hasil kajian mendapati tahap penanda tekanan pengoksidaan (tahap malondialdehyde) rendah secara signifikan dalam kumpulan ini. Ini menunjukkan ekstrak biji anggur boleh melindungi jantung (6).
4) Mempercepat Penyembuhan Luka
Ekstrak biji anggur mempamerkan ciri-ciri penyembuhan luka pada haiwan dan juga manusia (7,8).
Satu kajian yang dijalankan di Iran mendapati, rawatan luka menggunakan krim 2% ekstrak biji anggur menunjukkan penyembuhan seawal 8 hari berbanding pesakit yang dirawat menggunakan ubat biasa. Mereka menyimpulkan bahawa kandungan proanthocyanidins dalam EBA ini yang mengalakkan pertumbuhan dalam kulit (9).
5) Baik untuk Penyakit Alzheimer
Beberapa kajian mendapati sebatian polifenol dalam ekstrak biji anggur boleh mencegah, merawat atau melambatkan penyakit Alzheimer (10, 11).
6) Mengurangkan Risiko Kerosakan Buah Pinggang
Buah pinggang adalah organ yang senang terdedah kepada kerosakan akibat tekanan pengoksidaan.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak biji anggur boleh mengurangkan kerosakan buah pinggang dan meningkatkan fungsinya dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan (14).
Kajian terhadap pesakit buah pinggang kronik pula mendapati pengambilan ekstrak biji anggur sebanyak 2 gram sehari selama 6 bulan meningkatkan fungsi buah pinggang melalui pengurangan protein dalam air kencing dan penambahbaikkan kepada penapisan buah pinggang (15).
7) Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Khasiat ekstrak biji anggur turut melibatkan ciri-ciri antibakteria dan antikulatnya.
Dalam satu kajian makmal, ekstrak biji anggur pada kepekatan tinggi bertindak sebagai antibiotik semulajadi terhadap bakteria yang menyebabkan karies gigi iaitu Streptococcus mutans (16).
Kajian makmal yang lain turut menunjukkan ekstrak biji anggur boleh mencegah 43 strain bakteria jenis Staphylococcus Aureus yang rintang kepada antibiotik (17).
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan sifat antibakteria ekstrak biji anggur terhadap bakteria yang menyebabkan kaviti dan penyakit Periodontal (penyakit gusi)(18).
Walau bagaimanapun, kajian klinikal terhadap manusia masih kurang.
Dimanakah Boleh Didapati Ekstrak Biji Anggur ini?
Ekstrak biji anggur dalam bentuk makanan tambahan (suplemen) boleh didapati di farmasi-farmasi atau atas talian – Dapatkan suplemen ekstrak biji anggur online.
Kesan Sampingan dan Dos Selamat
Secara amnya, ekstrak biji anggur selamat digunakan atau dimakan. Dos sekitar 300-800mg sehari selama 8-16 minggu didapati masih selamat.
Walau bagaimanapun, bagi yang mengalami masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah adalah tidak dinasihatkan mengambil ekstrak biji anggur.
Kesan sampingan yang diketahui adalah seperti (19):
- Cirit-birit
- Loya atau muntah
- Mulut kering
- Batuk
- Sakit kepala
- Sakit otot
Elakkan menggabungkan pengambilan vitamin C bersama-sama ekstrak biji anggur ini. Gabungan ini boleh meningkatkan tekanan darah.
Elakkan juga mengambil biji anggur sekiranya anda turut mengambil lactobacillus (probiotik). Ekstrak biji anggur boleh mengurangkan manfaat probiotik ini.
Tindak Balas dengan Ubat-ubatan
Sekiranya anda mengambil ubat-ubat seperti dibawah, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ekstrak biji anggur ini.
- Sesetengah ubat antikemurungan – amitriptyline, clomipramine, desipramine, fluvoxamine (Luvox), imipramine, nortriptyline.
- Sesetengah ubat asma – theophylline zileuton.
- Sesetengah ubat untuk jantung dan darah tinggi – mexiletine, propafenone, propranolol, verapamil
- Sesetengah ubat untuk merawat keresahan dan penyakit mental – chlordiazepoxide, clozapine, diazepam (Valium), haloperidol, mirtazapine, olanzapine.
Kesimpulan
Selain buah anggur, biji anggur juga sebenarnya mempunyai banyak khasiat terutamanya dalam bentuk ekstrak yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita.
Kandungan antioksidannya iaitu proanthocyanidin memainkan peranan penting kepada banyak khasiatnya terhadap kesihatan.
Ekstrak biji anggur menunjukkan peranan yang sangat besar dalam menangani tekanan pengoksidaan yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada manusia.
Ekstrak biji anggur baik untuk aliran darah, tekanan darah, buah pinggang, kulit , jantung dan otak kita.