Buah betik atau nama saintifiknya Carica Papaya merupakan buah yang berasal dari tropika Amerika. Khasiat betik merangkumi banyak aspek, antaranya ialah untuk kesihatan mata, sistem penghadaman, awet muda dan lain-lain lagi.
Sejarah penyebaran buah ini bermula dari selatan Mexico hingga selatan Amerika seterusnya ke kepuluan Caribbean oleh penjelajah Sepanyol. Orang Sepanyol juga telah membawa buah ini ke Eropah dan juga kepulauan pasifik.
Selain rasanya yang enak dan teksturnya yang lembut, buah betik juga mempunyai banyak khasiat dan kebaikannya.
Getah buah betik mempunyai enzim yang dipanggil papain. Enzim ini boleh memutuskan rantaian protein yang boleh dijumpai dalam daging. Oleh sebab itu, getah buah betik sesuai untuk digunakan melembutkan daging.

Berikut merupakan beberapa khasiat dan kebaikan buah betik untuk kesihatan kita berdasarkan kajian sains:
1) Fakta Nutrisi Buah Betik
Nutrien | Unit | Nilai bagi 100g |
Proksimat | ||
Air | g | 88.06 |
Tenaga | kcal | 43 |
Protein | g | 0.47 |
Jumlah lipid (lemak) | g | 0.26 |
Karbohidrat, berdasarkan perbezaan | g | 10.82 |
Serat | g | 1.7 |
Gula, Jumlah | g | 7.82 |
Mineral | ||
Kalsium, Ca | mg | 20 |
Besi, Fe | mg | 0.25 |
Magnesium, Mg | mg | 21 |
Fosforus, P | mg | 10 |
Kalium, K | mg | 182 |
Sodium, Na | mg | 8 |
Zink, Zn | mg | 0.08 |
Vitamin | ||
Vitamin C, jumlah asid askorbik | mg | 60.9 |
Thiamin | mg | 0.023 |
Riboflavin | mg | 0.027 |
Niacin | mg | 0.357 |
Vitamin B-6 | mg | 0.038 |
Folat, DFE | µg | 37 |
Vitamin B-12 | µg | 0 |
Vitamin A, RAE | µg | 47 |
Vitamin A, IU | IU | 950 |
Vitamin E | mg | 0.3 |
Vitamin D (D2 + D3) | µg | 0 |
Vitamin D | IU | 0 |
Vitamin K | µg | 2.6 |
Lipid | ||
Asid Lemak, Jumlah tepu | g | 0.081 |
Asid Lemak, Jumlah mono tak tepu | g | 0.072 |
Asid Lemak, Jumlah poli tak tepu | g | 0.058 |
Asid Lemak, Jumlah trans | g | 0 |
Kolestrol | mg | 0 |
2) Menghilangkan Sembelit
Enzim papain dalam betik boleh memudahkan protein untuk dihadam dalam perut. Ramai yang beranggapan betik boleh merawat masalah sembelit.
Ini selari dengan satu kajian terhadap mereka yang mengalami masalah penghadaman selama 40 hari mendapati, buah betik dapat menyelenggara laluan penghadaman. Di samping itu, ia memulihkan fungsi-fungsi yang mengalami gangguan seperti simptom-simptom sembelit (1).
3) Awet Muda dan Melindungi Kulit
Aktiviti radikal bebas dipercayai menjadi punca kepada kulit berkedut, mengelebeh, dan kerosakan kulit yang lain.
Kandungan vitamin C dan likopena dalam buah ini menjadikannya satu pilihan yang baik untuk mendapatkan kulit yang sihat, melindungi kulit dan melambatkan penuaan kulit kita (2).
Likopena juga didapati boleh melindungi kulit daripada sinaran UV yang menyebabkan kulit kemerah-merahan akibat daripada sinaran ini (8).
4) Boleh Merendahkan Kadar Kolesterol
Kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain seperti strok dan serangan jantung.
Kajian-kajian terhadap haiwan mendapati betik atau ekstrak biji betik boleh merendahkan kadar kolesterol bagi subjek yang diuji.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus mendapati ekstrak biji betik boleh mengurangkan paras trigliserida, kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik) (3).
Walau bagaimanapun, kajian klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan kesan ini.
5) Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan vitamin A dalam betik boleh membantu menghalang daripada penyakit atau kerosakan mata. Kekurangan vitamin A boleh membawa kepada rabun malam (4).
Beta-kerotin dalam betik memberikan warna jingganya sama seperti lobak merah. Antioksidan ini dapat mengurangkan kesan degenerasi makular berkaitan usia (gangguan pada makula retina yang boleh membawa kepada rabun dan buta) (5).
6) Bersifat Antikanser
Dalam satu kajian terhadap 14 jenis buah, hanya buah betik menunjukkan aktiviti antikanser dalam sel kanser payudara (6).
Terdapat satu kajian kes terhadap penghidap kanser perut yang meminum air rebusan daun betik yang menunjukkan penyembuhan.
Selain itu, terdapat laporan mengenai penghidap kanser paru-paru, kanser perut, kanser payudara, kanser pankreas, kanser hati dan kanser darah yang berjaya hidup lebih lama dengan meminum ekstrak daun betik.
Kandungan sebatian bioaktif yang banyak dalam buah betik mempunyai potensi untuk digunakan dalam melawan kanser. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian harus dilakukan (7).
7) Baik untuk Tekanan Darah Tinggi
Penyakit tekanan darah tinggi adalah penyakit kronik yang boleh menyebabkan serangan jantung atau strok.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati jus betik muda boleh menurunkan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Malah, jus betik ini juga dilihat lebih mujarab berbanding ubat darah tinggi jenis hydralazine (9).
Kajian lain turut mendapati ekstrak betik mempunyai kesan antihipertensi yang sama seperti ubat tekanan darah tinggi yang dikenali sebagai Enalapril (10).
Kajian-kajian klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan kesan yang sama terhadap manusia.
Manfaatkan Kesuburan Tanah di Malaysia
Buah betik amat mudah tumbuh di Malaysia. Maka, anda boleh manfaat kelebihan ini dengan menanam sendiri pokok betik dan menikmati buah yang kaya dengan nutirisi ini secara percuma!
Kali terakhir dikemaskini 27 Jun 2020