Siapa sangka bendi mempunyai banyak khasiat. Khasiat bendi merangkumi keseluruhan sayur ini termasuklah lendir dan bijinya. Ya, lendir bendi mempunyai nilai perubatan dan manfaatnya. Jadi, jangan geli dengan lendir bendi ini.
Sayur bendi ini banyak ditanam di Asia Tenggara dan Afrika. Dalam bahasa inggeris, bendi dipanggil sebagai Okra atau “Lady’s Finger“. Nama saintifiknya ialah Abelmoschus Esculentus.
Bendi boleh didapati dalam dua warna iaitu merah dan hijau. Tetapi kebiasaannya, di Malaysia hanya bendi hijau boleh didapati di pasaran. Di samping itu, sayur ini juga mudah untuk ditanam.
Berikut ialah 6 nutrisi dan khasiat bendi untuk kesihatan berdasarkan kajian:
1) Kaya dengan nutrien-nutrien penting
Bendi adalah antara sayur yang tinggi serat dan rendah karbohirat dan kalori. 100g bendi mengandungi nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):
- Air: 90%
- Kalori: 33 kcal
- Protein: 1.93 gram
- Lemak: 0.19 gram
- Karbohidrat: 7.45 gram
- Serat: 3.2 gram
- Kalsium: 82 miligram
- Kalium: 299 miligram
- Folat: 60 mikrogram
- Kolina: 12.3 miligram
- Vitamin C: 23 miligram
- Vitamin A: 36 mikrogram
- Vitamin K: 31.3 mikrogram
- Vitamin B6: 0.22 miligram
Selain itu, bendi juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan zat besi, magnesium, fosforus, zink, tembaga, mangan, dan selenium.

2) Baik untuk kencing manis
Kandungan gula dalam darah yang tinggi menjerumus kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Mengekalkan kadar gula dalam darah yang sihat penting untuk kesihatan kita. Kajian terhadap haiwan menunjukkan pengambilan bendi dapat membantu menurunkan kadar gula dalam darah (1).
Kajian juga mendapati bendi juga boleh mengurangkan penyerapan gula dalam saluran pencernaan, maka sayur ini sesuai untuk pesakit kencing manis (2).
Namun, bendi tidak harus dimakan bersama-sama ubat kencing manis jenis metformin (2).
3) Baik untuk sistem penghadaman
Bendi juga merupakan sayur yang tinggi dengan serat.
Serat diet amat penting bagi memastikan kesihatan sistem penghadaman dan mencegah berlakunya sembelit.
Pemakanan yang tinggi serat juga boleh mengurangkan risiko terkena kanser kolon (3).
Sayur bendi ini juga mengandungi karbohidrat yang dikenali sebagai polisakarida yang boleh mencegah bakteria, Helicobacter pylori yang boleh menyebabkan gastrik dan ulser gestrik (4, 5).
4) Bagus untuk ibu mengandung
Folat (vitamin B9) ialah nutrien penting untuk ibu mengandung. Vitamin ini boleh membantu mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf (6).
100 gram bendi membekalkan 60 mikrogram folat kepada pemakannya iaitu kira-kira 10% RNI bagi ibu mengandung.
Selain itu, kandungan kolina dalam bendi boleh mengurangkan risiko komplikasi semasa mengandung.
Dalam satu kajian mendapati, wanita mengandung yang mengambil kolina pada kadar yang tinggi (930 miligram sehari) dapat mengurangkan risiko praeklampsia (7).
5) Boleh merendahkan kadar kolesterol
Bendi juga boleh dimanfaatkan untuk merendahkan kadar kolesterol dalam badan.
Kolesterol yang tinggi juga dikaitkan dengan risiko penyakit jantung.
Bendi mempunyai lendir. Lendir ini boleh mengikat kolesterol semasa pencernaan seterusnya dikumuhkan bersama-sama dengan najis berbanding diserap ke dalam badan.
Kajian terhadap haiwan mendapati diet mengandungi bendi menyingkirkan lebih kolesterol dalam najis mereka dan mempunyai kadar kolesterol dalam darah yang lebih rendah berbanding kumpulan kawalan (8).
6) Berpotensi mencegah kanser
Bendi juga mengandungi protein yang dipanggil lektin. Lektin dipercayai boleh mencegah tumbesaran sel-sel kanser dalam manusia.
Satu kajian tabung uji mendapati lektin dalam bendi boleh mencegah tumbesaran sel kanser payudara sehingga 63% (9).
Selain itu, kajian terhadap sel-sel melanoma metastatik tikus mendapati ekstrak bendi boleh menyebabkan kematian sel kanser (10).
Kesimpulan
Selain mudah untuk dimasak dan dimakan, sayur bendi juga banyak khasiat untuk kesihatan kita.
Khasiat bendi merangkumi kesihatan ibu mengandung, baik untuk penghidap kencing manis, baik untuk sistem penghadaman dan lain-lain lagi.
Bendi boleh digoreng, direbus atau dicampurkan dalam masakan seperti kari dan asam pedas.