Secara umumnya terdapat dua jenis utama buah Belimbing yang diketahui umum iaitu Belimbing Besi dan Belimbing Buluh. Kedua-dua jenis belimbing ini mempunyai khasiat yang tersendiri.
Belimbing besi biasanya hanya dikenali sebagai Belimbing atau dalam bahasa inggerisnya dikenali sebagai Starfruit atau Carambola. Belimbing ini berasal dari keluarga Oxalidaceae yang dikeatakan berasal dari Sri Lanka tetapi kini banyak ditanam di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Nama saintifik bagi Belimbing ialah Averrhoa carambola L. Belimbing ini boleh dimakan segar dan apabila dipotong, buahnya akan kelihatan seperti bintang 5 bucu. Maka sebab itulah buah ini dikenali sebagai Starfruit atau buah bintang.
Berbeza dengan Belimbing, Belimbing Buluh atau nama saintifiknya Averrhoa bilimbi tidak dimakan segar kerana rasanya yang terlalu masam. Kebiasaanya, Belimbing Buluh dicampurkan dalam masakan. Belimbing Buluh berasal dari Malaysia dan Indonesia.
Buah belimbing telah digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan India sejak dahulu lagi. Buah ini digunakan untuk merawat demam, sakit tekak, batuk, asma, sakit kepala yang kronik dan keradangan pada kulit.

Berikut adalah khasiat-khasiat belimbing berdasarkan kajian moden yang boleh dimanfaatkan dalam diet harian kita.
1. Kaya dengan Nutrisi
Bagi setiap 100 gram buah Belimbing atau Belimbing Besi terdapat (1):
- Air: 92 gram
- Kalori: 24 kcal
- Protein: 0.7 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Karbohidrat: 5.0 gram
- Serat: 1.8 gram
- Kalsium: 5 miligram
- Zat besi: 0.3 miligram
- Fosforus: 12 miligram
- Kalium: 99 miligram
- Vitamin C: 25.8 miligram
Buah ini turut mengandungi vitamin B1, B2 dan B3.
Manakala bagi 100 gram buah Belimbing Buluh pula, terdapat nutrien seperti berikut (2):
- Air: 94.2 gram
- Kalori: 26 kcal
- Protein: 0.7 gram
- Lemak: 1.3 gram
- Karbohidrat: 2.8 gram
- Serat: 0.7 gram
- Kalsium: 12 miligram
- Zat besi: 0.4 gram
- Fosforus: 1 miligram
- Kalium: 80 miligram
- Vitamin C: 15.7 miligram
Buah ini turut mengandungi vitamin B1, B2 dan B3.
2. Kaya dengan Antioksidan
Selain vitamin C, buah Belimbing juga mempunyai sebatian tumbuhan yang menyihatkan seperti kuersetin, asid galik dan epikatekin.
Sebatian-sebatian ini mempunyai ciri-ciri antioksidan yang kuat dan mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan.
Sifat antioksidan ini boleh membantu sistem imun mencegah kanser dan penyakit kardiovaskular (3).
3. Baik untuk Kesihatan Hati
Selain itu, serat dalam buah ini juga didapati boleh mengurangkan kadar kolesterol dan berpotensi untuk mengurangkan risiko hati berlemak (4).
Kajian makmal lain juga turut mendapati buah belimbng berpotensi untuk mencegah kanser hati (5).
Walau bagaimanapun, kajian yang lebih banyak terhadap manusia diperlukan untuk mengesahkan kesan buah ini terhadap manusia.
4. Boleh Mengurangkan Keradangan
Buah Belimbing mempunyai sifat antiradang yang boleh mengurangkan keradangan.
Kajian oleh universiti di Brazil pada tahun 2016 mendapati ekstrak Belimbing mempunyai ciri-ciri antiradang yang bermanfaat untuk merawat sakit akibat keradangan (6).
5. Baik untuk Sistem Penghadaman
Buah Belimbing boleh dikategorikan sebagai buah yang tinggi serat.
Buah ini kaya dengan serat yang tidak larut. Serat tidak larut boleh menyimpan air dengan lebih banyak. Ini akan membantu memudahkan pergerakan najis dalam usus dan merendahkan gula dalam darah dengan memperlahankan penyerapan karbohidrat dalam badan (7).
Kesan Sampingan
Buah Belimbing tidak sesuai dimakan oleh penghidap penyakit buah pinggang kronik.
Hal ini kerana buah Belimbing tinggi dengan kandungan oxalate yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Manakala kandungan caramboxin dalam buah ini pula boleh menyebabkan keracunan tisu saraf kepada pesakit buah pinggang (8, 9).
Kesimpulan
Belimbing ialah buah tropika yang mempunyai khasiat dan sedap. Selain mudah untuk dimakan, buah ini kaya dengan nutrien seperti serat, kalsium, vitamin C dan rendah kalori.
Namun, bagi mereka yang menhidap penyakit buah pinggang dan mengambil ubat preskripsi, dapatkan nasihat doktor sebelum makan buah ini.