Nutrisi

7 Khasiat Bawang Putih Untuk Lelaki dan Wanita

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat bawang putih menjadikan bawang ini sebagai salah satu pilihan dalam rawatan dan masakan. Ada yang menggunakan bawang putih goreng dan bawang putih panggang dalam masakan mereka.

Bawang putih telah digunakan sejak 5,000 tahun dahulu lagi. Bapa perubatan barat iaitu Hippocrates telah banyak menggunakan bawang putih untuk merawat pesakitnya. Perubatan tradisional Cina dan India menggunakan bawang putih untuk membantu dalam pernafasan dan penghadaman serta untuk mengubat serangan parasit dan jangkitan bakteria.

Selain itu, bawang putih turut menjadi salah satu kemestian dalam kebanyakan masakan tempatan kerana manfaatnya yang dapat menyedapkan lagi masakan.

khasiat bawang putih

Bawang putih ini lebih enak dimakan setelah dimasak kerana aromanya yang sangat menyengat. Rasulullah s.a.w tidak menyukainya kerana aromanya.

Dari Abu Ayyub al-Ansary ia berkata, “Rasullullah s.a.w jika diberi suatu makanan maka baginda makan makanan itu, dan baginda menyisihkan sebahagiannya kepadaku. Dan bahawasanya suatu hari baginda mengirimkan kepadaku makanan yang baginda belum memakannya sama sekali kerana di dalamnya terdapat bawang putih. Lalu aku bertanya kepada baginda, “Apakah bawang putih itu diharamkan?” Baginda menjawab, “Tidak. Akan tetapi Aku membencinya kerana aromanya.” Selanjutnya baginda melanjutkan perkataannya, “Sesungguhnya Aku membenci sesuatu yang memang Aku tidak suka.”

HR Muslim dalam Sahih Muslim, kitab al-Asyribah

Berikut adalah beberapa khasiat bawang putih dalam perubatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

1 ) Bawang Putih Boleh Mencegah Kanser

Kajian di China mendapati pengambilan bawang putih mentah sebanyak 2 kali atau lebih dalam seminggu mengurangkan risiko kanser paru-paru. Sifat perlindungan ini bergantung kepada dos yang diambil dan bawang putih berkemungkinan bertindak sebagai ajen pencegah-kemo bagi kanser paru-paru (1).

Kajian lain yang turut dijalankan di China pada tahun 2003 hingga 2007 turut mendapati, pengambilan bawang putih mentah dapat mengurangkan risiko kanser paru-paru bagi populasi di China (2).

Satu kajian di India mendapati bawang putih mempunyai sifat antikarsinogen. Peranan antikarsinogen dalam bawang ini menonjol dalam pencegahan kanser berkaitan perut dan usus. Ia menjadikan bawang putih salah satu pilihan diet antikarsinogen dalam pencegahan kanser (3).

2) Bawang Putih Bersifat Antiobesiti

Minyak bawang putih juga mempunyai kesan antiobesiti. Satu kajian makmal yang dijalankan mendapati minyak bawang putih mempunyai kesan yang signifikan terhadap tikus makmal yang obes dengan mengurangkan berat badan dan melindungi hatinya daripada rosak (4).

Terdapat juga kajian lain yang turut mendapati minyak bawang putih mempunyai ciri-ciri antiobesiti selain turut merendahkan kadar kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida berdasarkan kajian terhadap tikus makmal (5).

Walau bagaimanapun, dapatan ini masih memerlukan kajian klinikal untuk mengesahkan kesannya terhadap manusia.

3) Menyahtoksik dalam Badan

Kajian oleh Mashhad University of Medical Sciences, Iran selama 4 minggu terhadap 114 pekerja kilang pembuat bateri kereta yang terdedah kepada plumbum. Kajian mendapati terdapat satu penurunan yang signifikan kepekatan plumbum dalam darah iaitu hampir 19% setelah penggunaan bawang putih.

Oleh itu, bawang putih disarankan sebagai rawatan kepada keracunan plumbum pada kadar rendah hingga sederhana (6).

Selain itu, pengambilan ubat Paracetamol (Acetaminophen) secara berlebihan boleh menyebabkan keracunan hati. Walaupun 90% daripada ubat ini disingkirkan melalui air kencing, namun terdapat sebahagian kecil ubat ini yang dimetabolismekan oleh enzim hati.

Akibatnya, ia menyebabkan keracunan pada hati. Bawang putih didapati boleh melindungi hati daripada keracunan akibat daripada acetaminophen ini (7).

4) Bertindak sebagai Antibakteria Semulajadi

Bawang putih telah digunakan sejak zaman dahulu lagi dalam merawat penyakit berjangkit. Dikatakan, ahli biologi Perancis, Louis Pasteur telah menerangkan mengenai kesan antibakteria bawang putih sejak 1858 lagi.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Xionan Lu yang diterbitkan dalam Journal of Antimicrobial Chemotherapy.

Sebatian dalam bawang putih iaitu “diallyl sulphide” didapati mempunyai keberkesanan 100 kali lebih baik berbanding dua antibiotik yang popular dalam melawan bakteria Campylobacter jejuni, bakteria yang menyebabkan penyakit usus (8).

Terdapat banyak kajian yang membuktikan bahawa bawang putih berkesan untuk melawan bakteria jenis Salmonella, E.Coli, Pseudomonas, Proteus, Staphylococcus aureus,Klebsiella, Micrococcus, Bacillus subtulis, Clostridium, Mycobacterium dan Helicobacter (9, 10, 11 , 12, 13, 14 , 15).

5) Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Penyakit jantung turut mempunyai kaitan dengan masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol yang tinggi.

Sorotan kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Kanada mendapati bawang putih mempunyai manfaat dalam mengurangkan risiko penyakit jantung melalui penurunan tekanan darah dan kadar kolesterol (16).

Begitu juga dengan sorotan kajian yang lain yang turut mendapati bawang putih mempunyai kesan yang positif terhadap tekanan darah dan kadar jumlah kolesterol (17).

6) Berpotensi Mengubati Masalah Kulit

Selain dimakan, bawang putih yang dijadikan krim sapuan juga mempunyai khasiat dan manfaatnya yang tersendiri.

Satu kajian yang mengabungkan gel bawang putih dengan ubat kulit untuk merawat botak bertompok mendapati kumpulan yang menggunakan gel bawang putih ini menunjukkan kesan yang lebih baik berbanding kumpulan yang tidak menggunakannya (18).

Dalam satu kajian, ekstrak bawang putih telah digunakan untuk merawat ketuat. Hasil kajian mendapati rawatan menggunakan ekstrak bawang putih ini berjaya mengubati ketuat sepenuhnya tanpa berlaku perulangan selama 3 hingga 4 bulan (19).

7) Berguna untuk Melawan Penyakit Seperti Demam Selesema

Pengambilan makanan tambahan daripada bawang putih boleh meningkatkan fungsi sistem imun.

Dalam satu kajian selama 12 minggu mendapati pengambilan makanan tambahan bawang putih setiap hari berjaya mengurangkan demam selesema sebanyak 63%. Selain itu, tempoh demam selesema ini juga turut berkurangan bagi kumpulan yang mengambil makanan tambahan bawang putih (20).

Kajian lain juga turut mendapati pengambilan ekstrak perapan bawang putih boleh mengurangkan tempoh, simptom dan keterukan demam selesema. Hasil kajian ini menunjukkan pengambilan ekstrak perapan bawang putih boleh meningkatkan sistem imun badan (21).

Tips Untuk Mendapatkan Khasiat Bawang Putih Semaksimum Mungkin

Bawang putih mengandungi sebatian sulfur organik yang dikenali sebagai ‘allicin’. Allicin ini terbentuk selepas bawang putih dipotong atau dihancurkan. Allicin ini mempunyai banyak manfaat kesihatan dan mempunyai ciri-ciri antioksidan dan mengurangkan keradangan.

Oleh itu, beberapa tips ini boleh diamalkan semasa memasak untuk mendapatkan manfaat daripada allicin ini.

  • Gunakan bawang putih yang segar dan bukannya yang di dalam botol atau yang telah dikeringkan (serbuk).
  • Selepas memotong atau menghancurkan bawang putih, biarkan sekitar 10-15 minit. Ini untuk membolehkan allicin terbentuk sepenuhnya.
  • Menghancurkan adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan manfaat bawang putih berbanding mencincang atau menghiris. Ini kerana, semakin banyak sel-sel bawang putih ini dihancurkan semakin banyak enzim yang dilepaskan.

Kesimpulan

Sains telah membuktikan bahawa bawang putih mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri. Banyak khasiat bawang putih yang boleh digunakan untuk kesihatan tubuh badan kita.

Walau bagaimanapun, bawang putih boleh menyebabkan bau mulut ataupun sendawa yang tidak menyenangkan.

Write A Comment