Bagi anda yang tercari-cari apa itu khasiat bawang putih bakar tidak kira untuk kesihatan lelaki atau wanita, anda berada di tempat yang betul. Artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat bawang putih bakar untuk kesihatan lelaki dan wanita yang disokong oleh kajian-kajian.
Apa itu Bawang Putih Bakar?
Bawang putih bakar atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil black garlic adalah bawang putih mentah yang telah ditapai dalam satu tempoh masa tertentu pada suhu dan kelembapan yang tinggi.
Proses ini menyebabkan ulas-ulas bawang putih bertukar menjadi hitam dan mempunyai rasa yang manis dan mempunyai tekstur seperti jeli.
Asalan bawang putih bakar tidak diketahui dengan tepat. Tetapi, bawang putih bakar telah lama dijadikan makanan di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Jika hendak dibandingkan dengan bawang putih biasa, bawang putih bakar tidak menghasilkan rasa yang kuat dan tajam kerana kandungan alisin didalamnya telah berkurangan. Alisin ini ditukarkan kepada sebatian antioksidan seperti alkaloid dan flavanoid semasa proses penapaian.
Terdapat pengkaji-pengkaji yang melaporkan bahawa banyak komponen bernilai di dalam bawang putih bakar yang boleh melawan penyakit meningkat semasa proses penapaian.
Khasiat Bawang Putih Bakar Menurut Kajian
Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk melihat khasiat bawang putih bakar untuk kesihatan manusia.
Berikut adalah 12 khasiat bawang putih bakar untuk kesihatan manusia yang disokong oleh kajian-kajian sains perubatan:
1. Tinggi dengan Kandungan Antioksidan
Berbanding bawang putih segar, bawang putih bakar mengandungi kandungan antioksidan yang lebih tinggi.
Antioksidan adalah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan manusia yang sihat daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius seperti penyakit-penyakit kronik.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa kandungan antioksidan seperti polifenol dan flavonoid didalam bawang putih bakar adalah 4 kali lebih tinggi daripada bawang putih segar. [1]
2. Berpotensi untuk Mencegah Kanser
Bawang putih bakar juga didapati berpotensi untuk membantu mencegah kanser.
Khasiat bawang putih bakar ini dapat dilihat dalam beberapa kajian tabung uji. Kajian-kajian mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh:
- Membunuh sel-sel leukemia [2]
- Menyekat dan membunuh sel-sel kanser paru-paru, kanser payudara, kanser perut dan kanser hati. [3]
- Mengurangkan isipadu dan berat tumor bagi sel-sel gastrik manusia. [4]
- Membunuh sel-sel kanser kolon (usus besar). [5]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini masih diperingkat awal dan masih banyak kajian diperlukan terutamanya kajian klinikal untuk menguatkan hasil kajian ini.
3. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Bawang putih bakar juga turut mempunyai aktiviti antiobesiti iaitu boleh membantu mengurangkan berat badan mereka yang memakannya.
Kajian terhadap haiwan yang diberikan makanan tinggi lemak mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh menurunkan berat badan, mengurangkan lemak dibahagian abdomen, mengurangkan paras trigliserida (lemak), mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [6]
4. Boleh Mengurangkan Keradangan
Bawang putih bakar juga bersifat antiradang. Ini bermaksud bawang putih bakar ini boleh mengurangkan atau mencegah keradangan.
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Namun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan, ia boleh membawa kesan negatif. Contoh penyakit yang disebabkan oleh keradangan adalah artritis reumatoid, penyakit usus inflamatori, penyakit kencing manis dan banyak lagi.
Kajian makmal menunjukkan ekstrak bawang putih bakar boleh merencatkan penghasilan enzim-enzim yang terlibat dengan keradangan. Aktiviti ini menunjukkan bahawa bawang putih bakar mempunyai kesan antiradang. [7]
5. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Kepada Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular adalah penyakit yang berkaitan dengan jantung dan saluran darah. Serangan jantung dan strok adalah antara jenis penyakit kardovaskular yang sering berlaku.
Pemakanan bawang putih bakar didapati boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular.
Kajian yang dijalankan terhadap 30 orang wanita pascamenopaus menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak bawang putih bakar selama 12 minggu dengan senaman yang kerap boleh mengurangkan faktor risiko kardiovaskular dengan mengurangkan berat badan, indeks jisim badan, kolesterol total, kolesterol jahat, tekanan oksidatif dan paras homosisteina. [8]
Kajian terkini yang melibatkan 63 orang wanita mendapati pengambilan bawang putih bakar selama setahun menunjukkan penurunan kepada keradangan. Keradangan yang kronik juga adalah faktor risiko kepada penyakit kardiovaskular. [9]
6. Boleh Melindungi Hati daripada Kecederaan
Bawang putih bakar juga turut berkhasiat terhadap kesihatan hati. Bawang putih bakar boleh melindungi hati daripada kecederaan atau kerosakan.
Kajian terhadap haiwan mendapati bawang putih bakar boleh melindungi hati daripada kerosakan akibat daripada alkohol melalui pengurangan kerosakan oksidatif dan peningkatan enzim-enzim antioksidan. [10]
Kajian lain turut mendapati pengambilan bawang putih bakar dalam kalangan haiwan yang diuji menunjukkan penurunan terhadap penanda-penanda kerosakan hati. [11]
7. Baik untuk Sistem Penghadaman
Pemakanan bawang putih bakar juga bermanfaat kepada sistem penghadaman dan mengalakkan penghadaman.
Khasiat bawang putih bakar ini dapat dilihat dalam satu kajian makmal yang mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh melancarkan pergerakan makanan dari mulut hingga ke usus besar dan menggalakkan pembuangan air besar (peninjaan). [12]
Selain itu, kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh mengurangkan kerosakan usus kecil yang disebabkan oleh drug antitumor yang digunakan dalam kemoterapi. Kesan kebaikan ini dipercayai disumbang oleh ciri-ciri antioksidan bawang putih tersebut. [13]
8. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Memiliki tekanan darah sistolik (SBP) 140 mmHg atau lebih dan tekanan darah diastolik (DBP) 90 mmHg atau lebih tinggi, atau kedua-duanya, dianggap menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi.
Bawang putih bakar didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah dalam kalangan pesakit hipertensi.
Kajian yang melibatkan 88 orang pesakit hipertensi mendapati pengambilan ekstrak bawang putih bakar setiap hari selama 12 minggu boleh menurunkan tekanan darah purata dengan ketara. Tambahan daripada itu juga, ekstrak bawang putih bakar ini juga turut menunjukkan potensi untuk menambah baik kekakuan arteri, keradangan dan petanda kardiovaskular yang lain. [14]
Dalam kajian klinikal lain, pengurangan tekanan darah sistolik dapat diperhatikan dalam kalangan 50 orang pesakit hipertensi, purata penurunan ialah sebanyak 10.2 mmHg. [15]
9. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Penyakit kencing manis atau diabetes berlaku apabila badan anda tidak dapat mengambil gula (glukosa) ke dalam sel dan menggunakannya untuk tenaga. Ini mengakibatkan pengumpulan lebihan gula dalam aliran darah anda.
Penyakit kencing manis yang tidak terkawal boleh menyebabkan kerosakan kepada organ-organ dan tisu badan. Terdapat beberapa kajian yang mendapati bawang putih bakar mempunyai potensi antidiabetes.
Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati bawang putih bakar boleh menurunkan paras gula darah dan purata gula darah bagi haiwan yang menghidap diabetes. [16]
Terdapat juga kajian lain yang turut melaporkan bahawa haiwan yang menghidap diabetes yang diberi makan serbuk bawang putih bakar mempunyai paras gula darah dan purata gula darah yang lebih rendah berbanding haiwan yang tidak diberikan serbuk bawang putih bakar tersebut. [17]
Kajian-kajian terhadap haiwan ini menunjukkan potensi bawang putih bakar dalam membantu mencegah dan merawat penyakit kencing manis.
10. Baik untuk Kesihatan Otak
Bawang putih bakar juga turut berkhasiat kepada kesihatan otak. Penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer, Parkinson dan Huntington adalah penyakit yang menjejaskan ingatan, pemikiran dan tingkah laku.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak bawang putih bakar boleh menambah baik ingatan kerja dan cenderung untuk meningkatkan ingatan rujukan bagi haiwan yang mengalami kecacatan kognitif. [18]
Bawang putih bakar juga turut didapati boleh menambah baik ingatan pengiktirafan jangka pendek bagi haiwan yang mengalami kecacatan kognitif. Selain itu, bawang putih bakar turut membantu mengurangkan tindak balas keradangan di dalam otak. [19]
Rumusan
Kajian-kajian menunjukkan bawang putih bakar mempunyai beberapa kelebihan berbanding bawang putih segar. Khasiat-khasiat bawang putih bakar ini menjadikan makanan ini sesuai untuk dijadikan produk makanan berfungsi, makanan tambahan serta untuk tujuan perubatan.
Bawang putih bakar didapati berpotensi untuk mencegah kanser, membantu mengurangkan berat badan, mengurangkan keradangan, mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular, membantu menurunkan tekanan darah dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Choi, I. S. et al. (2014). Physicochemical and antioxidant properties of black garlic. Molecules.
- Park, C. et al. (2014). Induction of apoptosis by a hexane extract of aged black garlic in the human leukemic U937 cells. Nutrition research and practice.
- Purev, U. et al. (2012). Individual differences on immunostimulatory activity of raw and black garlic extract in human primary immune cells. Immunopharmacology and immunotoxicology.
- Wang, X. et al. (2012). Aged black garlic extract induces inhibition of gastric cancer cell growth in vitro and in vivo. Molecular medicine reports.
- Dong, M. et al. (2014). Aged black garlic extract inhibits HT29 colon cancer cell growth via the PI3K/Akt signaling pathway. Biomedical reports.
- Ha, A. W. et al. (2015). The effects of black garlic (Allium satvium) extracts on lipid metabolism in rats fed a high fat diet. Nutrition research and practice.
- Park C. et al. (2009). Aged Black Garlic Inhibits Cyclooxygenase-2 Expression and Prostaglandin E2 Production by Phorbol 12-myristate-13-acetate through Inactivation of Nuclear Factor-KappaB. J Cancer Prev.
- Seo, D. Y. et al. (2012). Independent beneficial effects of aged garlic extract intake with regular exercise on cardiovascular risk in postmenopausal women. Nutrition research and practice.
- Wlosinska, M. et al. (2021). Aged Garlic Extract Reduces IL-6: A Double-Blind Placebo-Controlled Trial in Females with a Low Risk of Cardiovascular Disease. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Kim, M. H. et al. (2011). Hepatoprotective effect of aged black garlic on chronic alcohol-induced liver injury in rats. Journal of medicinal food.
- Shin, J. H. et al. (2014). Hepatoprotective effect of aged black garlic extract in rodents. Toxicological research.
- Chen, Y. A. et al. (2018). Extracts of black garlic exhibits gastrointestinal motility effect. Food research international.
- Yüncü, M. et al. (2006). Effect of aged garlic extract against methotrexate-induced damage to the small intestine in rats. Phytotherapy research.
- Ried, K. et al. (2016). The effect of aged garlic extract on blood pressure and other cardiovascular risk factors in uncontrolled hypertensives: the AGE at Heart trial. Integrated blood pressure control.
- Ried, K. et al. (2010). Aged garlic extract lowers blood pressure in patients with treated but uncontrolled hypertension: a randomised controlled trial. Maturitas.
- Thomson, M. et al. (2016). Anti-diabetic and anti-oxidant potential of aged garlic extract (AGE) in streptozotocin-induced diabetic rats. BMC complementary and alternative medicine.
- Kang, Min Jung. et al. (2013). The Effect of Extract Powder from Fresh and Black Garlic on Main Components in Serum and Organs of Streptozotocin-Induced Diabetic Rats. Journal of Life Science.
- Thorajak, P. et al. (2017). Effects of Aged Garlic Extract on Cholinergic, Glutamatergic and GABAergic Systems with Regard to Cognitive Impairment in Aβ-Induced Rats. Nutrients.
- Nillert, N. et al. (2017). Neuroprotective Effects of Aged Garlic Extract on Cognitive Dysfunction and Neuroinflammation Induced by β-Amyloid in Rats. Nutrients.