Buah bacang adalah buah-buahan tempatan yang semakin dilupakan. Mungkin sukar untuk mendapatkan buah ini di pasaran. Seperti buah-buahan yang lain, bacang juga mempunyai khasiat yang tersendiri.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dengan khasiat bacang yang mungkin tidak diketahui ramai.
Bacang (Mangifera foetida) turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti bachang, machang, membacang, embacang atau dalam bahasa Inggerisnya “horse mango“.
Buah bacang berbentuk bujur dan mempunyai kulit kuning kehijauan apabila ia telah masak. Biasanya, ia tumbuh secara liar di Semenanjung Malaysia, Semenanjung Thailand, Sulawesi, Sumatra dan Borneo. Di Malaysia, buah bacang biasanya dibuat acar buah atau jeruk.

Kredit imej: NParks Flora & Fauna Web
Bacang sebenarnya adalah spesies yang sama dengan buah mangga dan kuini. Buah bacang kurang dimanfaatkan walaupun ia boleh menyumbang kepada pelbagai manfaat kepada kesihatan badan.
Berikut adalah khasiat-khasiat bacang kepada kesihatan anda:
Kaya dengan Pelbagai Nutrien Penting
Memakan buah bacang boleh membekalkan pelbagai nutrien penting kepada fungsi badan. Antara nutrien-nutrien yang tinggi dalam buah bacang adalah: [1]
1. Vitamin C
100 gram buah bacang boleh membekalkan kira-kira 68% keperluan vitamin C harian bagi orang dewasa di Malaysia.
Vitamin C adalah vitamin yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan manusia. Vitamin C akan membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Selain itu, vitamin C juga turut membantu menghasilkan kolagen iaitu protein yang diperlukan untuk menyembuhkan luka dan menegangkan kulit.
Vitamin ini juga turut membantu sistem imun badan untuk berfungsi dengan baik dan seterusnya melindungi diri anda daripada sebarang jangkitan.
2. Vitamin A
Buah bacang juga mengandungi vitamin A dalam bentuk karotenoid. Karotenoid ialah pigmen yang memberikan warna kuning dan oren pada buah bacang. Badan akan menukarkan karotenoid ini kepada vitamin A.
Vitamin A adalah vitamin yang penting kepada kesihatan mata, sistem imun, sistem pembiakan dan pertumbuhan.
Selain itu, vitamin A juga diperlukan oleh organ-organ seperti jantung dan paru-paru untuk berfungsi dengan baik.
3. Vitamin B3 (Niasin)
Vitamin B3 atau niasin adalah antara vitamin B yang tinggi dalam buah bacang. Vitamin B3 ini penting untuk membantu badan menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Selain itu, ia juga turut memainkan peranan penting terhadap fungsi-fungsi sel dan pertumbuhan badan.
Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan anda berasa sangat letih atau kelesuan.
4. Kalsium
100 gram buah bacang juga boleh membekalkan kira-kira 2% keperluan kalsium harian bagi orang dewasa di Malaysia.
Kalsium adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat dan menggerakkan otot.
Kalsium juga turut diperlukan badan untuk membantu saluran darah membawa darah ke seluruh badan dan membantu membebaskan hormon yang mempunyai banyak fungsi kepada badan.
5. Fosforus
Fosforus adalah mineral yang terkandung dalam setiap sel badan. Ia paling banyak terdapat dalam tulang dan gigi anda.
Pengambilan fosforus yang mencukupi melalui makanan boleh membantu badan anda menghasilkan tenaga dan menjalankan proses-proses kimia yang penting.
6. Kalium
Kalium (potassium) adalah mineral yang terdapat banyak dalam banyak makanan. Kalium adalah mineral yang paling banyak fungsinya kepada badan. Badan memerlukan kalium untuk hampir semua perkara yang ia lakukan.
Kalium diperlukan bagi membolehkan buah pinggang, jantung, otot dan saraf berfungsi dengan baik.
Kekurangan kalium boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meningkatkan risiko kepada batu karang.
Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan adalah melalui pengukuran kapasiti antioksidan.
Kajian menunjukkan bahawa buah bacang segar mempunyai kapasiti antioksidan yang paling tinggi berbanding bentuk serbuk atau serat. [2]
Baik untuk Kesihatan Otak dan Tekanan Darah
Buah dan daun bacang mengandungi sebatian flavonoid yang dikenali sebagai kuersetin. Walau bagaimanapun, kuersetin ini lebih tinggi dalam daun bacang berbanding buahnya. [3]
Kuersetin ialah sebatian yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan termasuklah untuk kesihatan otak dan tekanan darah.
Satu kajian terhadap haiwan dengan penyakit Alzheimer mendapati bahawa haiwan yang disuntik dengan kuersetin setiap 2 hari selama 3 bulan menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan terhadap penyakit Alzheimer dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian pembelajaran. [4]
Selain itu, kajian semula yang melibatkan 9 kajian terhadap manusia mendapati pengambilan 500mg kuersetin dalam bentuk suplemen setiap hari boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. [5]
Bersifat Antibakteria
Ekstrak daun bacang juga didapati mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria Streptococcus pneumoniae iaitu bakteria yang boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia).
Khasiat daun bacang ini adalah berdasarkan satu kajian tabung uji yang mendapati ekstrak etil asetat daun bacang boleh mencegah pertumbuhan bakteria Streptococcus pneumoniae. [6]
Rumusan
Bacang adalah antara buah-buahan tempatan yang kurang dimanfaatkan. Selain buahnya, daun bacang juga turut mempunyai khasiat dan kebaikannya.
Kajian-kajian yang dijalankan terhadap bacang masih terhad. Berdasarkan maklumat yang ada, buah bacang kaya dengan vitamin dan mineral yang penting seperti vitamin C, vitamin A dan kalsium.
Di samping itu, buah dan daun bacang juga mungkin bermanfaat untuk kesihatan otak dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah.
Kajian-kajian lanjut masih banyak diperlukan bagi merungkai potensi sebenar buah ini dan seterusnya boleh memberikan manfaat perubatan kepada manusia.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database. Bacang Gelok; Mangifera Foetida.
- Tan, S. T. et al. (2010). Antioxidant Properties of Fresh, Powder, and Fiber Products of Mango (Mangifera Foetida) Fruit. International Journal of Food Properties.
- Fitmawati, F. et al. (2020). Phytochemical screening and antioxidant profiling of Sumatran wild mangoes ( Mangifera spp.): a potential source for medicine antidegenerative effects. F1000Research.
- Sabogal-Guáqueta, A. M. et al. (2015). The flavonoid quercetin ameliorates Alzheimer’s disease pathology and protects cognitive and emotional function in aged triple transgenic Alzheimer’s disease model mice. Neuropharmacology.
- Serban, M. C. et al. (2016). Effects of Quercetin on Blood Pressure: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Journal of the American Heart Association.
- Ristanti, R. (2017). Aktivitas Antibakteri Ekstrak Etil Asetat Daun Mangga Bacang (Mangifera foetida L.) terhadap Streptococcus pneumoniae secara In Vitro. Jurnal Mahasiswa PSPD FK Universitas Tanjungpura.