Air barli ialah minuman yang dihasilkan daripada air rebusan barli. Kadang-kadang air barli mengandungi beras barli dan kadang-kadang berasnya ditapis keluar. Khasiat air barli telah lama dimanfaatkan oleh nenek moyang kita untuk manfaat kesihatan.

Barli ialah bijirin yang didapati daripada pokok padi-padian yang secara saintifiknya dikenali sebagai Hordeum vulgare. Barli juga turut dikenali sebagai padi belanda.

Beras barli (pearl barley) adalah jenis barli yang paling lazim dijumpai di pasaran dan dibuat air. Barli jenis ini telah dibuang kulit luar (sekam) dan bahagian brannya.

Masyarakat di Asia biasanya menikmati air barli dalam bentuk panas atau sejuk, kosong atau ditambah perisa lemon.

Perubatan Ayurveda juga menggunakan air barli untuk merawat jangkitan saluran kencing (UTI) dan membantu menyejukkan badan semasa musim panas. Kajian-kajian moden juga turut mendapati bijirin barli turut mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan.

khasiat air barli
Beras barli (pearl barley)

Berikut adalah beberapa khasiat air barli yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan yang disokong oleh sains.

1. Tinggi dengan Serat

Beras barli tinggi dengan kandungan serat larut (soluble fiber) yang baik untuk sistem penghadaman. Serat larut ialah serat yang larut di dalam air dan boleh melembutkan najis dan menyokong pergerakan dalam usus yang normal.

Secawan beras barli yang dimasak seberat 157 gram mengandungi kira-kira 6 gram serat [1].

Sekiranya anda minum air barli yang tidak dibuang atau ditapis berasnya, maka anda akan mendapat manfaat kandungan seratnya yang tinggi.

Beberapa bentuk serat larut dalam barli adalah seperti beta-glukan, psilium, pektin dan gam guar [2].

2. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah

Air barli juga berkhasiat untuk membantu mengawal gula darah.

Satu ulasan terhadap 34 kajian mendapati air barli boleh membantu mengawal gula darah selepas makan. Kesan ini dipercayai disebabkan kandungan beta-glukan dalam barli [3].

Kesan air barli atau produk barli ini boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). Namun harus diingat bahawa air barli tersebut tidak dicampur dengan gula tambahan.

Kajian lain turut mendapati mereka yang makan makanan mengandungi beras barli menunjukkan peningkatan metabolisme sehingga 14 jam dengan pengurangan paras gula darah dan insulin.

Selain itu juga, beras barli juga boleh meningkatkan bakteria dalam usus iaitu Prevotella yang turut mengawal paras gula darah [4,5].

3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol

Seterusnya, air barli juga turut boleh membantu menurunkan paras kolesterol peminumnya. Kesan ini adalah disebabkan kandungan serat larut dalam bijirin barli iaitu beta-glukan.

Berdasarkan analisis terhadap 11 kajian mendapati kandungan beta-glukan dalam barli boleh merendahkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) [6].

Kajian pada tahun 2017 turut mendapati beta-glukan dalam barli boleh merendahkan paras jumlah kolesterol melalui gangguan terhadap metabolisme asid hempedu [7].

4. Membantu Menurunkan Berat Badan

Salah satu ciri-ciri air barli ialah mengenyangkan. Sifat air barli ini sangat bermanfaat dan boleh membantu mereka yang sedang berdiet untuk menurunkan berat badan.

Kandungan serat yang tinggi dalam barli adalah penyumbang terbesar kepada sifatnya yang mengenyangkan ini.

Kajian menunjukkan serat yang likat seperti beta-glukan mengurangkan selera makan lebih kerap berbanding serat yang kurang likat. Ini akan mempengaruhi pengambilan makanan mereka bagi mereka yang meminum air barli [8].

5. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah

Air barli juga berkhasiat buat mereka yang menghidap tekanan darah tinggi.

Hal ini kerana kandungan serat larutnya dipercayai boleh membantu merendahkan tekanan darah. Ini berdasarkan ulasan terhadap 22 kajian yang mendapati serat larut yang terkandung dalam barli boleh merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik [9].

6. Menguatkan Sistem Imun

Kandungan vitamin dan mineral dalam barli atau air barli juga boleh membantu menguatkan sistem imun.

Beras barli yang dimasak mengandungi folat, zat besi, zink dan selenium. Vitamin dan mineral ini penting untuk memiliki sistem imun yang kuat.

Selain itu juga, sekiranya anda mencampurkan jus lemon ke dalam air barli ini, anda telah menambahkan vitamin C ke dalam minuman ini seterusnya menambah satu lagi vitamin yang boleh menguatkan sistem imun anda.

7. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Khasiat air barli yang seterusnya ialah boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Oleh kerana barli atau air barli boleh mengurangkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan tekanan darah tinggi, ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Ini kerana tekanan darah tinggi dan paras kolesterol LDL yang tinggi adalah dua faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung.

Selain itu, satu ulasan kajian terkini juga melaporkan bahawa pengambilan serat diet dan fitonutrien daripada bijian penuh seperti oat dan barli boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari dan penyakit kencing manis melalui pengurangan paras kolesterol LDL dalam darah, pengawalan paras gula darah selepas makan dan juga meningkatkan populasi bakteria baik dalam usus [10].

Kesan sampingan atau risiko

Walaupun air barli mempunyai banyak kebaikan atau khasiat untuk kesihatan, tetapi terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian iaitu:

  • Air barli adalah tinggi dengan kalori. Oleh itu, pengambilannya harus dikawal dan jangan berlebihan.
  • Barli ialah bijirin yang mengandungi gluten. Mereka yang menghidap penyakit Seliak, alahan gandum atau tak tolerans gluten harus menggelak daripada minum air barli.
  • Tinggi gula tambahan. Terdapat produk air barli yang dijual di pasaran yang mengandungi gula atau pemanis tambahan. Oleh itu, baca label dan minum produk air barli ini pada kadar yang sederhana.

Resepi Air Barli

Air barli mudah untuk disediakan. Air ini juga boleh ditambah dengan perasa semulajadi seperti lemon atau madu. Berikut dikongsikan resepi air barli lemon.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

  • 3/4 cawan beras barli
  • 6 cawan air
  • 2 biji lemon (diparut dan diambil jus)(pilihan)
  • 1/2 cawan madu (pilihan)

Langkah-langkah penyediaan adalah seperti berikut:

  1. Basuh beras barli dengan air paip sehingga bersih.
  2. Masukkan beras barli yang telah dibasuh tadi ke dalam periuk bersama-sama 6 cawan air serta parutan kulit lemon (pilihan).
  3. Masak campuran ini sehingga mendidih menggunakan api sederhana.
  4. Apabila telah mendidih, perlahankan api dan biarkan selama 10 minit.
  5. Tapis campuran beras barli dan parutan kulit lemon tadi.
  6. Tambah madu ke dalam air barli tersebut dan kacau sehingga larut.
  7. Kemudian, tambah jus lemon dan biarkan air ini sejuk ke suhu bilik.
  8. Masukkan air barli ini ke dalam botol dan sejukkan di dalam peti.
  9. Air barli ini sedia untuk diminum.

Nota: Parutan kulit lemon, jus lemon dan madu ini hanyalah pilihan, jika anda tidak menyukainya, anda boleh menyediakan air barli ini seperti biasa tanpa menambah tiga bahan ini.

Rumusan

Air barli mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan. Khasiat air barli ini banyak disumbang oleh kandungan serat larutnya. Selain itu, barli atau air barli turut mengandungi vitamin dan mineral yang turut menyumbang kepada khasiatnya.

Untuk mendapatkan manfaat atau khasiat yang maksimum, minum air barli ini bersama-sama berasnya.

Rujukan
Rujukan
  1. U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019.
  2. Talati, R., et al. (2009). The effects of barley-derived soluble fiber on serum lipidsAnnals of family medicine.
  3. Tosh S. M. (2013). Review of human studies investigating the post-prandial blood-glucose lowering ability of oat and barley food productsEuropean journal of clinical nutrition.
  4. Nilsson, A. C., et al. (2015). Increased gut hormones and insulin sensitivity index following a 3-d intervention with a barley kernel-based product: a randomised cross-over study in healthy middle-aged subjects. The British journal of nutrition.
  5. Petia Kovatcheva-Datchary, et al. (2015).Dietary Fiber-Induced Improvement in Glucose Metabolism Is Associated with Increased Abundance of Prevotella. Cell Metabolism.
  6. AbuMweis, et al. (2010). β-glucan from barley and its lipid-lowering capacity: a meta-analysis of randomized, controlled trials. Eur J Clin Nutr.
  7. Wang, Y., et al. (2017). Barley β-glucan reduces blood cholesterol levels via interrupting bile acid metabolismThe British journal of nutrition.
  8. Wanders, A. J., et al. (2011). Effects of dietary fibre on subjective appetite, energy intake and body weight: a systematic review of randomized controlled trials. Obesity reviews : an official journal of the International Association for the Study of Obesity.
  9. Khan, K., et al. (2018). The effect of viscous soluble fiber on blood pressure: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Nutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
  10. Tosh, S. M., & Bordenave, N. (2020). Emerging science on benefits of whole grain oat and barley and their soluble dietary fibers for heart health, glycemic response, and gut microbiotaNutrition reviews.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like