Nutrisi

Kenali Antioksidan Dan Fungsinya Kepada Badan Manusia

Pinterest LinkedIn Tumblr

Antioksidan ialah bahan semulajadi atau buatan manusia yang boleh mencegah atau melambatkan beberapa jenis kerosakan sel akibat radikal bebas.

Badan juga menghasilkan antioksidan secara semulajadi seperti asid alfa lipoik dan glutation. Makanan juga boleh membekalkan antioksidan kepada badan kita. Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber utama kepada antioksidan.

Antioksidan juga boleh didapati dalam bentuk suplemen (makanan tambahan).

sel rosak akibat kekurangan antioksidan
Sel yang rosak akibat tekanan pengoksidaan (oxidative stress)

Fungsi Radikal Bebas

Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang terbentuk secara semulajadi apabila kita bersenam dan apabila badan menukarkan makanan kepada tenaga.

Disebabkan radikal bebas kekurangan elektron lengkap, radikal bebas ini akan mencuri elektron daripada molekul lain dan merosakkan molekul tersebut dalam proses tersebut.

Badan juga boleh terdedah kepada radikal bebas yang datang dari sumber persekitaran seperti asap rokok, pencemaran udara dan cahaya matahari.

Radikal bebas bukanlah 100% tiada manfaat atau bahaya. Pada kadar yang rendah dan sederhana, radikal bebas turut mempunyai manfaat kepada kesihatan kita.

Sistem imun badan menggunakan radikal bebas untuk melawan serangan jangkitan daripada bakteria atau virus [1].

Oleh sebab itu, badan harus mengekalkan keseimbangan tertentu antara antioksidan dan radikal bebas.

Sekiranya radikal bebas melebihi kuantiti antioksidan, ia boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan yang boleh menyebabkan kerosakan DNA, membran-membran sel dan bahagian sel yang lain.

Kerosakan DNA boleh meningkatkan risiko penyakit kanser [2].

Fungsi Antioksidan

Antioksidan berfungsi sebagai ejen pertahanan kepada sel-sel badan dengan melindungi sel-sel ini daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

Antioksidan meneutralkan radikal bebas dengan memberikan sebahagian daripada elektron mereka tanpa menyebabkan mereka tidak stabil. Tindakan ini akan menstabilkan radikal bebas.

Kesannya, rantaian tidak balas kimia yang berpunca daripada radikal bebas ini boleh dihentikan daripada terus merosakkan molekul-molekul sel lain dalam badan.

Tekanan pengoksidaan ialah fenomena yang terjadi akibat daripada ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan dalam badan.

Tekanan pengoksidaan ini memainkan peranan dalam beberapa jenis penyakit seperti kanser, penyakit kardiovaskular (seperti penyakit jantung dan strok), diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan penyakit mata (seperti katarak dan deginerasi makular berkaitan usia).

Sumber Antioksidan

Diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan sumber antioksidan yang baik. Antara contoh antioksidan ialah vitamin C, vitamin E, selenium, beta-karotena, likopena, lutein dan zeaxantin.

1. Vitamin C

Vitamin larut air yang banyak ditemui dalam buah-buahan sitrus dan jusnya seperti buah lemon, buah oren, kiwi, kranberi serta sayuran seperti bayam, brokoli,kubis dan cili hijau.

Vitamin C juga tinggi dalam buah jambu batu, betik dan buah rock melon.

2. Vitamin E

Vitamin larut lemak yang turut dikenali sebagai alfa-tokoferol. Vitamin ini memainkan peranan dalam sistem imunisasi dan proses metabolisma.

Boleh dijumpai dalam minyak sayuran, kekacang dan bijiran dan sayuran berdaun.

3. Selenium

Mineral dan merupakan komponen enzim antioksidan. Selenium berperanan dalam sistem pembiakan, fungsi kelenjar tiroid, dan penghasilan DNA.

Selenium boleh didapati dalam makanan laut, daging, telur, roti dan bijian.

4. Beta-karotena

Merupakan salah satu kumpulan pigmen merah, jingga dan kuning yang dipanggil karotenoid. Beta-karotena boleh didapati dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijian.

Contohnya seperti aprikot, lobak merah, labu, mangga dan ubi keledek.

5. Likopena (Lycopene)

Likopena juga merupakan salah satu kumpulan pigmen merah yang dipanggil karatenoid. Likopena berperanan memberi warna merah kepada buah-buahan dan sayur-sayuran.

Likopena boleh dijumpai dalam tomato, tembikai, aprikot dan jambu batu.

6. Lutein dan zeaxantin

Juga merupakan dua jenis karotenoid. Boleh dijumpai dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Lutein dan zeaxantin banyak dalam sayuran berdaun seperti bayam, kubis dan kailan.

Manakala, dalam buah-buahan, dua antioksida ini boleh dijumpai dalam buah seperti kiwi, anggur, buah tembikai susu, dan oren.

7. Zink

Zink ialah mineral surih yang masih diperlukan oleh badan walaupun pada kadar sedikit. Zink berperanan dalam pembentukan DNA, tumbesaran sel-sel, menyembuhkan tisu yang rosak, membina protein dan menyokong sistem imun.

Antara makanan yang mengandungi zink adalah daging lembu, tiram, udang, biji labu, kacang gajus, ayam dan itik.

8. Sebatian fenolik

Sebatian fenolik terdiri kumpulan bioaktif yang terdapat dalam banyak makanan berasaskan tumbuhan. Antara sebatian fenolik dan sumber makanan untuk mendapatkannya ialah [3]:

  • Kuarsetin (Quercetin): Epal, bawang,teh hijau dan Ginkgo biloba.
  • Katekin (catechins): Teh, teh hijau, koko, beri dan pir.
  • Resveratrol: Anggur, kacang tanah, beri dan koko.
  • Asid Kumirik (coumaric acid): Rempah dan beri.
  • Antosianin (anthocyanins): Beri biru dan strawberi.

Perlukah Ambil Suplemen Antioksidan?

Ia bergantung kepada keperluan badan anda. Dapatkan nasihat doktor anda sebelum ambil suplemen antioksidan kerana suplemen antioksidan boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan dan dos suplemen antioksidan yang tinggi boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru dalam kalangan perokok.

Antioksidan boleh didapati daripada pemakanan anda seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan ini juga turut mempunyai zat yang lain yang baik untuk badan.

Banyak kajian termasuk kajian klinikal dijalankan untuk mengetahui sama ada suplemen antioksidan boleh mencegah penyakit ataupun tidak.

Kajian klinikal yang dijalankan pada pertengahan tahun 1990-an mendapati suplemen beta-karotena tiada kesan terhadap perlindungan kepada penyakit kardiovaskular dan kanser [4].

Terdapat kajian yang mendapati suplemen beta-karotena meningkatkan risiko kanser paru-paru dalam kalangan perokok. Kajian lain yang mengunakan beta-karotena dan vitamin A turut mendapat keputusan kajian yang sama [4].

Kajian lebih besar yang dijalankan terhadap kira-kira 40,000 orang wanita sihat berumur lebih 45 tahun turut mendapati suplemen vitamin E tidak mengurangkan risiko serangan jantung, strok, kanser, katarak dan degenerasi makular berkaitan usia [5].

Dalam satu ujian lain yang dijalankan terhadap 35,000 lelaki berumur 50 tahun dan ke atas mendapati suplemen selenium dan vitamin E yang di ambil bersama atau berasingan tidak mencegah kanser prostat [6].

Kenapa suplemen tidak berkesan?

Pengkaji berpendapat beberapa faktor yang mungkin menjadi punca kepada kenapa suplemen ini tidak memberi kesan adalah:

  • Kesan dos yang tinggi dalam suplemen antioksidan yang digunakan dalam kajian mungkin berbeza dengan jumlah antioksidan yang diperolehi dalam makanan.
  • Perbezaan dari segi komposisi kimia antara antioksidan dalam suplemen dan antioksidan dalam makanan.
  • Untuk sesetengah penyakit, antioksidan tertentu lebih berkesan berbanding antioksidan yang diuji. Contohnya, lutein dan zeaxantin lebih berkesan berbanding beta-karotena untuk mencegah penyakit mata.
  • Suplemen antioksidan yang diberikan mungkin tidak cukup lama untuk mencegah penyakit kronik yang terbentuk dalam satu tempoh yang lama.

Rumusan

Antioksidan ialah bahan semulajadi atau buatan yang boleh mencegah atau meneutralkan radikal bebas. Ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan.

Tekanan pengoksidaan dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan penyakit mata.

Antioksidan boleh didapati dalam banyak makanan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sekiranya anda mengamalkan diet yang tinggi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, anda tidak sepatutnya digantikan dengan suplemen antioksidan. Ini kerana sumber makanan ini mengandungi antioksidan dan zat-zat lain yang bermanfaat untuk kesihatan badan.

Selain itu, jika anda mengambil ubat-ubatan, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suplemen antioksidan kerana ada ubat yang mungkin mempunyai tindak balas terhadap suplemen ini.

Kemaskini terakhir pada 20 Oktober 2020.

Rujukan
  1. Pham-Huy, L. A., et al. (2008). Free radicals, antioxidants in disease and healthInternational journal of biomedical science : IJBS.
  2. Singh, A. K., et al. (2016). Free radicals hasten head and neck cancer risk: A study of total oxidant, total antioxidant, DNA damage, and histological gradeJournal of postgraduate medicine.
  3. School of Public Health. (n.d). Antioxidants. Harvard T.H. Chan.
  4. Ock Chun et al. (2013). Antioxidant: In Depth. NCCIH.
  5. Lee, I. M., et al. (2005). Vitamin E in the primary prevention of cardiovascular disease and cancer: the Women’s Health Study: a randomized controlled trialJAMA.
  6. Klein, E. A., et al. (2011). Vitamin E and the risk of prostate cancer: the Selenium and Vitamin E Cancer Prevention Trial (SELECT)JAMA.

Write A Comment