Vitamin C adalah salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan kulit. Artikel ini menyenaraikan kebaikan-kebaikan vitamin C untuk kulit dan muka anda.

Vitamin C juga turut dikenali sebagai asid askorbik (ascorbic acid). Vitamin C adalah antara vitamin yang terbanyak di lapisan epidermis kulit (lapisan kulit luar).

Buah-buahan sitrus seperti oren, lemon dan limau nipis adalah antara sumber makanan yang popular untuk mendapatkan vitamin C. Namun, mungkin tidak ramai yang ketahui bahawa buah jambu batu mengandungi vitamin C yang lebih banyak daripada buah oren atau lemon.

Selain boleh diperolehi daripada buah, vitamin C juga boleh diperolehi daripada sayur-sayuran dan juga makanan tambahan (suplemen).

kebaikan vitamin c untuk kulit

Berikut adalah beberapa kebaikan vitamin C untuk kulit kita.

1. Menggalakkan Penghasilan Kolagen

Kebaikan vitamin C untuk kulit yang popular ialah membantu dalam penghasilan kolagen. Kolagen ialah protein dalam badan yang menyediakan struktur kepada kulit, membantu menguatkan tulang dan membantu dalam pembekuan darah.

Kolagen bermula daripada prokolagen. Prokolagen ini pula dihasilkan oleh badan dengan menggabungkan 2 asid amino yang dikenali sebagai prolin dan glisin. Vitamin C digunakan dalam proses ini.

Merokok, makan benda manis terlalu banyak atau terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama boleh merosakkan kolagen.

2. Bertindak Sebagai Antioksidan

Asap rokok, udara tercemar dan sinaran UV boleh menyebabkan terbentuknya radikal bebas dalam badan. Radikal bebas boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan. Tekanan pengoksidaan ini boleh menyebabkan kerosakan sel badan.

Tekanan pengoksidaan ini dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, kanser, Alzheimer, Parkinson dan juga penyakit mata.

Vitamin C bertindak sebagai antioksidan yang boleh meneutralkan radikal bebas yang bahaya untuk kulit.

Selain itu, vitamin C juga berkesan untuk mengurangkan kerosakan pengoksidaan pada kulit terutamanya jika ia digabungkan dengan vitamin E.

3. Melambatkan Penuaan Kulit

Penuaan kulit boleh terjadi melalui 2 proses iaitu secara semulajadi atau persekitaran. Penuaan kulit akibat persekitaran ini adalah berkait rapat dengan gaya hidup seperti merokok atau selalu terdedah kepada bahan cemar.

Selain itu, terdedah kepada ultraungu (UV) secara kronik juga boleh menyebabkan penuaan kulit.

Penuaan kulit secara semulajadi adalah proses biasa yang dialami bagi golongan yang berumur. Penuaan secara semulajadi ini adalah proses yang perlahan .

Kekurangan vitamin C dipercayai menyebabkan masalah penuaan kulit. Kajian yang dijalankan di Eropah mendapati penggunaan krim sapuan vitamin C boleh meningkatkan pembentukan kolagen di semua peringkat umur.

4. Melindungi Kulit Daripada Sinaran UV

Antara cabaran paling besar bagi masalah kulit ialah terdedah terlalu lama kepada sinaran UV. Sinaran UV boleh merosakkan kulit melalui penghasilan spesies oksigen reaktif (ROS). ROS ini akan merosakkan struktur dan fungsi sel-sel kulit.

Selain itu, terdedah terlalu lama kepada sinaran UV boleh menyebabkan penuaan kulit pramatang. Keadaan ini boleh menyebabkan keadaan yang lebih teruk iaitu kanser kulit.

Vitamin C dilihat boleh mengehadkan kerosakan yang berlaku akibat sinaran UV. Kajian makmal mendapati vitamin C dalam bentuk sapuan atau makanan mempunyai kesan yang baik ini.

Di samping itu, kombinasi antara krim sapuan yang mengandungi vitamin C dan vitamin E turut dilihat dapat mengurangkan kecederaan akibat daripada sinaran UV.

5. Mencegah daripada Kulit Kering

Salah satu masalah kulit yang sering terjadi ialah kulit kering. Masalah kulit kering ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa perkara seperti penyakit, penggunaan produk kosmetik yang salah, ubat-ubatan atau disebabkan faktor persekitaran.

Kajian tabung uji mendapati vitamin C mungkin terlibat dalam pembentukan lapisan kulit luar (epidermis) dan mempengaruhi kemampuan kulit untuk mengelak daripada kehilangan air.

6. Mengurangkan Kedutan Kulit

Kedutan kulit boleh terjadi akibat peningkatan usia dan faktor luaran seperti terdedah kepada sinaran UV atau asap rokok.

Pemakaian krim sapuan daripada vitamin C dilihat boleh mengurangkan kedutan kulit yang berlaku. Walau bagaimanapun, kesan vitamin C terhadap kedutan kulit masih tidak cukup meyakinkan kerana teknologi yang digunakan untuk mengukur perubahan yang berlaku adalah terhadap.

Lebih banyak kajian masih diperlukan untuk mendapatkan keputusan yang lebih meyakinkan.

7. Mempercepat Penyembuhan Luka

Kebaikan vitamin C yang seterusnya ialah berupaya mempercepatkan penyembuhan luka.

Penyembuhan luka merupakan satu proses yang kompleks. Ia melibatkan 3 proses utama iaitu keradangan, pembentukan tisu baru dan pemodelan semula.

Kajian mendapati pengambilan vitamin C dalam bentuk makanan tambahan (suplemen) atau krim sapuan boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka.

Selain itu, berdasarkan kajian terhadap 80 orang pesakit mendapati gabungan vitamin C dengan gel silikon boleh membantu mengurangkan pembentukan parut luka yang kekal.

8. Mengurangkan Keradangan Kulit

Jerawat, psoriasis dan dermatitis atopik adalah antara bentuk keradangan kulit . Ia melibatkan gejala seperti sakit, gatal-gatal dan kekeringan.

Terdapat laporan kajian yang mendapati pesakit-pesakit keradangan kulit ini mengalami kekurangan paras vitamin C di kulit mereka.

Kajian lain melaporkan bahawa pesakit dermatitis atopik turut mengalami kekurangan vitamin C dalam darah.

Oleh itu, dengan pengambilan vitamin C dalam bentuk makanan tambahan boleh membantu mengurangkan masalah keradangan kulit ini.

Tanda-tanda Kulit Anda Kekurangan Vitamin C

Terdapat beberapa tanda yang boleh menjadi petanda bahawa kulit seseorang itu kekurangan vitamin C.

Antara tanda-tanda yang boleh dilihat ialah:

  • Luka sukar atau lambat untuk sembuh.
  • Kulit menjadi tebal.
  • Lebam atau pendarahan dalam kulit.
  • Kulit menjadi kasar.
  • Kulit menjadi kering dan rosak.

Bahaya Jika Terlebih Vitamin C

Pengambilan suplemen vitamin C pada masa kini sudah tidak asing lagi.

Malah, ada yang mengambil vitamin C ini dalam bentuk suntikan.

Secara asasnya, vitamin C boleh didapati dalam pemakanan harian yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, keperluan vitamin C yang disarankan kepada lelaki dan wanita dewasa di negara ini ialah sebanyak 70 mg sehari dengan had maksimum 2 000 mg sehari.

Harus diketahui juga bahawa jika vitamin C diambil secara berlebihan boleh menyebabkan masalah lain seperti:

  • Cirit-birit
  • Loya
  • Muntah
  • Pedih ulu hati
  • Kejang di bahagian perut
  • Sakit kepala
  • Insomnia
  • Kerosakan hati akibat zat besi berlebihan
  • Batu karang
  • Kerosakan buah pinggang kepada pesakit buah pinggang

Rumusan

Vitamin C ialah salah satu vitamin dan antioksidan yang mempunyai banyak kebaikan kepada kulit.

Vitamin C boleh membantu mengalakkan penghasilan kolagen, melindungi kulit daripada sinaran UV, melambatkan penuaan kulit, mencegah kulit kering, mengurangkan kedutan kulit, mempercepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan keradangan kulit.

Selain itu, terdapat juga tanda-tanda yang menjadi petunjuk bahawa kulit kita kekurangan vitamin C. Langkah pertama untuk meningkatkan paras vitamin C dalam badan adalah dengan meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi vitamin C.

Sekiranya tidak berjaya, maka barulah boleh beralih kepada makanan tambahan (suplemen). Harus diingat juga, pengambilan vitamin C dalam bentuk makanan tambahan dan suntikan (daripada mereka yang tidak bertauliah) boleh meningkatkan risiko vitamin C berlebihan.

Vitamin C yang berlebihan boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lain.

Rujukan

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

5 Vitamin C Terbaik di Malaysia (Berstatus HALAL)

Vitamin C atau nama lainnya asid askorbik ialah vitamin yang mempunyai banyak…