Kesihatan

Kayap: Punca, Simptom, Rawatan dan Pantang Larang

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kayap adalah penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV). Dalam bahasa perubatan, kayap dikenali sebagai Herpes Zoster. Manakala, dalam bahasa Inggeris, kayap dikenali sebagai Shingles.

Virus Varicella Zoster ini adalah virus yang sama yang menyebabkan penyakit cacar air (chickenpox). Mereka yang pernah terkena penyakit cacar air berisiko untuk terkena penyakit kulit ini.

Seperti penyakit kulit lain seperti kurap dan kudis buta, kayap juga boleh berjangkit terutamanya kepada mereka yang tidak pernah terkena penyakit ini atau tidak pernah menerima vaksin varicella.

kayap-herpes zoster
Kayap
James Heilman, MD, CC BY-SA 3.0, via Wikimedia Commons

Punca Penyakit Kayap

Kayap berpunca daripada virus Varicella Zoster yang menjangkiti badan anda. Mereka yang pernah terkena penyakit cacar air berisiko untuk terkena kayap.

Hal ini kerana, selepas mereka sembuh daripada cacar air, virus ini memasuki sistem saraf badan dan kekal tidak aktif selama bertahun-tahun.

Virus ini kemudiannya boleh kembali aktif dan melalui saraf anda ke bahagian kulit menghasilkan kayap.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang pernah menghidap cacar air akan terkena kayap.

Terdapat juga beberapa faktor risiko yang mendedahkan seseorang itu kepada penyakit kulit ini. Antaranya:

  • Sistem imun yang rendah
  • Peningkatan usia (berusia 50 tahun ke atas)
  • Tekanan emosi
  • Tengah menerima rawatan kanser
  • Penghidap kanser leukemia dan limfoma
  • Penghidap HIV

Simptom-simptom Penyakit Kayap

Simptom-simptom atau gejala penyakit ini biasanya bermula dengan rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat. Selepas beberapa hari, ia akan diikuti dengan ruam merah.

Selain itu, mereka yang dijangkiti boleh juga mengalami simptom-simptom seperti:

  • demam
  • sakit kepala
  • keletihan
  • lemah otot
  • rasa seram sejuk

Ruam merah itu pula mempunyai ciri-ciri berikut:

  • tompok-tompok merah yang menyakitkan
  • lepuh yang mengandungi air
  • gatal-gatal
  • terbentuk di bahagian badan, dada atau muka

Peringkat-peringkat perkembangan penyakit kayap

Pada umumnya, penyakit ini akan berlangsung selama 3 hingga 5 minggu.

Peringkat awal

Pada peringkat awal selepas virus Varicella Zoster ini aktif kembali, pesakit akan berasa sakit, kebas, panas dan gatal-gatal dibawah kulit terutamanya di bahagian urat saraf yang terlibat.

Biasanya, ia melibatkan sebelah anggota badan seperti di bahagian pinggang, belakang atau dada.

Peringkat perkembangan

Selepas kira-kira 5 hari, tompok-tompok merah ruam akan terbentuk di kawasan sakit tersebut.

Selepas 1-2 hari, akan timbul gelembung-gelembung air yang kecil di bahagian itu. Air dalam gelembung ini berwarna jernih atau kekuningan.

Pada masa ini, pesakit akan turut mengalami simptom-simptom seperti demam, sakit kepala dan keletihan.

Peringkat akhir

Dalam masa 10 hari berikutnya, air dalam gelembung-gelembung kecil ini akan menjadi semakin keruh dan akhirnya akan kering.

Gelembung-gelembung yang kering ini akan membentuk keruping dan luruh dengan sendirinya dalam jangka masa 1 -2 minggu.

Setelah keruping ini hilang, sesetengah pesakit mungkin masih mengalami kesakitan. Ia disebabkan oleh bisa di urat saraf akibat serangan virus ini.

Komplikasi

Komplikasi akibat daripada penyakit ini boleh berlaku terutamanya kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:

  • Jangkitan kuman. Jangkitan kuman boleh berlaku pada gelembung-gelembung air pada kulit.
  • Buta atau hilang penglihatan. Sekiranya kayap berlaku di bahagian muka, ia boleh menyebabkan komplikasi pada mata termasuklah menjadi buta.
  • Masalah saraf. Bergantung kepada saraf mana yang terkesan, penyakit ini boleh menyebabkan keradangan otak, lumpuh otot-otot muka (facial paralysis) atau pekak.
  • Neuralgia lepas herpes (postherpetic neuralgia). Neuralgia lepas herpes ialah kesakitan di bahagian urat saraf yang terlibat dalam jangka masa yang panjang. Kesakitan ini selalunya dialami oleh golongan tua (lebih 65 tahun).
  • Komplikasi organ dalaman. Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah berisiko tinggi untuk membentuk komplikasi yang serius pada organ dalaman seperti jangkitan paru-paru (pneumonia) dan keradangan hati (hepatitis).

Rawatan Penyakit Kayap

Rawatan untuk penyakit kulit ini adalah untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku, memendekkan tempoh penyakit dan mengelakkan daripada berlakunya komplikasi.

1. Ubat Antivirus

Ubat antivirus (ubat preskripsi) boleh membantu mempercepatkan penyembuhan dan menggelakkan daripada berlakunya komplikasi.

Antara ubat antivirus yang digunakan adalah:

  • Acyclovir
  • Famciclovir
  • Valacyclovir

2. Ubat Tahan Sakit

Kayap boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan. Ubat tahan sakit belian kaunter yang boleh dibeli di farmasi boleh membantu melegakan ketidakselesaan yang berlaku.

Antaranya:

  • Paracetamol
  • Ibuprofen
  • Naproxen

3. Ubat sapu

Ubat sapu seperti potassium permanganate juga boleh digunakan untuk mengeringkan gelembung-gelembung air.

4. Ubat Neuroaktif

Ubat neuroaktif seperti amitriptyline atau desipramine boleh membantu melegakan kesakitan yang berpanjangan walaupun kulit pesakit telah sembuh.

Petua atau Rawatan Dirumah Untuk Kayap

Beberapa petua atau rawatan dirumah boleh diamalkan untuk melegakan simptom-simptom yang berlaku. Antaranya adalah:

1. Sapu losyen calamine untuk mengurangkan rasa gatal-gatal.

2. Makan makanan yang kaya dengan vitamin C, E, A dan B-12 untuk menguatkan sistem imun.

3. Pes campuran tepung jagung atau baking soda dengan air boleh membantu mengurangkan kegatalan akibat kayap.

Caranya:

  • Masukkan 2 sudu tepung jagung atau baking soda ke dalam satu bekas.
  • Tambah satu sudu air atau lebih untuk mendapatkan tekstur pes.
  • Sapukan pes ini pada bahagian ruam dan bilas selepas 10-15 minit.
  • Amalkan beberapa kali sehari.

4. Cendawan Ganoderma

Ekstrak Ganoderma lucidum kering pada dos 32-72 gram sehari yang dicampurkan dalam air panas didapati boleh mengurangkan kesakitan akibat jangkitan kayap dan neuralgia lepas herpes [1].

5. Krim pokok Belalai Gajah

Pokok Belalai Gajah didapati mempunyai sifat antivirus terhadap beberapa jenis virus termasuklah virus Varicella Zoster dan juga virus Herpes Simplex.

Kajian klinikal mendapati krim yang mengandungi 5% ekstrak pokok Belalai Gajah menunjukkan penyembuhan dalam masa 7 hari dengan peningkatan kadar penyembuhan dan kesan sampingan yang rendah [2].

6. Terapi bekam

Berbekam juga boleh digunakan untuk merawat penyakit kayap.

Satu analisis melaporkan bahawa terapi bekam yang digabungkan dengan ubat-ubatan atau akupunktur boleh membantu merawat penyakit kayap [3].

Pantang Larang Kayap

Penjagaan makanan boleh sedikit sebanyak membantu mengurangkan keradangan yang berlaku. Makanan juga boleh memberi kesan terhadap sistem imun badan.

Oleh itu, sekiranya anda atau orang yang terdekat dengan anda diserang penyakit kulit ini, cuba hindari atau hadkan makanan berikut:

1. Gula atau makanan manis

Gula atau makanan manis boleh melemahkan sistem imun badan yang melawan jangkitan dan meningkatkan keradangan [4, 5].

2. Karbohidrat bertapis

Karbohidrat bertapis ialah karbohidrat yang diproses, dengan kata lain ialah karbohidrat yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Karbohidrat bertapis juga boleh meningkatkan penghasilan radikal bebas yang boleh meningkatkan keradangan [6].

Contoh karbohidrat bertapis ialah roti putih, pasta, pastri dan tepung putih.

3. Makanan segera

Makanan segera juga mempunyai banyak karbohidrat bertapis, makanan yang diproses dan bahan aditif. Bahan-bahan ini boleh melemahkan sistem imun badan dan meningkatkan keradangan [7].

4. Kurangkan makanan mengandungi asid amino “arginine

Arginine atau dalam bahasa melayunya arginina ialah asid amino yang didapati dalam kekacang, telur, ayam dan tepung gandum.

Arginina ini dikaitkan dengan replikasi dan kemudaratan pelbagai virus dalam kajian di makmal termasuklah virus Varicella Zoster [8].

Selain penjagaan makanan, stres atau tekanan juga boleh melemahkan sistem imun badan.

Kayap Semasa Mengandung

Kayap semasa mengandung jarang-jarang berlaku dan tidak mustahil untuk berlaku. Sekiranya, anda ada bersentuhan dengan mereka yang menghidap cacar air atau kayap, anda berpotensi untuk terkena penyakit kulit ini.

Biasanya, ia tidak menyebabkan sebarang komplikasi. Dapatkan rawatan segera sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya anda mendapat sebarang ruam ketika mengandung.

Ubat antivirus, antihistamin dan paracetamol adalah selamat digunakan semasa mengandung bagi mengurangkan rasa gatal-gatal, sakit dan mempercepatkan penyembuhan.

Langkah-langkah Pencegahan

Vaksin seperti Shringix boleh mencegah penyakit herpes zoster ini daripada berlaku. Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak pernah menerima vaksin ini boleh mendapatkan suntikan vaksin ini.

Rujukan
Rujukan
  • Melida Ratini. (2020). What Meds Treat and Prevent Shingles? WebMD [diakses pada 23 Disember 2020].
  • Mayo Clinic Staff. (2020). Shingles. Mayo Clinic [diakses pada 23 Disember 2020].
  • Ana Gotter & Laura Goldman. (2019). Everything You Need to Know About Shingles. Healthline [diakses pada 23 Disember 2020].
  • InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. Shingles: Overview. 2014 Nov 19 [Updated 2019 Nov 21] [diakses pada 24 Disember 2020].
  • Valencia Higuera. (2019). 6 Natural Treatments for Shingles. Healthline [diakses pada 24 Disember 2020].
  1. Hijikata, Y., & Yamada, S. (1998). Effect of Ganoderma lucidum on postherpetic neuralgiaThe American journal of Chinese medicine.
  2. Zainol Haida & Mansor Hakiman. (2019). A Review of Therapeutic Potentials of Clinacanthus nutans as Source for Alternative Medicines. Sains Malaysiana.
  3. Cao, H., et al. (2012). An updated review of the efficacy of cupping therapyPloS one.
  4. Yu, S.,et al. (2018). A high-sugar diet affects cellular and humoral immune responses in DrosophilaExperimental cell research.
  5. Jafar, N., Edriss, H., & Nugent, K. (2016). The Effect of Short-Term Hyperglycemia on the Innate Immune SystemThe American journal of the medical sciences.
  6. Iddir, M.,et al. (2020). Strengthening the Immune System and Reducing Inflammation and Oxidative Stress through Diet and Nutrition: Considerations during the COVID-19 CrisisNutrients.
  7. Myles I. A. (2014). Fast food fever: reviewing the impacts of the Western diet on immunityNutrition journal.
  8. LoBue, S. A., et al. (2019). Recurrent herpes zoster ophthalmicus in a young, healthy individual taking high doses of l-ArginineAmerican journal of ophthalmology case reports.