Kesihatan

Kanser Prostat: Ketahui Tanda-tanda Amaran Ini

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dari dalam kelenjar prostat. Kanser ini paling kerap terjadi kepada lelaki. Kanser prostat boleh sembuh sekiranya dikesan awal. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui tanda-tanda serta rawatan untuk kanser ini agar tindakan awal boleh dilakukan.

Prostat ialah kelenjar yang terletak di bawah pundi kencing. Prostat berfungsi sebagai kelenjar yang menghasilkan cecair air mani. Cecair ini bertindak melindungi dan membantu menyalurkan air mani.

Kanser ini boleh berlaku dalam 2 situasi iaitu:

  • Kanser ini tumbuh dengan perlahan dan mungkin hanya memerlukan rawatan minima atau tidak memerlukan rawatan.
  • Kanser ini tumbuh dan merebak dengan cepat dan memerlukan rawatan.

Sekiranya dapat dikenalpasti pada peringkat awal, peluang untuk kanser prostat ini sembuh melalui rawatan adalah tinggi.

kanser prostat
Sumber imej: Centers for Disease Control and Prevention (cdc.gov)

Punca-punca Kanser Prostat

Punca sebenar yang menyebabkan kanser prostat ini tidak diketahui secara jelas.

Tetapi apa yang diketahui adalah kanser ini bermula dengan sesetengah sel dalam prostat yang menjadi tidak normal.

Kesannya, sel-sel ini bermutasi dan membesar dengan cepat berbanding kadar biasa. Sel-sel yang abnormal ini akan berkumpul membentuk tumor yang seterusnya menjangkiti tisu-tisu terdekat.

Jangkitan ini berlaku apabila sel-sel kanser ini berpisah daripada tumor dan bergerak melalui salur darah atau nodus limfa untuk merebak ke bahagian badan yang lain.

Siapa yang berisiko?

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap kanser ini.

Antaranya adalah:

  • Usia: Risiko kanser ini meningkat dengan peningkatan usia terutamanya bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
  • Sejarah keluarga (keturunan): Risiko terkena kanser ini juga tinggi sekiranya ada ahli keluarga lelaki yang pernah menghidap kanser ini.
  • Hormon: Hormon testosteron yang tinggi mungkin mempercepatkan pembentukan kanser ini.
  • Obesiti: Lelaki obes yang menghidap kanser ini lebih terdedah untuk menghidap penyakit lain yang sukar untuk dirawat.

Tanda-tanda Kanser Prostat

Pada awalnya, kanser prostat tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom.

Tetapi, apabila kanser ini sudah sedikit merebak, beberapa simptom atau tanda boleh dikesan atau dirasai. Antaranya ialah:

  • Sukar untuk kencing.
  • Darah dalam air mani atau air kencing.
  • Kekuatan pancutan air kencing berkurangan.
  • Hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil.
  • Kerap kencing terutamanya pada waktu malam.
  • Ketidakselesaan di kawasan pelvik.
  • Sakit atau tidak selesa semasa duduk.
  • Sakit semasa ejakulasi.
  • Sakit tulang.
  • Mati pucuk.

Tanda-tanda di atas boleh menjadi petanda kepada kanser ini.

Namun, gejala yang melibatkan air kencing adalah antara yang paling biasa terjadi pada peringkat awal. Individu berbeza mungkin mengalami tanda yang berbeza.

Tidak dinafikan juga, tanda atau simptom ini boleh juga disebabkan oleh keadaan lain yang bukannya kanser. Keadaan ini dikenali sebagai hiperplasia prostat benigna (BPH).

BPH ialah keadaan pembengkakan kelenjar prostat yang boleh mengganggu pengaliran air kencing akibat sekatan pada uretra.

Diagnosis

Pengesanan Peringkat Awal

Pemeriksaan pada peringkat awal tanpa kewujudan sebarang simptom boleh dilakukan. Lelaki yang berumur 55 tahun ke atas disarankan menjalani ujian saringan atau pemeriksaan.

Beberapa kaedah ujian saringan yang boleh didapati adalah:

  1. Digital rectal exam (DRE) : Doktor akan memakai sarung tangan getah dan memasukkan jari ke dalam dubur (rektum) anda untuk memeriksa prostat, yang terletak bersebelahan dengan rektum. Sekiranya ada masalah atau keabnormalan, ujian lanjut harus dijalankan.
  2. Ujian Prostate-specific antigen (PSA): Darah diambil dan diuji untuk mengetahui kandungan PSA dalam darah. PSA ialah bahan yang dihasilkan oleh kelenjar prostat dan kebiasaannya sejumlah kecil PSA berada dalam salur darah. Sekiranya jumlah PSA ini terlalu banyak berbanding normal, ia menunjukkan kemungkinan berlaku jangkitan, keradangan, pembesaran atau kanser pada prostat.

Gabungan dua kaedah ini boleh membantu mengenalpasti kanser prostat pada peringkat awal. Namun, masih ada perdebatan mengenainya.

Sekiranya ujian saringan menunjukkan keganjilan atau keabnormalan, doktor akan menyarankan ujian seterusnya bagi memastikan sama ada anda betul-betul mempunyai kanser prostat atau tidak.

Beberapa ujian yang mungkin dijalankan adalah:

  1. Transrectal Ultrasound (TRUS): Doktor memasukkan alat gelombang bunyi ke dalam dubur dan gambar diambil.
  2. Biopsy: Biopsi ialah pengambilan sedikit tisu prostat untuk pemeriksaan di bawah mikroskop.
  3. Computed Tomography (CT atau CAT) Scan: Imbasan ini akan membentuk imej 3 dimensi (3D) badan dengan menggunakan sinar-X.
  4. Magnetic Resonance Imaging (MRI): MRI menggunakan medan magnet untuk menghasilkan imej lengkap badan.

Berdasarkan dapatan terbaru National Institutes of Health, gabungan ujian biopsy sistematik dan biopsy-MRI bersasar boleh meningkatkan keberkesanan diagnosis kepada kanser ini.

Tahap kanser prostat

Tahap atau peringkat kanser prostat terbahagi kepada 4 iaitu:

  • Tahap 1: Kanser yang melibatkan kurang 5% kelenjar prostat
  • Tahap 2: Kanser yang melibatkan lebih 5% kelenjar prostat
  • Tahap 3: Kanser yang melibatkan sarung prostat
  • Tahap 4: Kanser yang melibatkan organ sekeliling seperti pundi kencing atau dubur, nodus limfa pelvik dan bahagian tulang.

Rawatan Kanser Prostat

Rawatan kanser prostat akan bergantung kepada beberapa perkara seperti sebanyak mana kanser ini telah merebak, sepantas mana kanser ini merebak, kesihatan keseluruhan pesakit dan juga potensi kesan sampingan rawatan tersebut.

1. Pembedahan membuang prostat

Pembedahan membuang prostat melibatkan pembuangan kelenjar prostat, tisu-tisu disekelilingnya dan beberapa kelenjar limfa.

Pembedahan ini boleh dijalankan menggunakan kaedah pembedahan dengan bantuan robot atau pembedahan melalui kaedah potongan di bahagian abdomen (perut).

2. Terapi radiasi

Terapi jenis ini menggunakan sinaran bertenaga tinggi (seperti sinar-X) untuk membunuh sel-sel kanser.

Rawatan ini terbahagi kepada dua iaitu:

  • Terapi radiasi luaran: Terapi menggunakan sinaran atau radiasi daripada mesin.
  • Terapi radiasi dalaman (brachytherapy): Terapi yang menggunakan benih radioaktif yang diletakkan dalam tisu prostat. Benih ini akan menghasilkan radiasi pada dos yang rendah dalam jangka masa yang lama.

3. Terapi hormon

Terapi hormon ialah rawatan yang menghentikan penghasilan hormon testosteron (hormon lelaki) dalam badan. Sel-sel kanser prostat bergantung kepada hormon ini untuk membesar.

Oleh itu, dengan menghentikan bekalan hormon ini sel-sel kanser akan mati atau tumbuh dengan lebih perlahan.

4. Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel yang membesar dengan cepat termasukah sel-sel kanser.

Kemoterapi boleh menjadi pilihan rawatan kepada pesakit kanser prostat yang telah merebak ke bahagian badan yang lain.

5. Menyejukbeku tisu prostat

Kaedah ini dikenali sebagai Crysurgery atau Cryoablation.

Kaedah rawatan ini akan menyejukbeku tisu untuk membunuh sel-sel kanser.

6. Terapi biologi

Kaedah rawatan ini pula menggunakan sistem imun dalam badan untuk melawan sel-sel kanser.

Salah satu terapi biologi ini dipanggil Sipuleucel-T. Rawatan ini sangat mahal dan memerlukan beberapa kali rawatan.

Cara Mencegah Kanser Prostat

Kaum lelaki boleh mengurangkan risiko mendapat kanser ini melalui amalan dan gaya hidup yang sihat.

a) Amalkan pemakanan yang tinggi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Hindari makanan yang tinggi kandungan lemak. Banyakkan makan sayuran hijau, buah-buahan dan bijirin penuh. Amalkan makanan yang boleh mencegah kanser prostat ini.

b) Pilih makanan yang sihat atau makanan tambahan (suplemen).

Makan makanan yang sihat dapat membekalkan keperluan nutrien-nutrien penting untuk kesihatan badan termasuklah untuk kesihatan prostat.

Sekiranya anda sukar untuk mendapat nutrien-nutrien penting untuk kesihatan prostat. Mungkin makanan tambahan atau suplemen boleh membantu.

Walau bagaimanapun, tiada bukti yang kukuh yang menunjukkan makanan tambahan boleh mengurangkan risiko kanser prostat.

c) Selalu bersenam.

Bersenam dapat menyihatkan tubuh badan secara keseluruhannya.

d) Kekalkan berat badan yang sihat.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor sekiranya anda mempunyai simptom atau gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Risiko kanser ini meningkat selari dengan peningkatan usia. Oleh itu, sentiasa terbuka untuk menceritakan permasalahan atau tanda-tanda yang anda hadapi dengan doktor anda.

Kemaskini terakhir pada 5 Oktober 2020.

Rujukan

Write A Comment