Dahulu mungkin keju kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Tetapi, sejak kebelakangan ini, kita boleh lihat perubahan yang mendadak di mana banyak menu masakan menggunakan keju sebagai bahan tambahan. Terdapat banyak jenis keju yang dijual di pasaran dan ada juga keju yang menjadi identiti buat sesebuah negara.
Apa itu keju? Keju ialah produk tenusu yang dihasilkan daripada susu dan dijadikan dalam banyak bentuk, tekstur dan perisa dengan membekukan protein susu. Lazimnya, susu lembu, kerbau, kambing atau biri-biri digunakan untuk menghasilkan keju.
Rata-rata keju yang dijual di pasaraya sebenarnya bukanlah keju asli kerana ia lebih dikenali sebagai keju proses. Keju proses ialah keju asli yang telah dicampur dengan bahan-bahan lain seperti emulsifier, garam, gula, pewarna atau minyak sayuran.
Keju proses dilihat sebagai penyelamat kepada permintaan yang tinggi di pasaran dan sifatnya yang lebih tahan lama dan lebih murah.
Berbalik kepada keju asli, terdapat kira-kira 500 jenis keju yang dikenalpasti oleh Federasi Tenusu Antarabangsa.
Berikut adalah senaraikan beberapa jenis keju yang popular di pasaran dan keju yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri:
1. Cheddar

Keju Cheddar ialah keju padat yang dihasilkan daripada susu lembu. Menurut sejarahnya, keju ini mula-mula sekali dihasilkan di sebuah pekan di England yang bernama Cheddar.
Kini, keju Cheddar adalah antara keju yang mudah untuk didapati di seluruh dunia. Keju Cheddar separa keras dan berwarna putih hingga kuning pucat.
Terdapat juga sesetengah pembuat keju ini menambah warna oren ke dalam keju ini menjadikannya berwarna oren kekuningan.
2. Mozzarella
Keju Mozzarella ialah keju yang berasal dari Itali. Asalnya, keju Mozzarella dihasilkan daripada susu kerbau tetapi kini keju ini banyak dihasilkan daripada susu lembu.
Keju ini mempunyai tekstur separa lembut dan berwarna putih pada awal penghasilannya. Tetapi boleh berubah warna kepada warna kuning apabila sudah lama.
Keju ini biasanya dimakan sehari selepas pembuatannya kerana mempunyai kelembapan yang tinggi. Namun, bagi keju Mozarella yang mempunyai kelembapan yang rendah boleh disimpan sehingga sebelum dalam peti sejuk.
3. Parmesan
Keju Parmesan juga adalah antara keju yang mudah didapati dan banyak dimakan di seluruh dunia. Penciptaan keju ini diilhamkan oleh keju dari Parma, Itali iaitu Parmigiano-Reggiano.
Keju Permesan mempunyai tekstur yang keras dan rapuh. Keju ini dihasilkan daripada susu lembu dan berwarna kuning pucat.
4. Cottage
Keju cottage ialah keju yang berasal dari Amerika Syarikat. Keju ini mempunyai tekstur berkrim dan lembap.
Keju ini lazimnya berwarna putih dan tinggi dengan kandungan protein serta rendah kalori. Keju ini sesuai buat mereka yang ingin mengurangkan pengambilan kalori harian.
5. Emmental
Keju Emmental ialah keju yang berasal dari kawasan yang bernama Emmental, Switzerland. Keju ini dihasilkan menggunakan susu lembu yang tidak dipasteurkan.
Keju Emmental mempunyai tekstur yang sederhana keras dan berwarna kuning. Keju Emmental biasanya diperam selama 2 hingga 18 bulan mengikut jenis-jenisnya.
Salah satu ciri-ciri unik bagi keju ini ialah mempunyai rongga udara di dalamnya. Rongga udara ini terhasil semasa proses penapaian (fermentasi) yang turut menjadikan keju ini sukar untuk dihasilkan.
6. Brie
Keju Brie ialah keju yang berasal dari satu kawasan bernama Brie di Perancis. Keju Brie ini boleh dihasilkan dengan susu penuh atau susu separa skim.
Keju ini berwarna pucat dengan sedikit warna kekelabu-kelabuan di bawah lapisan kulit yang ditumbuhi kulat putih. Keju ini mempunyai tekstur yang lembut. Keju Brie juga tinggi dengan kandungan protein dan vitamin B12.
7. Feta
Keju Feta ialah keju yang berasal dari negara Greece. Keju ini dihasilkan menggunakan susu kambing atau biri-biri.
Keju Feta berwarna putih dan mempunyai tekstur licin dan rapuh.
8. Gauda
Keju Gauda ialah keju yang berasal dari Belanda. Keju ini mempunyai tekstur yang lembut dan berkrim.
Keju Gauda dihasilkan daripada susu lembu dan berwarna kuning cerah. Keju ini juga adalah antara keju yang popular di seluruh dunia.
9. Camembert
Keju Camembert adalah keju yang jarang-jarang dihasilkan. Keju ini berasal dari kawasan Normandy, Perancis.
Keju ini dihasilkan daripada susu lembu dan mempunyai tekstur yang lembut, berkrim dan lembap. Keju Camembert mempunyai persamaan dengan keju Brie dari segi kelembutannya tetapi berbeza dari segi asal, rasa, aroma, masa kematangan, bentuk dan saiz.
10. Manchego
Keju Manchego atau nama lainnya Queso Manchego adalah keju yang berasal dari negara Sepanyol. Keju ini adalah antara keju terbaik di dunia. Pemeraman keju ini haruslah dalam jangka masa 60 hari sehingga 2 tahun bagi memenuhi syarat sebagai keju Manchego sebenar.
Keju Manchego dihasilkan daripada susu biri-biri daripada keturunan Manchega. Keju ini mempunyai tekstur yang padat dan berwarna putih hingga kuning gading.
11. Gorgonzola
Keju Gorgonzola adalah sejenis keju biru yang berasal dari Itali. Keju ini dihasilkan daripada susu lembu. Keju ini juga mempunyai tekstur yang lembut dan mudah hancur.
Seperti keju Manchego, keju Gorgonzola juga turut mendapat perlindungan daripada kesatuan Eropah berkenaan lokasi pembuatannya di mana keju-keju Gorgonzola yang dijual di Eropah mesti dihasilkan di beberapa wilayah ini sahaja.
12. Halloumi
Keju Halloumi ialah keju yang berasal dari Cyprus. Keju ini dihasilkan daripada campuran susu kambing dan susu biri-biri atau susu lembu.
Keju ini terkenal dengan takat lebur yang tinggi menjadikannya sebagai keju yang sesuai untuk digril atau digoreng.
Keju Halloumi ini mempunyai tekstur yang lembut dan kelihatan hampir sama dengan keju Mozarella.
Keju ini juga turut dilindungi dengan tanda dagangan dan perlindungan di bawah undang-undang Kesatuan Eropah.