Apnea tidur menyebabkan seseorang yang menghidapnya berhenti bernafas ketika tidur. Umumnya, terdapat 3 jenis apnea tidur iaitu obstrukif, pusat dan kompleks.
Apnea tidur lebih banyak berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Apa yang membimbangkan lagi adalah, anda mungkin tidak menyedari bahawa anda menghidap apnea tidur.
Sekiranya anda sering berdengkur dengan kuat dan berasa penat walaupun selepas tidur yang mencukupi pada waktu malam, anda mungkin menghidap apnea tidur.

Penyelidikan mengaitkan apnea tidur dengan keradangan dalam badan. Ini bermakna ia boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, penyakit kencing manis atau strok.
Mengetahui tentang pelbagai jenis apnea tidur boleh membantu anda mengenal pasti punca kepada gejala-gejala yang dialami dan mendapatkan rawatan perubatan yang betul.
1. Apnea Tidur Obstruktif
Apnea tidur obstruktif adalah jenis apnea tidur yang paling banyak berlaku. Ia berlaku apabila otot tekak mengendur dan menyekat aliran udara ke dalam paru-paru.
Apnea tidur obstruktif lebih banyak berlaku kepada lelaki berusia, mempunyai berat badan belebihan, wanita hamil dan mereka yang tidur secara berbaring.
Apnea tidur obstruktif juga boleh menyebabkan berdengkur dan boleh menyebabkan seseorang terjaga dengan perasaan seolah-olah tidak boleh bernafas.
Antara gejala-gejala apnea tidur obstruktif yang lazim berlaku adalah:
- Berdengkur
- Berasa penat apabila terjaga
- Mengantuk pada siang hari
- Bangun dengan mulut kering
- Sering sakit kepala
- Tercungap-cungap semasa tidur
Rawatan
Merawat apnea tidur jenis ini memerlukan pembetulan kepada halangan yang menghalang saluran pernafasan.
Kadangkala, menukar posisi tidur sudah memadai. Ada juga yang mendapati bahawa menurunkan berat badan, berhenti merokok atau menjadi lebih aktif secara fizikal boleh mengurangkan gejala-gejala.
Selain itu, rawatan perubatan yang boleh membantu adalah:
- Continous positive airway pressure (CPAP): Mesin CPAP secara berterusan meniup udara ke dalam kerongkong melalui topeng yang dipakai di atas hidung (atau hidung dan mulut), memastikan saluran udara terbuka.
- Pembedahan: Pembedahan boleh menangani masalah struktur dalam mulut dan saluran pernafasan atas.
- Ubat-ubatan: Sesetengah ubat boleh membantu menangani mengantuk pada waktu siang jika ia berterusan selepas rawatan yang mencukupi.
- Perkakas oral: Perkakas tertentu boleh membantu memastikan saluran udara terbuka dengan menghalang lidah daripada jatuh ke belakang lelangit lembut.
2. Apnea Tidur Pusat
Apnea tidur pusat adalah gangguan di mana pernafasan anda berulang-kali berhenti dan bermula semasa tidur.
Apnea tidur pusat berlaku kerana otak anda tidak menghantar isyarat yang betul kepada otot yang mengawal pernafasan anda.
Keadaan ini berbeza dengan apnea tidur obstruktif, di mana anda tidak boleh bernafas secara normal kerana halangan saluran pernafasan atas.
Apnea tidur pusat lebih jarang berlaku berbanding apnea tidur obstruktif.
Apnea tidur pusat boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti kegagalan jantung dan strok. Sebab-sebab lain adalah tidur di tempat beraltitud tinggi.
Sesetengah orang mungkin tidak mengalami gejala. Manakala, sesetengah yang lain mungkin mengalami:
- Kesukaran untuk tidur (insomnia)
- Mengantuk pada siang hari
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Terjaga secara tiba-tiba disertai dengan sesak nafas
Rawatan
Adalah penting untuk menangani punca sebenar yang menyebabkan apnea tidur pusat.
Selain itu, rawatan-rawatan berikut boleh membantu:
- Continuous positive airway pressure (CPAP): CPAP boleh menghalang penutupan saluran pernafasan yang boleh mencetuskan apnea tidur pusat.
- Adaptive servo-ventilation (ASV): Jika CPAP tidak berkesan, anda mungkin diberi ASV. Seperti CPAP, ASV juga menghantar udara bertekanan.
- Bilevel positive airway pressure (BPAP): Seperti ASV, BPAP memberikan tekanan apabila anda menarik nafas dan jumlah tekanan yang berbeza apabila anda menghembus nafas.
3. Apnea Tidur Kompleks
Apnea tidur kompleks adalah jenis apnea tidur yang menggabungkan apnea tidur obstruktif dan apnea tidur pusat.
Apnea tidur kompleks adalah satu bentuk gangguan pernafasan di mana apnea tidur pusat berterusan atau muncul apabila kejadian apnea tidur obstruktif telah hilang dengan terapi tekanan saluran udara positif.
Gejala-gejala apnea tidur kompleks adalah sama dengan apnea tidur obstruktif:
- Kelesuan pada siang hari
- Terjaga semasa tidur
- Sakit kepala
- Mulut kering ketika terjaga
- Sukar untuk tidur (insomnia)
- Tidur yang tidak berkualiti
Rawatan
Rawatan untuk apnea tidur kompleks mungkin melibatkan gabungan intervensi seperti rawatan untuk punca sebenar dan penggunaan CPAP atau jenis tekanan saluran udara positif yang lain.
Rumusan
Apnea tidur boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang dan ia merupakan faktor risiko untuk banyak penyakit yang boleh membawa maut.
Rawatan yang betul boleh membantu seseorang mendapat rehat malam yang baik dan boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan kronik.
Rujukan
- Memon J, Manganaro SN. Obstructive Sleep-disordered Breathing. [Updated 2022 Aug 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Khan, M. T., & Franco, R. A. (2014). Complex sleep apnea syndrome. Sleep disorders.
- Mayo Clinic Staff. (2021). Central sleep apnea. MayoClinic