Nutrisi

GMO (Genetically Modified Organism): Kebaikan & Keburukan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Genetic Modified Organism (GMO) atau Organisma Terubah suai Genetik didefinasikan sebagai organisma yang mana genetiknya telah dimanipulasi dalam makmal melalui kejuruteraan genetik atau teknologi transgenik.

Manakala, makanan yang terhasil daripada pengubahsuaian bahan genetiknya (DNA) melalui penggabungan dengan genetik organisma lain pula dikenali sebagai makanan terubah suai genetik (GMF).

Kebanyakan GMO dibuat bertujuan untuk menambah penghasilan tanaman iaitu hasil daripada pembaikan ciri-ciri ketahanan terhadap penyakit dan racun serangga.

GMO adalah satu topik yang hangat diperdebatkan dalam dunia sains.

gmo & gmf:organisma terubah suai genetik dan makanan terubah suai geentik

Kebaikan GMO

Organisma terubah suai genetik atau makanan terubah suai genetik mempunyai beberapa kebaikan kepada petani atau pengguna.

1. Meningkatkan hasil tanaman,mengurangkan kos & meningkatkan keuntungan

Dari sudut petani atau peladang, tanaman GMO biasanya diubah suai genetik untuk lebih tahan kepada serangan haiwan perosak atau serangga.

Oleh itu, ia dapat meningkatkan pengeluaran hasil tanaman mereka seterusnya menjana pendapatan yang lebih baik. Malah, kos penggunaan racun serangga atau perosak juga dapat dikurangkan.

Dalam satu analisis terhadap 147 kajian yang dijalankan, para petani yang menggunakan teknologi GMO berjaya mengurangkan penggunaan racun serangga kimia sebanyak 37% dan meningkatkan pengeluaran hasil tanaman kepada 22%. Ia juga turut meningkatkan keuntungan petani kepada 68% [1].

2. Mengurangkan kos & menampung keperluan nutrisi

Manakala kepada pengguna pula, makanan terubah suai genetik (GMF) sepatutnya boleh mengurangkan kos sesuatu makanan.

Selain itu, makanan terubahsuai genetik boleh meningkatkan nilai nutrisi sesuatu makanan. Sebagai contoh, jagung yang diperkaya dengan provitamin A (karotenoid). Ini boleh menampung keperluan vitamin A (karotenoid) bagi penduduk di negara-negara membangun.

Menurut Megan L. Norris dalam satu penulisannya pada tahun 2015, selepas 20 tahun pemerhatian oleh negara dan penyelidik di seluruh dunia, mereka membuat kesimpulan bahawa makanan yang terubah suai genetik ini selamat untuk pengguna [2].

Keburukan GMO

Terdapat perdebatan mengenai kesan sampingan GMO ini terhadap manusia. Isu-isu yang banyak diperdebatkan ialah berkaitan keselamatan produk GMO, kesan terhadap alam sekitar, isu agama dan etika.

1. Kemungkinan mencetus alahan

Terdapat kebimbangan masyarakat tentang makanan GMO mempunyai gen yang boleh menyebabkan alahan.

Pada tahun 1996, terdapat kajian yang mendapati kacang soya GMO menyebabkan tindak balas alahan terhadap mereka yang mempunyai alahan terhadap Kacang Brazil.

Namun, pihak US Food and Drug Administration (FDA) menyatakan bahawa pengkaji yang menghasilkan makanan GMO menjalankan ujian bagi memastikan makanan yang dihasilkan tidak mencetuskan alahan berbanding makanan yang tidak GMO.

Jika seseorang itu sememangnya menghidap alahan terhadap kekacang atau alahan terhadap buah, makanan tidak GMO juga tetap boleh menyebabkan alahan.

2. Memberi kesan kepada alam sekitar

Isu ini juga turut merupakan isu yang ‘panas’ dan banyak diperdebatkan.

Kontroversi bermula apabila kejadian populasi rama-rama Monarch di New York terkesan akibat jagung yang terubahsuai genetik. Jagung yang terubahsuai genetik ini telah menyebabkan populari rama-rama ini berkurang akibat keracunan pada larva [3].

Semenjak kejadian ini, isu GMO ini terus mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat terutamanya dari Eropah.

3. Isu agama dan etika

Turut menjadi perdebatan ialah isu agama dan etika bagi makanan yang terubahsuai genetik ini.

Bagi agama Islam, terdapat isu dimana makanan terubah suai genetik mengandungi genetik babi atau genetik haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa menepati syarak.

Perbincangan lanjut dinyatakan di bahagian GMO Dari Sudut Pandangan Islam.

4. Risiko kanser

Terdapat juga kebimbangan orang ramai terhadap risiko kanser jika mengambil makanan terubah suai genetik.

Kanser terjadi akibat daripada mutasi DNA, orang ramai bimbang sekiranya makanan terubahsuai genetik turut memberi kesan kepada DNA manusia.

Setakat ini tiada lagi kajian yang mengaitkan makanan terubah suai genetik dengan kanser.

5. Risiko penghasilan bakteria tahan antibiotik

Salah satu kebimbangan lain yang wujud ialah pertukaran gen daripada makanan terubah suai genetik kepada sel-sel badan atau bakteria dalam usus.

Keadaan ini menjadi kebimbangan banyak pihak mengenai kejuruteraan genetik yang berkemungkinan menggunakan gen tahan antibiotik dan ia boleh membawa kepada penghasilan bakteria tahan antibiotik yang tahan terhadap antibiotik sedia ada.

GMO Dari Sudut Pandangan Islam

Di Malaysia, makanan yang terubah suai genetik dikawal selia oleh Jabatan Biokeselamatan di bawah Akta Biokeselamatan 2007 (Akta 678). Ia bertujuan untuk melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.

Dari sudut Islam dan Halal, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa HARAM bagi makanan yang terubahsuai genetik yang mengandungi gen babi [4].

Majlis Fatwa Kebangsaan juga turut mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan bahan-bahan yang diharamkan dan memudaratkan manusia serta alam sekitar adalah dilarang.

Manakala penggunaan haiwan ternakan yang halal dibolehkan sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut kaedah syarak [5].

Menjadi satu pilihan yang terbaik bagi umat Islam dengan memilih makanan yang mempunyai tanda halal, terutamanya halal daripada JAKIM.

Senarai makanan yang terubah suai genetik dari luar negara

Kebanyakan makanan atau buah ini dihasilkan di Amerika Syarikat.

  • Alfalfa
  • Minyak Canola
  • Jagung
  • Kacang soya
  • Betik
  • Epal
  • Ubi kentang
  • Pokok bit gula
  • Zucchini
  • Haiwan ternakan yang makan makanan terubahsuai genetik.

Antara produk-produk GMO yang mendapat kebenaran import dan di pasarkan di Malaysia ialah kacang soya (Roundup ready Soybean), jagung (MON 810 maize, MON 863 maize, dan NK 603) [3].

Bagaimana untuk mengenali makanan terubah suai genetik di Malaysia?

Mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985, makanan atau minuman yang diperolehi melalui kaedah bioteknologi moden perlu dinyatakan sumber genetiknya pada pelabelan bungkusan produk [6].

Selain itu, pernyataan seperti “(bahan atau nama ramuan) diubah suai secara genetik” juga perlu dinyatakan dengan jelas pada label pembungkusan bagi memberikan maklumat kepada pembeli atau pengguna.

Peraturan ini telah pun dikuatkuasakan pada 9 Julai 2014.

Rumusan

GMO ialah organisma terubahsuai genetik dan GMF ialah makanan terubahsuai genetik.

Makanan yang berasaskan GMO ini pada asasnya mempunyai kebaikan kepada petani dan pengguna. Malahan, makanan daripada jenis ini boleh mengatasi masalah keselamatan makanan (food security) bagi negara-negara membangun.

Namun, terdapat perdebatan mengenai keselamatannya atau kesan sampingannya terhadap kesihatan. Kekurangan kajian jangka panjang terhadap manusia menyukarkan satu kesimpulan khusus dibuat bagi menjamin keselamatan makanan jenis ini.

Makanan terubahsuai genetik sebenarnya telah banyak berada di pasaran dan digunakan dalam makanan.

Di Malaysia, Akta Biokeselamatan 2007 serta kawalan Halal oleh pihak JAKIM adalah langkah yang baik untuk mengawal selia makanan yang terhasil daripada teknik GMO ini.

Selain itu, peraturan pelabelan terhadap bahan atau ramuan yang diperolehi melalui kaedah bioteknologi moden yang dikuatkuasakan pada Julai 2014 juga memberi pilihan serta maklumat kepada pengguna akan produk-produk makanan terubah suai genetik (GMF).

Kemaskini terakhir pada 17 Oktober 2020.

Rujukan
  1. Klümper, W., & Qaim, M. (2014). A meta-analysis of the impacts of genetically modified cropsPloS one.
  2. Megan L. Norris.(2015). Will GMOs Hurt My Body? The Public’s Concerns and How Scientists Have Addressed Them. Harvard University.
  3. Andrew, J., et al. (2018). An overview of genetically modified crop governance, issues and challenges in MalaysiaJournal of the science of food and agriculture.
  4. JAKIM. 2015. Kompilasi Pandangan Hukum: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Cetakan ke-5.
  5. E-SMAF. 2011. Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food). JAKIM. (diakses pada 4 Ogos 2019).
  6. Nur Aniqah Bt Muhamad Amin.2015. Makanan Terubah Suai genetik dan Status Halalnya. MyHealth.

Write A Comment