Apa itu Endokarditis?
Endokarditis adalah keradangan yang boleh mengancam nyawa pada pelapik dalam ruang dan injap jantung. Pelapik ini dipanggil endokardium.
Kedaan ini berlaku apabila kuman (biasanya bakteria) dari tempat lain dalam badan anda memasuki aliran darah dan melekat serta menyerang lapisan injap dan/atau ruang jantung anda.
Perkara yang menyebabkan anda lebih cenderung untuk mendapat endokarditis ialah penggunaan injap jantung tiruan, injap jantung rosak atau kecacatan jantung yang lain.

Tanpa rawatan segera, endokarditis boleh merosakkan atau memusnahkan injap jantung. Rawatan untuk endokarditis termasuk ubat-ubatan dan pembedahan.
Bagaimana Keadaan ini Boleh Menjejaskan Badan Anda?
Endokarditis boleh menyebabkan pertumbuhan (vegetasi) pada injap jantung, menghasilkan toksin dan enzim yang membunuh dan merosakkan tisu yang seterusnya menyebabkan lubang dalam injap jantung.
Kemudian, jangkitan ini boleh merebak ke bahagian luar jantung dan pembuluh darah. Akibatnya, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Embolisme bahan daripada vegetasi boleh menghalang aliran darah
- Injap bocor
- Ritma jantung tidak normal
- Kegagalan jantung
- Jantung tersumbat
- Nanah (abses) sekitar injap jantung
- Sepsis
Sekiranya tidak dirawat, endokarditis boleh membawa maut.
Gejala-gejala Endokarditis
Gejala-gejala endokarditis boleh berbeza-beza bagi setiap orang. Endokarditis boleh berlaku secara perlahan-lahan atau tiba-tiba.
Ia bergantung kepada jenis kuman yang menyebabkan jangkitan dan sama ada terdapat masalah jantung yang lain.
Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Demam melebihi 38.4°C
- Menggigil atau berpeluh (terutamanya pada waktu malam)
- Sakit sendi dan otot
- Sakit dada apabila anda bernafas
- Kelesuan
- Sesak nafas
- Bengkak di kaki atau perut
- Bunyi desis yang baru atau berubah dalam jantung
Gejala-gejala lain yang boleh berlaku adalah:
- Kehilangan berat badan tanpa dirancang
- Darah dalam air kencing
- Sakit di bahagian bawah rusuk kiri
- Bintik merah, ungu atau coklat yang tidak menyakitkan pada tapak kaki atau tapak tangan
Punca atau Penyebab Endokarditis
Endokarditis lazimnya berpunca daripada jangkitan bakteria, kulat atau kuman lain. Kuman ini memasuki saluran darah dan bergerak ke jantung. Di dalam jantung, kuman tersebut merosakkan injap jantung atau tisu jantung.
Kebiasaannya, sistem imun badan memusnahkan mana-mana bakteria berbahaya yang memasuki aliran darah.
Walau bagaimanapun, prosedur pergigian (terutamanya pencabutan gigi) dan pemeriksaan endoskopik boleh menyebabkan bakteria masuk ke dalam darah anda.
Kadangkala, bakteria dari mulut, kulit, usus, sistem pernafasan atau saluran kencing anda mungkin boleh masuk ke dalam aliran darah anda apabila anda:
- Makan
- Memberus gigi
- Membuang air besar
- Memflos gigi
Rawatan
Ramai penghidap endokarditis berjaya dirawat dengan antibiotik.
Kadangkala, pembedahan mungkin diperlukan untuk membaiki atau menggantikan injap jantung yang rosak dan membersihkan sebarang tanda jangkitan yang masih berbaki.
Ubat-ubatan
Jenis ubat yang anda terima bergantung pada apa yang menyebabkan endokarditis.
Dos antibiotik yang tinggi digunakan untuk merawat endokarditis yang disebabkan oleh bakteria. Jika anda menerima antibiotik, anda biasanya akan menghabiskan masa seminggu atau lebih di hospital supaya doktor boleh menentukan sama ada rawatan itu berkesan atau tidak.
Sebaik sahaja demam dan sebarang gejala yang teruk telah hilang, anda mungkin boleh meninggalkan hospital.
Pembedahan atau Prosedur lain
Pembedahan injap jantung mungkin diperlukan untuk merawat jangkitan endokarditis yang berterusan atau untuk menggantikan injap yang rosak.
Pembedahan kadangkala diperlukan untuk merawat endokarditis yang disebabkan oleh jangkitan kulat.
Langkah-langkah Pencegahan
Mempunyai kebersihan mulut yang baik boleh membantu mengurangkan risiko bakteria terkumpul di dalam mulut dan masuk ke dalam aliran darah anda.
Ini mengurangkan risiko anda mendapat endokarditis daripada jangkitan mulut atau kecederaan.
Jika anda mempunyai sejarah penyakit jantung kongenital, pembedahan jantung atau endokarditis, sentiasa peka dengan tanda dan gejala endokarditis.
Beri perhatian khusus kepada demam yang berterusan dan keletihan yang tidak dapat dijelaskan.
Anda juga perlu mengelakkan:
- Bertindik
- Bertatu
- Menggunakan ubat melalui intravena (IV)
- Menjalani apa-apa prosedur yang boleh membenarkan kuman memasuki darah
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda mempunyai gejala-gejala endokarditis, sila berjumpa dengan doktor secepat mungkin terutamanya jika anda mempunyai kecacatan jantung kongenital atau sejarah endokarditis.
Sekiranya anda telah didiagnosis dengan penyakit ini dan mengalami gejala-gejala berikut, sila maklumkan kepada doktor anda.
Gejala-gejala berikut menunjukkan jangkitan yang anda alami semakin teruk:
- Demam
- Menggigil
- Sakit kepala
- Sakit sendi
- Sesak nafas
Rujukan
- Yallowitz AW, Decker LC. Infectious Endocarditis. [Updated 2023 Apr 24]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Endocarditis. MayoClinic