Ekzema pada bayi merujuk kepada masalah kulit yang menyebabkan gatal-gatal, kemerahan dan radang. Ekzema pada bayi kebiasaannya adalah jenis atopik dermatitis.
Bagi bayi yang berumur 12 bulan ke bawah, ekzema kebiasaannya berlaku di kawasan dagu, kulit kepala, badan dan kaki.
Tanda ekzema
Tanda-tanda ekzema boleh berbeza-beza antara bayi (individu) (1):
- Kulit kering.
- Gatal-gatal.
- Kemerahan.
- Kecil, berbenjol-benjol dan boleh mengeluarkan cecair.
- Kulit menjadi bersisik.
- Kulit menjadi kasar, sensitif dan bengkak akibat digaru.

Punca-punca
Ekzema adalah akibat tindak balas berlebihan daripada sistem imunisasi.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kepada ekzema. Boleh juga disebabkan oleh kombinasi seperti faktor genetik dan persekitaran.
Contohnya, sekiranya keluarga atau ibu bapa bayi itu pernah mengalami ekzema, maka bayi mereka juga berpotensi tinggi untuk mengalami ekzema juga. Hal ini kerana, penyebab ekzema juga turut melibatkan bakteria, alergen dan variasi genetik.
Ekzema pada bayi ini juga mungkin berpunca daripada masalah penghalang kulit, membenarkan lembapan keluar dan kuman masuk (2).
Sesetengah kanak-kanak turut menghidap ekzema disebabkan alahan kepada makanan.
Rawatan Dirumah
Terdapat beberapa rawatan atau langkah pencegahan dirumah yang boleh diamalkan oleh ibu-ibu untuk merawat ekzema pada bayi mereka:
1. Mandikan setiap hari dan gunakan pelembap
Mandikan bayi anda setiap hari dengan air suam tidak lebih daripada 5 hingga 10 minit dapat membantu merawat dan mengawal ekzema.
Lapkan badan bayi untuk keringkan badannya. Sementara badannya masih lembap, sapukan krim pelembap tanpa wangian atau losyen seperti Vaseline (2).
Lembapkan kulit mereka 2 kali sehari, mungkin semasa menukar lampin.
Sekiranya, anda ingin mencuba pelembap baru, sapukan sedikit pada kulit bayi anda untuk mengetahui sama ada pelembap tersebut sesuai atau tidak.
2. Kenali penyebab kepada ekzema
Mengetahui punca atau penyebab kepada ekzema bagi bayi anda dapat mencegah daripada masalah ini berlaku.
Antara pencetus atau punca ekzema kepada bayi termasuklah:
- Sabun yang tidak bersesuaian
- Wangi-wangian
- Pakaian yang tidak sesuai (kasar atau ketat)
- Peluh
- Alahan makanan
3. Pakaikan sarung tangan bayi
Sekiranya bayi anda menghidap ruam dan gatal-gatal, potong kuku mereka dan pakaikan dengan sarung tangan bayi bagi mengelakkan mereka mengaru-garu kawasan ruam.
Mengaru-garu boleh menyebabkan ruam semakin teruk dan boleh membawa kepada jangkitan.
4. Ambil probiotik
Ibu hamil (35 minggu kehamilan) hingga 6 bulan penyusuan serta bayi mereka (sehingga umur 2 tahun) yang mengambil makanan tambahan probiotik (L. rhamnosus) dapat mengurangkan berlakunya ekzema terhadap anak mereka (3, 5, 6).
Kajian lain terhadap ibu hamil (36 minggu) dan bayi mereka (sehingga umur 6 bulan) menerima makanan probiotik (L. salivarius, L.paracasei, Bifidobacterium animalis subspecies lactis, Bifidobacterium bifidum)secara harian mendapati, probiotik ini dapat mengurangkan berlakunya atopik ekzema terhadap anak mereka (4).
Bila Perlu berjumpa Doktor
Sekiranya masalah ekzema ini berlanjutan lebih daripada seminggu, dapatkan rawatan daripada doktor.
Sekiranya anak anda demam beserta ruam, dapatkan juga rawatan daripada doktor.
Selain itu, dapatkan rawatan daripada doktor juga sekiranya ruam anak anda bertukar warna kepada ungu, berlapisan keras, atau berlepuh.