Cirit-birit (diarea) adalah masalah biasa yang dialami oleh kebanyakan daripada kita beberapa kali setahun. Cirit-birit dicirikan oleh najis cair, berair dan kerap membuang air besar. Biasanya cirit-birit hanya berlaku sebentar iaitu kira-kira sehari hingga dua hari dan akan pulih dengan sendirinya.
Namun, sekiranya keadaan ini berlarutan sehingga berminggu-minggu, besar kemungkinan ia menjadi petunjuk kepada masalah yang lain.
Walaupun cirit-birit biasanya akan sembuh dengan sendirinya, terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian kerana ia boleh mendatangkan komplikasi yang lebih serius seperti:
- dehidrasi (kehilangan air yang banyak)
- ketidakseimbangan elektrolit (kehilangan mineral-mineral kalium, natrium dan magnesium yang banyak)
- kegagalan buah pinggang akibat kekurangan bendalir atau darah dibekalkan ke buah pinggang

Cirit-birit boleh dikategorikan kepada 4 jenis iaitu:
- Cirit-birit akut: Cirit-birit jenis ini berlaku kira-kira sehari hingga 2 hari akibat daripada jangkitan bakteria, virus atau akibat keracunan makanan.
- Cirit-birit pengembara: Cirit-birit ini berlaku apabila pengembara terdedah kepada jangkitan bakteria atau parasit melalui makanan atau minuman ketika melancong di negara-negara membangun.
- Cirit-birit berterusan: Cirit-birit yang berlaku melebihi beberapa minggu iaitu 2 hingga 4 minggu.
- Cirit-birit kronik: Cirit-birit yang berlaku secara berterusan sehingga 4 minggu atau lebih. Ia biasanya disebabkan penyakit atau gangguan lain seperti penyakit seliak, penyakit Crohn atau sindrom usus rengsa.
Simptom-simptom Cirit-birit
Simptom-simptom cirit-birit mungkin berbeza-beza bagi setiap individu bergantung kepada tahap keseriusan dan punca yang menyebabkan masalah ini.
Simptom utama bagi cirit-birit ialah najis yang cair dan berair.
Selain itu, anda juga mungkin akan turut mengalami simptom-simptom berikut:
- Kembung perut
- Kejang di perut
- Loya
- Keperluan mendesak untuk membuang air besar
Bagi kes yang teruk, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti:
- Demam
- Dehidrasi
- Darah dalam najis
- Muntah
- Kesakitan yang teruk
- Hilang berat badan
Punca Cirit-birit
Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan masalah cirit-birit ini termasuklah:
- Bakteria dan parasit. Makanan atau minuman yang tercemar boleh menyebabkan badan diserang oleh bakteria dan parasit. Bakteria Salmonella dan E.coli adalah antara bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan dan cirit-birit.
- Virus. Jangkitan virus Norwalk, cytomegalovirus dan virus hepatitis boleh menjadi penyebab kepada cirit-birit. Rotavirus adalah spesies virus yang sering menyebabkan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak.
- Tak toleran laktosa. Mereka yang mempunyai masalah untuk menghadam laktosa boleh mengalami cirit-birit sekiranya minum atau makan produk tenusu. Laktosa ialah gula yang boleh dijumpai dalam produk tenusu.
- Ubat-ubatan. Antibiotik adalah antara ubat yang boleh menyebabkan cirit-birit. Hal ini kerana antibiotik membunuh kedua-dua bakteria baik dan jahat dalam usus. Keadaan ini akan mengganggu keseimbangan bakteria dalam usus.
- Pemanis tiruan. Pemanis tiruan seperti sorbitol, mannitol, xylitol atau erythritol yang boleh dijumpai dalam produk-produk bebas gula juga boleh menjadi penyebab kepada cirit-birit.
- Fruktosa. Fruktosa adalah gula dalam buah-buahan dan juga madu. Sesetengah orang yang mempunyai masalah untuk menghadamkan fruktosa boleh mengalami cirit-birit.
- Pembedahan abdomen. Pembedahan pada abdomen (perut) atau hempedu juga kadang-kadang boleh menyebabkan cirit-birit.
Bagi kes cirit-birit kronik, ia boleh menjadi satu petanda atau simptom kepada penyakit-penyakit lain yang lebih serius seperti penyakit keradangan usus, sindrom usus rengsa atau gangguan fungsi usus.
Rawatan Cirit-birit
Kebiasaannya, masalah cirit-birit ringan akan pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari. Namun, bagi sesetengah kes mungkin memerlukan rawatan perubatan bergantung kepada punca yang menyebabkan keadaan ini.
Rawatan untuk menggantikan cecair
Mereka yang mengalami cirit-birit biasanya akan kehilangan banyak air. Doktor mungkin akan menyarankan agar anda membanyakkan minum air, jus atau sup.
Sekiranya minuman jenis ini menyebabkan perut anda sakit dan muntah, doktor mungkin akan menyarankan agar anda mendapatkan cecair melalui terapi intravena.
Minuman sukan juga adalah antara pilihan minuman yang baik untuk menggantikan kembali elektrolit-elektolit yang hilang semasa anda mengalami cirit-birit.
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa pengambilan probiotik bersama-sama terapi penghidratan semula boleh membantu mengurangkan kekerapan membuang air besar bagi mereka yang mengalami cirit-birit akut.
Ubat Antibiotik
Sekiranya cirit-birit itu disebabkan oleh jangkitan bakteria atau parasit, ubat antibiotik boleh membantu merawat masalah ini.
Mengubah ubat yang diambil
Namun, sekiranya ubat antibiotik yang menjadi penyebab kepada masalah cirit-birit ini, maka doktor mungkin akan mengurangkan dos atau menukar ubat yang lain untuk anda.
Merawat punca yang tersembunyi
Sekiranya doktor mendapati cirit-birit ini berpunca daripada masalah kesihatan yang lain yang lebih serius, doktor akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengawal simptom-simptom yang berlaku.
Langkah Pencegahan
Walaupun cirit-birit ini selalunya berlaku tanpa diduga, beberapa langkah pencegahan boleh membantu mengurangkan risiko berlakunya cirit-birit ini terutamanya yang disebabkan oleh jangkitan bakteria,parasit atau virus.
Amalkan beberapa langkah pencegahan berikut bagi mencegah cirit-birit yang disebabkan oleh virus atau bakteria:
- Membasuh tangan dengan bersih sebelum dan selepas memasak atau menyediakan makanan.
- Membasuh tangan setelah memegang daging mentah, keluar dari tandas, batuk, bersin, atau menukar lampin bayi.
- Membasuh tangan menggunakan sabun dan basuh sekurang-kurangnya selama 20 saat.
- Gunakan pensanitasi tangan jika tidak dapat membasuh tangan dengan air dan sabun.
- Dapatkan vaksinasi bagi Rotavirus bagi anak-anak anda.
- Pastikan makanan yang dibeli atau yang akan dimakan benar-benar masak.
- Membasuh makanan yang ingin dimasak dengan bersih.
- Simpan lebihan makanan dalam peti ais.