• Laman Utama
  • Nutrisi
    • Bijirin & Bijian
    • Buah-buahan
    • Diet & Pemakanan
    • Ikan & Daging
    • Kekacang
    • Minuman & Manisan
    • Produk Tenusu
    • Rempah & Herba
    • Sayur-sayuran
    • Serat Diet
    • Vitamin & Mineral
  • Alahan
  • Kesihatan
    • Penyakit
    • Petua
    • Rawatan
  • Hubungi Kami
Twitter Pinterest YouTube
JiwaSihat
  • Laman Utama
  • Nutrisi
    • Bijirin & Bijian
    • Buah-buahan
    • Diet & Pemakanan
    • Ikan & Daging
    • Kekacang
    • Minuman & Manisan
    • Produk Tenusu
    • Rempah & Herba
    • Sayur-sayuran
    • Serat Diet
    • Vitamin & Mineral
  • Alahan

    Alahan Gandum: Punca, Simptom dan Rawatan

    17/03/2021

    12 Tanda Tak Tolerans Gluten Yang Anda Perlu Tahu

    09/03/2021

    Alahan Kafein: Punca, Simptom dan Rawatan

    15/02/2021

    Alahan Ubat: Punca, Simptom dan Rawatan

    13/02/2021

    8 Jenis Alahan Makanan Yang Lazim Berlaku

    25/12/2020
  • Kesihatan
    • Penyakit
    • Petua
    • Rawatan
  • Hubungi Kami
JiwaSihat
Home»Minuman & Manisan»Cendawan Mekah atau Kombucha: Khasiat dan Keburukan
Minuman & Manisan

Cendawan Mekah atau Kombucha: Khasiat dan Keburukan

Namanya cendawan tetapi ia bukanlah cendawan. Adakah minuman yang dikatakan minuman untuk kesihatan ini benar-benar mempunyai khasiat?
JiwaSihatBy JiwaSihat21/03/2021Updated:22/03/20217 Mins Read
Kongsi
Facebook Twitter LinkedIn Pinterest Email

Cendawan mekah adalah nama panggilan bagi kombucha atau teh kombucha. Selain nama cendawan mekah, kombucha ini juga turut dikenali sebagai alga mekah atau mud-mud.

Walaupun namanya cendawan, namun ia bukanlah cendawan. Cendawan mekah ini sebenarnya merujuk kepada minuman yang dihasilkan melalui penapaian air teh (teh hijau atau teh hitam), gula, yis dan bakteria.

Ramai orang menggunakan kombucha ini sebagai minuman kesihatan. Adakah benar minuman ini mempunyai khasiat untuk kesihatan? Ketahui dengan lebih lanjut dalam artikel ini.

Cendawan mekah atau kombucha ini sebenarnya berasal dari negara China sekitar 200 tahun sebelum masihi. Nama kombucha ini pula diperolehi daripada nama seorang doktor dari Korea yang bernama Dr. Kombu. Masyarakat tempatan di negara ini lebih mengenali minuman ini dengan nama cendawan mekah atau alga mekah.

Pada tahun 2009, minuman ini mengalami lonjakan penjualan dan menjadi pemain berpengaruh dalam ekonomi minuman domestik di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, di Asia terutamanya Malaysia, minuman ini tidak dihasilkan atau dipasarkan secara besar-besaran.

cendawan mekah atau kombucha

Minuman ini dikatakan mempunyai rasa manis, masam, bergas dan masam seperti cuka (bergantung kepada ramuan pembuatannya). Minuman ini mendapat popularitinya apabila terdapat pengguna yang percaya bahawa minuman ini mempunyai khasiat yang boleh membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Sejauh mana kebenaran ini harus dilihat dalam konteks kajian-kajian klinikal yang melibatkan manusia kerana kesannya mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Selain itu, minuman ini mungkin mempunyai kesan sampingan atau risiko bagi sesetengah individu.

Berikut adalah beberapa khasiat atau kebaikan yang mungkin boleh diperolehi daripada cendawan mekah atau teh kombucha ini.

1. Baik Untuk Kesihatan Usus

Minuman kombucha ini mengandungi probiotik iaitu bakteria baik yang berguna untuk kesihatan usus. Diet yang mengandungi probiotik boleh membantu meningkatkan kesihatan usus secara keseluruhannya.

Kajian menunjukkan bahawa minuman kombucha ini kaya dengan kandungan bakteria dan yis seperti lactobacillus dan zygosaccharomyces. Bakteria dan yis ini adalah kumpulan probiotik yang mempunyai kebaikan untuk kesihatan [1].

Dalam satu kajian semula yang dijalankan terhadap 43 kajian, probiotik didapati berkesan untuk merawat sindrom usus rengsa (iritabel). Sindrom usus rengsa ini melibatkan gejala-gejala seperti sakit perut, kejang perut, cirit-birit atau sembelit dan kembung atau bengkak di perut [2].

Satu analisis lain yang dijalankan terhadap 1793 orang pesakit mendapati probiotik boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keterukan gejala-gejala sindrom usus rengsa [3].

2. Mungkin Boleh Membantu Melawan Jangkitan Bakteria

Cendawan mekah atau kombucha ini terhasil daripada proses penapaian atau pemeraman. Semasa proses ini, asid asetik turut terhasil. Asid ini biasanya terkandung dalam cuka sama ada cuka buatan atau cuka asli.

Terdapat kajian yang melaporkan bahawa asid asetik ini mempunyai ciri-ciri antimikrob seperti antibakteria dan antivirus.

Satu kajian yang dijalankan oleh Slovak University of Agriculture in Nitra, Slovakia menunjukkan minuman kombucha ini mempunyai sifat antimikrob yang kuat terhadap beberapa strain (jenis) kulat dan bakteria seperti Candida albican, Candida krusei, Candida glabrata, Candida tropicalis, Haemophilus influenzae (H. influenzae) dan Escherichia coli (E.coli) [4].

Candida adalah kumpulan fungai atau kulat yang boleh menyebabkan pelbagai jangkitan kepada manusia. Candida albican adalah salah satu contoh fungai yang menyebabkan jangkitan yis pada faraj wanita.

Bakteria H. influenzae boleh menyebabkan jangkitan pada telinga dan salur darah manakala bakteria E.coli pula boleh menyebabkan keracunan makanan.

Kajian yang melibatkan sifat antimikrob minuman ini masih diperingkat makmal atau tabung uji dan tidak diuji terhadap manusia.

3. Mungkin Baik Untuk Penyakit Kencing Manis

Masyarakat tempatan menganggap minuman cendawan atau alga mekah ini sebagai salah satu ikhtiar terhadap masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis (diabetes).

Kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati minuman cendawan mekah ini mempunyai kesan penyembuhan melalui perlindungan terhadap fungsi hati dan buah pinggang. Kajian ini juga didapati boleh meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) dan mengurangkan peningkatan paras gula dalam darah [5].

Terdapat kajian lain yang mendapati minuman kombucha yang menggunakan teh hitam mempunyai sifat antidiabetes kerana boleh membantu memulihkan perubahan terhadap fungsi badan [6].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dijalankan terhadap manusia masih terhad. Kajian klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk melihat kesan sebenar minuman ini terhadap pesakit kencing manis.

4. Mungkin Baik Untuk Kesihatan Hati

Minuman ini juga dipercayai baik untuk kesihatan hati. Kesan ini mungkin disebabkan minuman kombucha ini mempunyai sifat antiradang dan antioksidan.

Terdapat beberapa kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menunjukkan kesan perlindungan minuman kombucha ini terhadap haiwan yang menghidap hati berlemak. Antaranya:

  • minuman kombucha mengurangkan pengumpulan lemak dan melindungi hati daripada rosak serta menggalakkan pemulihan hati [7].
  • kandungan probiotik dalam minuman kombucha boleh membantu melawan penyakit hati berlemak [8].
  • minuman kombucha ini melindungi sel-sel hati daripada ketoksikan lemak dan mengurangkan keradangan dalam kalangan haiwan yang menghidap hati berlemak [9].

Namun begitu, kesan kebaikan minuman ini terhadap hati manusia masih tidak diketahui dengan sepenuhnya kerana kajian terhadap manusia adalah terhad.

5. Mungkin Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Paras kolesterol terutamanya kolesterol LDL (kolesterol jahat) yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan penyumbatan arteri yang boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.

Satu kajian terhadap haiwan yang diberi makan makanan tinggi kolesterol mendapati minuman kombucha boleh mengurangkan paras jumlah kolesterol, trigliserida, kolesterol LDL dan kolesterol VLDL serta meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) [10].

Kesan ini masih tidak dapat dibuktikan terhadap manusia kerana tiada kajian yang melibatkan manusia yang dijalankan dalam konteks penurunan paras kolesterol ini.

Risiko atau Keburukan Cendawan Mekah

Terdapat risiko atau kesan sampingan yang harus diberi perhatian buat mereka yang ingin mencuba minuman ini. Oleh kerana cendawan mekah atau kombucha ini boleh dihasilkan sendiri, terdapat kemungkinan ia diperam terlalu lama atau tercemar.

Terdapat laporan yang melibatkan ketoksikan kombucha. Antaranya [11]:

  • seorang wanita berusia 53 tahun yang mempunyai sejarah pengambilan arak (alkohol) yang tinggi mengalami penyakit kuning selepas 2 minggu mengambil minuman kombucha
  • seorang wanita berusia 51 tahun yang mengambil hormon tiroid dan terapi penggantian estrogen mengalami kekeringan mulut, pening, loya, muntah, sakit kepala dan sakit leher selepas mengambil teh kombucha setiap hari selama beberapa bulan.
  • satu kes kematian di Iowa melibatkan seorang wanita berusia 59 tahun yang mengambil minuman ini selama 2 bulan. Wanita ini mengalami metabolik asidosis (peningkatan asid dalam darah) dan disseminated intravascular coagulopathy (gangguan yang menyebabkan protein yang mengawal pembekuan darah menjadi terlebih aktif). Wanita ini kemudiannya mengalami serangan jantung.
  • seorang wanita lain yang mengambil minuman dari sumber yang sama bagi kes kematian di Iowa ini turut mengalami kesan ketoksikan minuman ini apabila mengalami gangguan pernafasan, paru-paru berair dan metabolik asidosis.
  • seramai 20 orang pesakit di Iran mengalami jangkitan anthrax selepas menggunakan teh kombucha secara sapuan sebagai analgesik.

Minuman ini dianggap tidak berbahaya sekiranya diambil pada kadar 118 mililiter sehari dan diminum oleh mereka yang sihat [12].

Rumusan

Minuman cendawan mekah atau kombucha ini mungkin menjadi kegemaran bagi sesetengah pihak. Tuntutan mengenai khasiat cendawan mekah ini masih kurang dibuktikan dalam kajian terhadap manusia.

Di samping itu juga, terdapat risiko yang mungkin wujud sekiranya minuman ini diambil oleh mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Selain itu juga, cara pembuatan dan kebersihan semasa pembuatan minuman ini juga harus dititikberatkan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap kesihatan.

Rujukan
Rujukan
  1. Marsh, A. J. et al. (2014). Sequence-based analysis of the bacterial and fungal compositions of multiple kombucha (tea fungus) samples. Food microbiology.
  2. Ford, A. C. et al. (2014). Efficacy of prebiotics, probiotics, and synbiotics in irritable bowel syndrome and chronic idiopathic constipation: systematic review and meta-analysis. The American journal of gastroenterology.
  3. Didari, T. et al. (2015). Effectiveness of probiotics in irritable bowel syndrome: Updated systematic review with meta-analysis. World journal of gastroenterology.
  4. Ivanišová, E. et al. (2020). The evaluation of chemical, antioxidant, antimicrobial and sensory properties of kombucha tea beverage. Journal of food science and technology.
  5. Aloulou, A. et al. (2012). Hypoglycemic and antilipidemic properties of kombucha tea in alloxan-induced diabetic rats. BMC complementary and alternative medicine.
  6. Bhattacharya, S. et al. (2013). Effect of Kombucha, a fermented black tea in attenuating oxidative stress mediated tissue damage in alloxan induced diabetic rats. Food and chemical toxicology.
  7. Hyun, J. et al. (2016). Kombucha tea prevents obese mice from developing hepatic steatosis and liver damage. Food science and biotechnology.
  8. Jung, Y. et al. (2018). Effect of Kombucha on gut-microbiota in mouse having non-alcoholic fatty liver disease. Food science and biotechnology.
  9. Lee, C. et al. (2019). Hepatoprotective Effect of Kombucha Tea in Rodent Model of Nonalcoholic Fatty Liver Disease/Nonalcoholic Steatohepatitis. International journal of molecular sciences.
  10. Khaled Bellassoued, et al. (2015) Protective effect of kombucha on rats fed a hypercholesterolemic diet is mediated by its antioxidant activity. Pharmaceutical Biology.
  11. Ernst E. (2003). Kombucha: a systematic review of the clinical evidence. Research in complementary and natural classical medicine.
  12. Julie M. K. & Sumner, W. (2019). Kombucha: a systematic review of the empirical evidence of human health benefit. Annals of Epidemiology.
Share. Facebook Twitter Pinterest LinkedIn Tumblr Email

ARTIKEL BERKAITAN

Minuman Tenaga: Baik atau Tidak Untuk Anda?

11/04/2021

7 Khasiat Air Barli Yang Disokong Kajian (+Resepi Air Barli)

23/01/2021

Khasiat Air Lemon: Adakah Benar Sebagai Detox?

25/08/2020

Comments are closed.

Pilihan Editor

7 Khasiat Ubi Keledek Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

05/03/2021

Cara Merawat Cirit-Birit: Sila Cuba 5 Petua Ini

07/07/2020

15 Makanan Bersifat Antiradang Untuk Anda Amalkan

11/12/2020

Alahan Kafein: Punca, Simptom dan Rawatan

15/02/2021

Artikel Terkini

6 Khasiat Kuaci Bunga Matahari Untuk Kesihatan

By JiwaSihat19/04/2021

Kanser Usus: Tanda Yang Perlu Anda Awasi & Pencegahannya

By JiwaSihat17/04/2021

Khasiat Bunga Lawang Untuk Kesihatan Disokong Oleh Kajian

By JiwaSihat15/04/2021
Twitter Pinterest YouTube RSS
  • Mengenai Kami
  • Dasar Privasi
  • Penafian
  • Notis Hak Cipta
©2019-2021 JiwaSihat. Hak Cipta Terpelihara.

Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.