Resdung ini masalah kesihatan yang lazim berlaku di seluruh dunia. Artikel ini berkongsikan cara merawat resdung serta punca dan simptom-simptom berkaitan dengan resdung.
Pada asasnya, resdung tidak mempunyai apa-apa makna dalam perubatan. Resdung ialah istilah yang lebih difahami oleh masyarakat setempat yang merujuk kepada penyakit hidung.

Masalah resdung ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu:
1) Rinitis Alergi (allergic rhinitis)
Rinitis alergi atau alahan hidung ini merupakan satu radang dan bengkak pada bahagian mukosa hidung.
Alahan ini menyebabkan tindakbalas hidung kepada alergen seperti debu, bulu binatang dan makanan. Alergen ialah bahan yang berupaya menyebabkan alergi atau alahan.
2) Radang sinus (sinusitis)
Radang sinus atau sinusitis pula merujuk kepada berlakunya jangkitan kuman, alahan atau radang pada lapisan membran pada rongga sinus. Jangkitan ini menyebabkan rongga ini membengkak dan menyumbat saluran sinus. Radang ini boleh terjadi kepada kanak-kanak atau orang dewasa.
Sinus ialah rongga berisi udara pada tengkorak yang dilapisi oleh membran. Membran ini mengeluarkan sedikit cairan untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung.
Sinusitis ini pula boleh dibahagikan kepada 2 iaitu sinusitis akut atau kronik.
Simptom-simptom Resdung
Simptom-simptom resdung boleh dipecahkan kepada 2 iaitu akibat rinitis alergi atau radang sinus.
Sekiranya anda mengalami resdung yang lebih kepada rinitis alergi (alahan). Anda akan mengalami simptom-simptom berikut:
- Kerap bersin.
- Rasa gatal pada hidung,mata,telinga dan kerongkong.
- Mata berair.
- Hidung berair.
Simptom-simptom dibawah ini pula berlaku sedikit lambat berbanding simptom-simptom di atas:
- Hidung tersumbat.
- Kerap sakit kepala.
- Kehilangan tenaga (letih).
- Mata menjadi sensitif kepada cahaya.
- Sakit tekak.
- Lingkaran hitam dibawah mata.
- Deria bau berkurangan.
- Kurang pendengaran.
Simptom-simptom ini boleh terjadi sejurus anda terdedah kepada alergen atau beberapa jam selepas anda terdedah kepada alergen.
Rinitis alergi boleh terjadi bersama-sama sinusitis. Sekiranya anda mengalami resdung yang lebih kepada keradangan sinus (sinusitis), anda akan mengalami simptom-simptom berikut:
Simptom-simptom sinusitis akut:
- Hidung tersumbat.
- Sakit atau tekanan pada muka.
- Hidung berair.
- Batuk.
- Demam.
- Nafas berbau.
- Keletihan.
- Sakit gigi.
Simptom-simptom sinusitis kronik:
- Rasa sakit, bengkak dan lembut di mata, pipi, hidung dan dahi.
- Hidung tersumbat menyebabkan sukar untuk bernafas melalui hidung.
- Hidung berair (hidung mengeluarkan cecair yang tidak berwarna dan pekat).
- Deria bau dan rasa berkurangan.
- Sakit telinga.
- Nafas berbau.
- Sakit gigi.
- Sakit tekak.
- Keletihan atau kelesuan.
- Batuk.
Walaupun simptom-simptom sinusitis kronik hampir sama dengan sinusitis akut, tetapi sinusitis kronik berlaku lebih lama iaitu selama 12 minggu atau lebih. Biasanya, pesakit akan mengalami sinusitis akut sebelum terjadinya sinusitis kronik.
Punca Menyebabkan Resdung
Rinitis alergi atau alahan hidung ini terjadi apabila anda bernafas atau menyedut udara yang mengandungi alergen. Akibatnya, badan menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin. Histamin ini bertindak sebagai agen pertahanan badan terhadap alergen. Histamin ini boleh menyebabkan alergi rinitis.
Alergen atau punca-punca berikut boleh menyebabkan alergi rinitis:
- Hama habuk di rumah.
- Habuk.
- Debunga atau spora.
- Haiwan berbulu seperti kucing dan anjing.
- Air liur kucing.
- Kulapok.
- Makanan (bagi mereka yang mempunyai alahan makanan seperti makanan laut dan kekacang).
Beberapa faktor luaran yang boleh memburukkan keadaan:
- Asap rokok.
- Bahan kimia.
- Pencemaran udara.
- Penyembur rambut.
- Minyak wangi.
- Asap dari pembakaran kayu.
Punca-punca yang menyebabkan keradangan sinus (sinusitis) pula adalah:
- Ketumbuhan dalam hidung (nasal polyps)
- Jangkitan virus, bakteria atau kulat pada saluran pernafasan.
- Komplikasi daripada penyakit cystic fibrosis, HIV, dan penyakit berkaitan sistem imun.
- Septum hidung yang terpesong atau menyimpang.
- Alahan terhadap haiwan atau makanan seperti alergi rinitis.
Cara Merawat Resdung
Terdapat beberapa cara merawat resdung yang boleh dibahagikan mengikut jenisnya. Sama ada disebabkan oleh alergi rinitis atau radang sinus.
Rawatan Resdung (Rinitis Alergi)
Bagi resdung (rinitis alergi), rawatan terbaik ialah menjauhkan diri daripada alergen yang menyebabkan resdung ini. Walaupun agak sukar, tetapi anda boleh mengurangkan risiko terkena alergen ini. Contohnya seperti sentiasa memastikan bilik anda sentiasa bersih, tidak memakai karpet yang boleh memerangkap habuk, debunga atau hama.
Sekiranya anda ingin mengetahui secara khusus alergen apa yang menyebabkan anda mengalami alergi rinitis ini, doktor boleh melakukan ujian darah atau ujian cucuk kulit (skin prick test).
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan rawatan di hospital dan doktor akan menetapkan ubat berdasarkan simptom-simptom serta keseriusan alahan yang berlaku. Anda mungkin akan dirujuk kepada doktor pakar sekiranya alahan yang berlaku adalah serius atau membawa kepada radang sinus.
Antara ubat-ubatan yang boleh membantu melegakan rinitis alergi ini termasuklah:
1. Antihistamin
Antihistamin ini boleh mengurangkan simptom rinitis alergi.
Beberapa jenis ubat jenis antihistamin adalah:
- fexofenadine (Allegra, Allergy Relief, Aller-Ease)
- diphenhydramine (Allermax, Banophen, Benadryl)
- desloratadine (Clarinex, Clarinex Reditabs)
- loratadine (Alavert, Claritin)
- levocetirizine (Xyzal, LEVRIX)
- cetirizine (Zyrtec)
2. Dekongestan
Ubat ini boleh mengurangkan hidung yang tersumbat.
3. Antiallergy nasal spray
Ubat semburan yang mengandungi sodium chromoglycate ini boleh digunakan untuk mencegah tindakbalas alahan.
4. Corticosteroids
Sama ada dalam bentuk semburan, pil dan suntikan, ubat ini berkesan untuk merawat alergi rinitis.
Rawatan Resdung (Sinusitis)
Sekiranya doktor mendapati resdung yang anda alami adalah radang sinus, doktor akan memberikan beberapa jenis ubat bergantung kepada tahap keseriusan radang yang dihidapi. Cara merawat resdung sinusitis ini juga bergantung kepada sama ada ia adalah sinusitis akut atau kronik.
Bagi sinusitis akut, rawatan berikut boleh membantu mengurangkan simptom yang dialami:
- Antibiotik sekiranya radang ini disebabkan oleh jangkitan bakteria.
- Ubat penahan sakit seperti panadol.
- Ubat selesema bagi mengurangkan bengkak dalam hidung.
- Ubat antihistamin jika radang disebabkan oleh alahan.
Kebanyakan kes sinusitis akut boleh pulih dengan sendirinya tanpa rawatan.
Manakala, bagi sinusitis kronik pula. Beberapa pilihan rawatan berikut boleh membantu:
- Menggunakan steroid nasal spray bagi mengurangkan bengkak dan radang.
- Corticosteroids sama ada dalam bentuk pil atau suntikan.
- Antibiotik sekiranya radang disebabkan jangkitan bakteria.
- Antihistamin
- Saline nasal irrigation untuk menyingkirkan bahan penyebab iritasi dan alergi.
- Pembedahan endoskopik sinus bagi mencuci dan melebarkan saluran sinus.
Petua atau Rawatan Dirumah
Petua atau rawatan dirumah juga boleh digunakan untuk merawat resdung yang ringan dan mengurangkan simptom-simptom yang terjadi.
Terdapat beberapa cara merawat resdung di rumah yang boleh anda lakukan, antaranya termasuklah:
1. Rehat
Berehat secukupnya membolehkan badan melawan keradangan dan mempercepatkan pemulihan.
2. Bernafas dalam wap panas
Bernafas dalam wap panas dari semangkuk air panas (boleh dicampur minyak angin atau minyak pati seperti daun pudina). Caranya ialah dengan menyerkup kepala dengan tuala kecil sambil bernafas di atas wap panas dari mangkuk itu.
Selain itu, anda juga boleh mandi air panas (sekiranya rumah anda mempunyai pemanas air) bagi menggantikan kaedah di atas.
3. Menjauhi alergen
Sekiranya anda menghidap alahan, jauhkan diri daripada alergen seperti kawasan berhabuk, berdebu dan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing.
4. Makan ubat penahan sakit
Makan ubat penahan sakit seperti panadol atau Uphamol juga membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
5. Bilas saluran pernafasan
Bilas saluran pernafasan anda (hidung) menggunakan air suam yang dicampurkan garam. Gunakan neti pot atau saline canister.
Cara-caranya:
- Gunakan air bersih yang telah ditapis dan didihkan beberapa minit.
- Biarkan air ini sehingga suam-suam kuku.
- Campurkan satu sudu teh garam ke dalam air sebanyak 470 ml.
- Masukkan air ini ke dalam neti pot.
- Sengetkan kepala kepada 45 darjah.
- Tolak muncung neti pot ini ke salah satu lubang hidung anda.
- Bernafas menggunakan mulut.
- Tonggengkan neti pot ini sehingga air melalui lubang hidung tersebut dan keluar ke lubang hidung sebelahnya.
- Gunakan sehingga habis air garam tersebut.
- Setelah selesai betulkan kepala dan hembus nafas menggunakan hidung untuk membersihkan saluran hidung anda.
- Bersihkan lebihan lendir atau air menggunakan tisu.
- Ulang langkah 5-11 ini untuk lubang hidung yang sebelahnya.
Neti pot ini boleh dibeli di farmasi atau dibeli secara atas talian.
6. Akupuntur
Akupuntur juga boleh membantu mengurangkan simptom-simptom alergi rinitis. Kajian juga mendapati akupuntur berkesan dalam merawat alergi rinitis [6].
7. Tuala suam
Menekap muka dengan tuala suam dapat mengurangkan bengkak atau sakit di bahagian muka.
Cara-caranya:
- Rendamkan tuala muka ke dalam semangkuk air panas, kemudian perah keluar airnya.
- Lipat dan tekapkan tuala tersebut di tempat yang sakit.
- Biarkan selama 20 minit.
Bahaya Resdung atau Komplikasi Resdung
Bagi resdung yang berkaitan dengan rinitis alergi, sekiranya tidak dirawat. Bengkak atau radang pada saluran sinus dan tiub Eustachian boleh menyebabkan:
- Sinusitis
- Efusi tengah telinga. Efusi ialah pembebasan nanah,serum, darah atau cecair ke ruang dalam badan.
Manakala, resdung yang berkaitan dengan radang sinus jika tidak dirawat boleh menyebabkan:
- Radang sinus kronik.
- Bisul pada sinus maxilar (di kawasan pipi).
- Sakit kepala kronik.
- Jangkitan pada tulang.
- Sekiranya jangkitan merebak ke mata, anda boleh mengalami masalah penglihatan atau buta.
- Keradangan pada saraf tunjang (meningitis)
Langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan atau perubahan gaya hidup boleh mencegah perulangan gejala-gejala resdung. Antara amalan atau tindakan yang boleh anda lakukan ialah:
- Bersihkan rumah daripada bahan-bahan yang boleh mencetuskan alahan.
- Hindari haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
- Gunakan alat pelembap (humidifier).
- Berhenti merokok atau menjadi perokok pasif.
- Ambil ubat selesema sebelum berenang atau menyelam.
- Mandi selepas melakukan aktiviti di luar rumah.
- Pakai pelitup muka jika melakukan aktiviti yang melibatkan habuk.
- Kerap membasuh tangan.
Rujukan
- Greiner, A. N., et al. (2011). Allergic rhinitis. Lancet (London, England), 378(9809), 2112–2122.
- Nash, D., & Wald, E. (2001). Sinusitis. Pediatrics in review, 22(4), 111–117.
- Dr. Anizan Bt. Abd Manaf. 2006. Radang Sinus (Resdung).
- NHS. 2019. Allergic Rhinitis.
- Al-Abri, R., et al. (2018). Allergic Rhinitis in Relation to Food Allergies: Pointers to future research. Sultan Qaboos University medical journal, 18(1), e30–e33.
- Mayo Clinic Staff. 2019. Chronic sinusitis.
- Kumar Shital. 2020. Sinus Infection (Sinusitis).
- Dr. Hjh Saraiza Abu Bakar. 2012. Allergic Rhinitis.
- Stuart I. Henochowicz. 2020. Allergic rhinitis.
- Taw, M. B., et al. (2015). Acupuncture and allergic rhinitis. Current opinion in otolaryngology & head and neck surgery, 23(3), 216–220.