Sesungguhnya resdung boleh mengganggu kualiti kehidupan penghidapnya. Terdapat beberapa cara merawat resdung yang bergantung kepada jenis dan simptom yang dialami.
Resdung adalah istilah yang digunakan oleh masyarakat setempat yang merujuk kepada masalah kesihatan berkaitan hidung.
Resdung sebenarnya merujuk kepada dua penyakit berkaitan hidung iaitu rinitis alergi dan radang sinus.

Masalah resdung ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu:
1. Rinitis Alergi (allergic rhinitis)
Rinitis alergi atau alahan hidung ini merupakan keradangan atau bengkak pada bahagian mukosa hidung.
Alahan ini menyebabkan tindakbalas hidung kepada alergen seperti debu, bulu binatang dan makanan. Alergen ialah bahan yang berupaya menyebabkan alergi atau alahan.
2. Radang sinus (sinusitis)
Radang sinus atau sinusitis pula merujuk kepada berlakunya jangkitan kuman, alahan atau radang pada lapisan membran pada rongga sinus. Jangkitan ini menyebabkan rongga ini membengkak dan menyumbat saluran sinus. Radang ini boleh terjadi kepada kanak-kanak atau orang dewasa.
Sinus ialah rongga berisi udara pada tengkorak yang dilapisi oleh membran. Membran ini mengeluarkan sedikit cairan untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung.
Sinusitis ini pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu sinusitis akut atau kronik.
Simptom-simptom Resdung
Simptom-simptom atau gejala resdung boleh dibahagikan kepada simptoms-simptom rinitis alergi atau radang sinus.
Bagi rinitis alergi (alahan), pesakit biasanya akan mengalami simptom-simptom berikut:
- Kerap bersin
- Rasa gatal pada hidung,mata,telinga dan kerongkong
- Mata berair
- Hidung berair
- Hidung tersumbat
- Kerap sakit kepala
- Kehilangan tenaga (letih)
- Mata menjadi sensitif kepada cahaya
- Sakit tekak
- Lingkaran hitam dibawah mata
- Deria bau berkurangan
- Kurang pendengaran
Bagi pesakit yang mengalami resdung yang lebih kepada radang sinus pula, pesakit mungkin akan mengalami simptom-simptom berikut:
Simptom-simptom radang sinus akut:
- Hidung tersumbat
- Sakit atau tekanan pada muka
- Hidung berair
- Batuk
- Demam
- Nafas berbau
- Keletihan
- Sakit gigi
Simptom-simptom radang sinus kronik:
- Rasa sakit, bengkak dan lembut di mata, pipi, hidung dan dahi
- Hidung tersumbat menyebabkan sukar untuk bernafas melalui hidung
- Hidung berair (hidung mengeluarkan cecair yang tidak berwarna dan pekat)
- Deria bau dan rasa berkurangan
- Sakit telinga
- Nafas berbau
- Sakit gigi
- Sakit tekak
- Keletihan atau kelesuan
- Batuk
Walaupun simptom-simptom radang sinus kronik hampir sama dengan radang sinus akut, tetapi radang sinus kronik berlaku lebih lama iaitu selama 12 minggu atau lebih. Biasanya, pesakit akan mengalami radang sinus akut sebelum terjadinya radang sinus kronik.
Cara Merawat Resdung
Terdapat beberapa cara merawat resdung yang boleh dibahagikan mengikut jenisnya. Sama ada disebabkan oleh rinitis alergi atau radang sinus.
Cara Merawat Resdung Jenis Rinitis Alergi
Bagi merawat resdung jenis rinitis alergi ini, rawatan terbaik ialah menjauhkan diri daripada alergen yang menyebabkan resdung ini. Walaupun agak sukar, tetapi pesakit boleh mengurangkan risiko terkena alergen ini.
Contohnya seperti sentiasa memastikan bilik atau ruang dalam rumah sentiasa bersih, tidak memakai karpet yang boleh memerangkap habuk, debunga atau hama.
Sekiranya anda ingin mengetahui secara khusus alergen apa yang menyebabkan anda mengalami alergi rinitis ini, doktor boleh melakukan ujian darah atau ujian cucuk kulit (skin prick test).
Selain itu, pesakit juga boleh mendapatkan rawatan di hospital dan doktor akan menetapkan ubat berdasarkan simptom-simptom serta tahap keseriusan alahan yang berlaku.
Pesakit juga mungkin akan dirujuk kepada doktor pakar sekiranya alahan yang berlaku adalah serius atau membawa kepada radang sinus.
Antara ubat-ubatan yang boleh membantu melegakan resdung jenis rinitis alergi ini adalah:
1. Antihistamin
Antihistamin ini boleh mengurangkan simptom-simptom rinitis alergi.
Beberapa jenis ubat jenis antihistamin adalah:
- fexofenadine
- diphenhydramine
- desloratadine
- loratadine
- levocetirizine
- cetirizine
2. Dekongestan
Ubat ini boleh mengurangkan hidung yang tersumbat.
3. Antiallergy nasal spray
Ubat semburan yang mengandungi sodium chromoglycate ini boleh digunakan untuk mencegah tindakbalas alahan.
4. Corticosteroids
Sama ada dalam bentuk semburan, pil dan suntikan, ubat ini berkesan untuk merawat alergi rinitis.
Cara Merawat Resdung Jenis Radang Sinus
Rawatan resdung jenis radang sinus bergantung kepada sama ada ia adalah radang sinus akut atau radang sinus kronik.
Beberapa pilihan rawatan untuk merawat resdung jenis radang sinus ini adalah seperti berikut:
1. Antibiotik
Sekiranya radang sinus ini disebabkan oleh bakteria, doktor akan mempreskripsikan ubat antibiotik untuk meredakan simptom-simptom yang berlaku.
2. Antihistamin
Ubat antihistamin hanya berguna sekiranya radang sinus yang berlaku disebabkan oleh alahan.
3. Steroid Nasal Spray
Steroid nasal spray ini boleh digunakan untuk menghilangkan bengkak dan radang dalam rongga hidung.
4. Saline nasal irrigation
Saline nasal irrigation ini digunakan untuk bahan penyebab iritasi dan alergi.
5. Kortikosteroid suntikan atau oral
Ubat ini boleh digunakan untuk melegakan keradangan akibat daripada radang sinus yang teruk terutamanya jika wujudnya nasal polip.
6. Pembedahan endoskopik
Pembedahan endoskopik sinus dilakukan untuk mencuci dan melebarkan saluran sinus
Petua atau Cara Merawat Resdung di Rumah
Bagi kes-kes resdung yang ringan, terdapat petua atau rawatan di rumah yang boleh membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Beberapa cara merawat resdung di rumah yang boleh anda lakukan adalah:
1. Berehat
Berehat secukupnya membolehkan badan melawan keradangan dan mempercepatkan pemulihan.
2. Bernafas dalam wap panas
Cara-caranya adalah memasukkan air panas ke dalam sebiji mangkuk (boleh dicampur minyak angin atau minyak pati seperti daun pudina).
Kemudian, serkup kepala dengan tuala kecil sambil bernafas di atas wap panas dari mangkuk itu.
Selain itu, anda juga boleh mandi air panas (sekiranya rumah anda mempunyai pemanas air) bagi menggantikan kaedah di atas.
3. Menjauhi alergen
Sekiranya anda menghidap alahan, jauhkan diri daripada alergen seperti kawasan berhabuk, berdebu dan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing.
4. Makan ubat penahan sakit
Makan ubat penahan sakit seperti panadol atau Uphamol juga membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
5. Bilas saluran pernafasan
Bilas saluran pernafasan anda (hidung) menggunakan air suam yang dicampurkan garam. Gunakan neti pot atau saline canister.
Cara-caranya:
- Gunakan air bersih yang telah ditapis dan didihkan beberapa minit.
- Biarkan air ini sehingga suam-suam kuku.
- Campurkan satu sudu teh garam ke dalam air sebanyak 470 ml.
- Masukkan air ini ke dalam neti pot.
- Sengetkan kepala kepada 45 darjah.
- Tolak muncung neti pot ini ke salah satu lubang hidung anda.
- Bernafas menggunakan mulut.
- Tonggengkan neti pot ini sehingga air melalui lubang hidung tersebut dan keluar ke lubang hidung sebelahnya.
- Gunakan sehingga habis air garam tersebut.
- Setelah selesai betulkan kepala dan hembus nafas menggunakan hidung untuk membersihkan saluran hidung anda.
- Bersihkan lebihan lendir atau air menggunakan tisu.
- Ulang langkah 5-11 ini untuk lubang hidung yang sebelahnya.
6. Akupuntur
Akupuntur juga boleh membantu mengurangkan simptom-simptom rinitis alergi. Kajian juga mendapati akupuntur berkesan dalam merawat rinitis alergi.
7. Menggunakan tuala suam
Menekap muka dengan tuala suam dapat mengurangkan bengkak atau sakit di bahagian muka.
Cara-caranya:
- Rendamkan tuala muka ke dalam semangkuk air panas, kemudian perah keluar airnya.
- Lipat dan tekapkan tuala tersebut di tempat yang sakit.
- Biarkan selama 20 minit.
Rujukan
- Greiner, A. N., et al. (2011). Allergic rhinitis. Lancet (London, England).
- Nash, D., & Wald, E. (2001). Sinusitis. Pediatrics in review, 22(4), 111–117.
- NHS. 2019. Allergic Rhinitis.
- Al-Abri, R., et al. (2018). Allergic Rhinitis in Relation to Food Allergies: Pointers to future research. Sultan Qaboos University medical journal.
- Mayo Clinic Staff. 2019. Chronic sinusitis. MayoClinic
- Battisti AS, Modi P, Pangia J. Sinusitis. [Updated 2020 Nov 20]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK470383/