Kesihatan

Cara Merawat Kulat Kuku (+ 4 Rawatan Dirumah)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Adakah anda perasan bahawa kuku kaki anda berubah warna dan menjadi makin rapuh? Jika benar, maka anda kemungkinan mengalami masalah kulat kuku. Ketahui cara merawat kulat kuku yang boleh anda lakukan sendiri.

Istilah perubatan bagi jangkitan kulat ini ialah Onychomycosis. Selain itu, ia turut dikenali sebagai Tinea Unguium.

Kulat kuku selalunya kerap terjadi pada bahagian kuku kaki tetapi boleh juga terjadi pada kuku tangan.

Jangkitan kulat ini berlaku akibat daripada kulat yang tumbuh berlebihan di dalam, di bawah atau di atas kuku. Kulat ini menyukai persekitaran yang lembap dan hangat.

Maka sebab itu, jari kaki lebih mudah dijangkiti kerana mempunyai persekitaran ini terutamanya bagi mereka yang selalu berkasut.

Sekiranya jangkitan ini tidak dirawat, ia boleh merebak kepada kuku atau kulit kaki yang lain bahkan boleh juga menjangkiti kuku tangan.

Bagi mereka yang selalu mengunjungi salun kuku, pastikan anda bertanya kepada pekerja salun sama ada mereka menyahkuman atau tidak alatan yang digunakan. Ini bagi mengelakkan jangkitan daripada satu individu kepada individu yang lain.

Penyebab Kulat Kuku

Kulat kuku adalah disebabkan oleh pelbagai jenis kulat (fungus). Kulat yang dikenali sebagai ‘dermatofit’ adalah paling biasa menyebabkan masalah ini. Yis (Candida) dan kulapok juga boleh menyebabkan jangkitan pada kuku.

Kuman-kuman ini akan menjangkiti kuku melalui retakan kecil pada kuku atau kulit disekeliling kuku.

Selain itu, mereka yang telah mempunyai masalah kutu air pada kaki juga boleh menjadi pencetus kepada kulat kuku pada kuku kaki.

Golongan yang mudah dijangkiti

Pada asasnya semua orang boleh dijangkiti tetapi terdapat beberapa golongan yang lebih berisiko atau lebih mudah dijangkiti. Contohnya seperti:

  • Penghidap kencing manis.
  • Mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah.
  • Mempunyai kutu air di kaki.
  • Mempunyai masalah pengaliran darah .
  • Golongan berusia 60 tahun ke atas.
  • Individu yang kuat berpeluh.
  • Kerap berkaki ayam di permukaan lembap seperti di bilik mandi atau kolam renang.
  • Mempunyai kecederaan pada kuku, kulit atau masalah kulit.

Tanda-tanda Kulat Kuku

Apabila anda menghidap masalah kulat kuku ini, anda akan dapati beberapa perubahan berlaku pada kuku anda. Antaranya ialah:

  • Kuku akan berubah warna kepada keputihan hingga kuning keperangan.
  • Kuku menjadi rapuh dan senang hancur.
  • Bentuk kuku akan menjadi herot dan boleh terangkat daripada dasar kuku.
  • Kuku menjadi tebal.
  • Kuku akan berbau busuk.
  • Kuku akan nampak berwarna gelap kerana terdapat kotoran dibawah kuku.

Kulat kuku lebih biasa terjadi pada jari kaki tetapi tidak mustahil untuk terjadi pada jari tangan.

cara merawat kulat kuku
Kulat Kuku
Penulis: James Heilman,MD melalui Wikimedia

Rawatan Kepada Kulat Kuku

Jangkitan kulat pada kuku agak susah untuk dirawat dan ia selalunya tidak hilang tanpa rawatan antikulat. Terdapat beberapa cara perubatan untuk merawat kulat kuku termasuklah menggunakan ubat dan pembedahan.

Ubat atau Pil

Cara merawat kulat kuku yang terbaik ialah dengan pengambilan pil atau ubat antikulat yang dipreskripsi oleh doktor. Ubat makan lebih berkesan berbanding ubat sapuan. Oleh itu, doktor kebiasaanya akan memilih ubat jenis ini.

Terbinafine (Lamisil), Fluconazole dan Itraconazole (Sporanox) adalah antara ubat antikulat yang berkesan untuk merawat masalah ini dengan membantu pertumbuhan kuku baru mengantikan kuku yang dijangkiti.

Rawatan menggunakan ubat ini memakan masa selama 6 minggu bagi kuku tangan dan 12 minggu bagi kuku kaki. Walau bagaimanapun, rawatan ini haruslah diteruskan sehingga kuku baru tumbuh sepenuhnya untuk betul-betul menyingkirkan jangkitan ini.

Walau bagaimanapun, ubat jenis ini mempunyai kesan sampingan seperti ruam atau kerosakan pada hati.

Krim atau Lakuer Kuku Antikulat

Doktor juga mungkin akan preskripsikan krim sapuan atau lakuer antikulat (Ciclopirox) untuk disapu pada permukaan kuku yang dijangkiti dan kulit disekelilingnya.

Rawatan Laser

Rawatan laser yang membuang bahagian kuku atau kulit yang rosak juga boleh digunakan. Namun, rawatan menggunakan laser ini mempunyai kadar penyembuhan yang lebih rendah berbanding ubat makan.

Oleh itu, kaedah ini tidak disarankan sebagai rawatan pertama bagi merawat kulat kuku.

Pembedahan

Bagi sesetengah kes teruk dimana jangkitan tidak memberi respon terhadap ubat dan menyebabkan kesakitan yang teruk, pembedahan pembuangan kuku sepenuhnya mungkin diperlukan.

Terdapat beberapa kaedah baru seperti terapi Fotodinamik dan terapi Plasma yang berpotensi dalam merawat penyakit ini. Namun masih memerlukan lebih banyak kajian klinikal untuk menentukan keberkesanan dan bersifat praktikal atau tidak.

Rawatan Kulat Kuku dirumah

Bagi jangkitan yang ringan, rawatan dirumah mungkin cara yang berkesan untuk merawat jangkitan kulat kuku ini. Antara rawatan dirumah yang mudah dilakukan adalah seperti berikut:

1. Vick VapoRub

Walaupun bunyinya agak janggal, namun tahukah anda Vick yang selalu digunakan untuk melegakan batuk ini berguna untuk merawat jangkitan kulat kuku.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 18 orang pesakit mendapati Vick VapoRub mempunyai kesan positif terhadap jangkitan kulat ini (1).

Untuk menggunakannya, sapukan sedikit Vick ini pada kawasan yang dijangkiti sekurang-kurangnya sekali sehari.

2. Minyak Tea Tree (Tea Tree Oil)

Minyak Tea Tree ini mempunyai sifat antiseptik dan antikulat.

Terdapat kajian kecil yang mendapati minyak Tea Tree boleh membantu merawat kulat kuku dan juga kutu air (athlete’s foot) (2).

Cara penggunaannya adalah dengan menyapu minyak ini terus ke kuku yang dijangkiti sebanyak 2 kali sehari.

3. Minyak Oregano

Minyak Oregano atau minyak pati Oregano mengandungi sebatian yang dikenali sebagai thymol. Thymol ini mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat (3).

Cara penggunaannya adalah dengan menyapu minyak pati Oregano terus pada kuku yang dijangkiti menggunakan kapas. Boleh dilakukan sebanyak 2 kali sehari.

4. Listerine

Pembilas atau pencuci mulut ini mengandungi bahan aktif mentol, thymol dan eucalyptol yang mempunyai sifat antibakteria dan antikulat (3, 4).

Cara penggunaannya ialah dengan merendam kaki yang dijangkiti kulat kuku ke dalam besen yang mengandungi Listerine berwarna ambar (kuning jingga) selama 30 minit.

Langkah Pencegahan

Beberapa langkah pencegahan boleh dilakukan bagi mencegah jangkitan kulat pada kuku. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah:

  • Kerap membasuh tangan dan kaki serta keringkan selepas dibasuh.
  • Basuh tangan sekiranya memegang kuku yang telah dijangkiti.
  • Memakai stokin yang menyerap peluh atau kerap menukar stokin.
  • Pakai jenis kasut yang membenarkan ‘kaki bernafas’ (yang membenarkan pengaliran udara).
  • Memakai alas kaki semasa berada di dalam tandas, kolam renang atau bilik loker (bilik pesalinan pakaian).
  • Berhenti menggunakan kuku palsu atau pengilap kuku.
  • Dapatkan perkhidmatan salun kuku di salun yang sentiasa menyahkuman alatan yang digunakan.
  • Selalu membersihkan pemotong kuku selepas digunakan.

Bolehkah Kulat Kuku Menyebabkan Masalah yang Lebih Serius?

Ya. Bagi penghidap diabetes (kencing manis) dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, golongan ini berisiko untuk membentuk masalah yang lebih serius.

Penghidap diabetes berisiko untuk mendapat jangkitan bakteria pada kulit (selulitis). Oleh itu, dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anda menghidap diabetes dan merasakan anda dijangkiti kulat kuku.

Rujukan

Write A Comment