Rawatan

Cara Merawat Cirit-Birit: Sila Cuba 5 Petua Ini

Pinterest LinkedIn Tumblr

Cirit-birit adalah masalah kesihatan yang biasa dihadapi oleh semua orang. Cirit-birit menyebabkan najis yang dikumuhkan bersifat lembut dan berair. Mereka yang menghidapi masalah ini biasanya akan berasa tidak selesa. Oleh itu, artikel kali ini kami kongsikan beberapa cara merawat cirit-birit.

Kebiasaannya, masalah ini tidak berbahaya dan boleh sembuh dengan sendirinya. Tetapi ada juga cirit-birit yang berkait dengan masalah kesihatan lain dan berlaku dalam tempoh yang lebih lama.

Maka, cirit-birit dibahagikan kepada 2 kategori iaitu jenis akut atau kronik.

Cirit-birit akut berlaku dalam tempoh masa yang singkat iaitu sekitar sehari atau dua hari. Manakala cirit-birit kronik pula berlarutan dalam tempoh yang lebih iaitu sekitar 4 minggu atau lebih. Ia biasanya berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain.

cara merawat cirit-birit

Punca yang Menyebabkan Cirit-Birit

Cirit-birit boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti:

  • Jangkitan virus: Jangkitan virus seperti Norovirus, hepatitis,rotavirus dan cytomegalovirus adalah virus-virus yang biasanya menyebabkan cirit-birit.
  • Jangkitan bakteria: Bakteria seperti salmonella dan E.coli adalah antara bakteria yang biasa menyebabkan cirit-birit.
  • Tidak toleran kepada laktosa: Laktosa yang terdapat dalam susu atau produk tenusu boleh menyebabkan cirit-birit bagi mereka yang mempunyai masalah untuk menghadamkan laktosa.
  • Pemanis tiruan: Sesetengah produk makanan mengandungi gula tiruan yang diberi nama Sorbitol dan Mannitol. Gula tiruan ini boleh menyebabkan cirit-birit bagi sesetengah orang.
  • Ubat-ubatan: Ubat-ubatan seperti antibiotik boleh menyebabkan cirit-birit. Ini kerana antibiotik membunuh bakteria baik dan jahat, seterusnya akan menganggu keseimbangan bakteria dalam usus. Ubat-ubat lain yang boleh menyebabkan cirit-birit ialah ubat kemoterapi, ubat darah tinggi dan ubat yang mengawal ritma degupan jantung.

Cirit-birit yang berpunca daripada penyakit

Cirit-birit kronik boleh disebabkan oleh beberapa penyakit seperti:

  • Penyakit Crohn
  • Kolitis ulseratif
  • Penyakit seliak
  • Sindrom usus rangsa
  • Kolitis (Radang usus besar)

Gejala atau Simptom Cirit-Birit

Selain kerap membuang air besar, cirit-birit juga boleh berlaku bersama-sama beberapa simptom lain seperti berikut:

Dehidrasi adalah antara simptom yang agak serius jika tidak dirawat. Cirit-birit menyebabkan badan kehilangan air yang banyak seterusnya meningkatkan potensi berlakunya dehidrasi.

Sekiranya anda mengesyaki anak anda mengalami dehidrasi, perhatikan simptom-simptom ini:

  • Mulut dan lidah kering.
  • Demam melebihi 39°celcius.
  • Air mata tidak keluar semasa menangis.
  • Mengantuk atau tidak bertindak-balas.
  • Mata kelihatan tenggelam.
  • Kurang kencing.
  • Lampin kering dalam masa 3 jam atau lebih.

Petua atau Rawatan Dirumah yang Boleh Dicuba

Petua atau rawatan dirumah adalah cara yang sesuai bagi merawat cirit-birit akut dan bagi mengurangkan simptom-simptom cirit-birit.

1. Yogurt

Yogurt adalah salah satu sumber untuk mendapatkan probiotik. Probiotik ialah bakteria baik yang bekerja dalam usus manusia untuk mewujudkan persekitaran sihat dalam usus.

Bakteria baik ini akan mengembalikan keseimbangan bakteria dalam usus bagi mereka yang mengalami cirit-birit.

Selain itu, probiotik juga boleh didapati dalam keju, tempe, coklat hitam dan jeruk.

2. Minuman Tenaga

Minuman tenaga, jus atau air mineral (air kosong) penting bagi mengelakkan dehidrasi terjadi kepada mereka yang mengalami cirit-birit.

Kajian yang dijalankan mendapati minuman tenaga seperti Gatorade berkesan dalam mengurangkan cirit-birit dan dehidrasi.

3. Makan Makanan Rendah Serat

Cara merawat cirit-birit yang seterusnya ialah dengan makan makanan yang rendah serat. Makanan ini boleh membantu memejalkan najis anda ketika berlakunya cirit-birit. Selain itu, makanan jenis ini juga turut membekalkan tenaga.

  • Nasi putih
  • Pisang
  • Roti
  • Ayam
  • Telur

4. Ubat Cirit-birit Belian Kaunter

Ubat cirit-birit yang boleh dibeli di kedai farmasi seperti loperamide dan bismuth subsalicylate (garam bismuth).

Loperamide mempunyai kesan sampingan yang agak serius dan perlu diambil mengikut dos yang dibenarkan. Ubat ini juga tidak boleh diminum bersama-sama air tonik.

Selain itu, pil chi kit teck aun juga antara ubat tradisional yang popular dalam merawat cirit-birit.

Pengambilan garam atau agen rehidrasi oral juga adalah salah satu cara merawat cirit-birit yang boleh dilakukan. Agen rehidrasi oral dan garam ini membantu mengembalikan keseimbangan elektrolit dan cecair yang hilang dari badan.

Cara Pengambilan

1.Pil / Kapsul Loperamide 2mg

Cirit-birit akut. Bagi orang dewasa: Bermula dengan 4mg, diikuti dengan 2mg setiap kali najis cair. Kebiasaannya 6-8mg setiap hari dan tidak melebihi 16mg sehari.

Cirit-birit kronik: Bermula dengan 4 hingga 8mg sehari dalam beberapa kali makan bergantung kepada respon. Jangan melebihi 16mg sehari.

2. Bismuth subsalicylate

  • Mengikut dos sama ada cecair 15ml atau tablet 262mg.
  • 30ml atau 2 tablet setiap 30 minit hingga 1 jam.
  • Maksimum 8 dos sehari (24 jam) mengikut keperluan.

3. Garam rehidrasi oral

Orang dewasa: 200-400ml (1-2 paket) setiap kali membuang air besar.

Kanak-kanak: 200ml (1 paket) setiap kali membuang air besar.

Bayi: 50ml setiap kali membuang air besar.

5. Hindari Makanan Ini

Sesetengah makanan boleh menjadi punca kepada cirit-birit atau menyebabkannya menjadi lebih teruk. Oleh itu, langkah terbaik adalah elakkan makan makanan ini.

Makanan yang tinggi serat jika dimakan ketika anda mengalami cirit-birit akan menyebabkan perut kembung. Maka, cuba elakkannya.

Antara makanan yang harus dielakkan adalah:

  • Sayur-sayuran tinggi serat
  • Pemanis tiruan
  • Aiskrim
  • Susu
  • Kopi
  • Arak
  • Kekacang

Rawatan Perubatan untuk Cirit-Birit

Rawatan cirit-birit bergantung kepada tahap cirit-birit tersebut sama ada akut atau kronik. Biasanya, cirit-birit akut tidak memerlukan rawatan dan boleh sembuh dengan sendirinya.

Cirit-birit kronik pula memerlukan diagnosa bagi mengetahui punca sebenar dan rawatan yang bersesuaian akan diberikan oleh doktor.

Antibiotik

Sekiranya doktor mendapati cirit-birit ini berpunca daripada bakteria atau parasit, rawatan dengan ubat antibiotik selalunya akan diberikan.

Namun, sekiranya antibiotik adalah punca, doktor akan mengurangkan dos atau menukar kepada ubat yang lain.

Garam dan cecair

Cirit-birit menyebabkan anda hilang banyak cecair dan elektrolit dalam badan. Doktor kebiasaannya akan menyarankan anda menggantikan kembali cecair dan elektrolit yang hilang ini dengan membanyakkan minum air, jus buah (kecuali jus epal) atau sup.

Jika keadaan memerlukan, doktor akan menyarankan untuk anda mendapatkan cecair IV (intravenous) di klinik atau hospital.

Langkah Pencegahan

Cirit-birit yang berpunca daripada bakteria, parasit atau virus boleh dicegah dengan mengamalkan amalan kebersihan seperti berikut:

  1. Basuh tangan sebelum makan.
  2. Cuci sehingga bersih buah-buahan atau sayur-sayuran yang ingin dimakan.
  3. Makan makanan yang dimasak dengan betul dan elakkan makan makanan mentah seperti daging mentah.
  4. Minum air dari bekalan air bersih seperti yang telah dibotolkan atau dimasak.
  5. Bagi mereka yang selalu mengembara ke negara-negara membangun, penggunaan antibiotik boleh mengurangkan tempoh cirit-birit.
  6. Hindari ubat-ubatan yang boleh menyebabkan cirit-birit.

Rujukan

Write A Comment