Kesihatan

Cara Merawat Buasir (5 Rawatan Dirumah)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buasir ialah keadaan dimana salur darah vena membengkak dan mengalami keradangan di bawah rektum dan sekitar dubur. Dalam bahasa Inggeris buasir dipanggil hemorrhoids atau piles. Buasir boleh dirawat dan terdapat banyak cara merawat buasir yang boleh dilakukan di rumah atau rawatan di klinik atau hospital.

Sekiranya anda menghidap penyakit ini, usah khuatir kerana terdapat banyak rawatan atau perubahan cara hidup yang boleh diamalkan untuk menghilangkan buasir ini.

Artikel ini akan menyediakan maklumat lengkap mengenai punca-punca buasir, simptom-simptom yang terjadi sekiranya anda terkena buasir dan cara merawat buasir yang boleh di cuba di rumah dan rawatan yang terdapat di klinik atau hospital.

Secara ringkasnya terdapat 2 jenis buasir iaitu:

  • Buasir dalaman
  • Buasir luaran
cara merawat buasir dalaman dan luaran
Buasir dalaman dan luaran

Punca-punca Buasir

Buasir berpunca akibat daripada regangan dan tekanan pada urat-urat di sekitar dubur yang seterusnya menyebabkan ia membengkak dan membonjol.

Buasir juga boleh terbentuk di bahagian bawah rektum akibat peningkatan tekanan. Rektum ialah bahagian hujung (akhir) usus besar.

Beberapa punca yang boleh menyebabkan penyakit ini adalah:

  • Mengandung
  • Penuaan
  • Cirit-birit
  • Sembelit kronik
  • Duduk terlalu lama di dalam tandas atau mangkuk tandas
  • Selalu mengangkat benda atau barang berat
  • Obesiti
  • Genetik (Keturunan)
  • Melakukan seks melalui dubur (anal sex)
  • Pemakanan yang kurang serat
  • Meneran semasa membuang air besar

Simptom-simptom Buasir

Simptom atau gejala bagi penyakit ini bergantung kepada jenis buasir yang dialami.

1. Buasir luaran

Bagi buasir jenis luaran, ia terbentuk di sekitar dubur dan simptom-simptom yang boleh dilihat adalah seperti berikut:

  • Bengkak di sekitar dubur
  • Berdarah
  • Sakit atau tidak selesa di kawasan itu
  • Gatal atau iritasi di kawasan dubur

2. Buasir dalaman

Bagi buasir dalaman pula, ia terletak di dalam rektum. Kebiasaannya, kita tidak dapat melihat atau memegangnya. Buasir jenis ini jarang menyebabkan ketidakselesaan atau sakit. Tetapi terdapat beberapa simptom yang boleh dikenalpasti sebagai tanda kepada buasir jenis ini:

  • Pendarahan semasa membuang najis tanpa kesakitan
  • Buasir ini menolak pada bukaan dubur yang menyebabkan kesakitan dan iritasi

3. Buasir thrombus

Sekiranya darah berkumpul di dalam buasir luaran dan membeku (thrombus), ia boleh menyebabkan:

  • Keradangan
  • Bengkak
  • Sakit yang teruk
  • Ketulan keras berdekatan dengan dubur

Diagnosa

Sebelum rawatan buasir dilakukan, doktor akan mendiagnosis pesakit berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal.

Sekiranya buasir itu adalah jenis dalaman (yang mana tidak dapat dilihat seperti jenis luaran), doktor akan melakukan pemeriksaan saluran dubur dan rektum.

Terdapat beberapa jenis dan peringkat pemeriksaan, antaranya ialah:

  • Pemeriksaan fizikal : doktor akan melihat pada dubur untuk mengenalpasti ketulan atau bengkak.
  • Pemeriksaan digital: doktor akan melakukan pemeriksaan saluran dubur dan rektum dengan memasukkan jari dengan memakai sarung tangan dan pelincir.
  • Pemeriksaan visual: doktor akan memasukkan bahagian rektum dan saluran usus besar dengan alat anoscope, proctoscope atau sigmoidoscope untuk melihat bahagian dalaman.

Sekiranya doktor mendapati ada tanda-tanda lain yang menunjukkan potensi penyakit lain atau kanser, doktor akan memeriksa keseluruhan usus besar menggunakan kolonoskopi.

Rawatan Buasir Di rumah

Sekiranya penyakit ini masih baru atau tidak teruk. Anda boleh menghilangkan atau melegakannya melalui rawatan di rumah. Beberapa cara merawat buasir di rumah yang boleh diamalkan termasuklah:

1. Makan makanan tinggi serat.

Makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijiran penuh dapat melembutkan dan menambah kegempalan pada najis. Ini dapat membantu anda membuang air dengan lancar dan tidak perlu untuk meneran semasa membuang air besar.

2. Gunakan krim atau minyak sapuan.

Krim atau minyak sapuan buasir boleh didapati secara belian kaunter atau atas talian. Selain itu, ubat yang mengandungi hydrocortisone boleh digunakan untuk melegakan kesakitan.

3. Rendam bahagian dubur dalam air suam.

Rendam bahagian dubur ke dalam air suam selama 10 hingga 15 minit sebanyak 2 atau 3 kali sehari.

4. Pek ais

Pek ais juga boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak dibahagian yang sakit.

5. Makan ubat pelega kesakitan.

Ubat pelega kesakitan seperti acetaminophen (paracetamol), aspirin atau ibuprofen boleh membantu melegakan kesakitan.

Sekiranya rawatan dirumah ini tidak menghilangkan simptom-simptom buasir dalam seminggu, dapatkan rawatan daripada doktor.

Sekiranya anda mengalami sakit yang teruk dan pendarahan, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.

Rawatan di Klinik

Terdapat beberapa prosedur ringkas yang boleh dijalankan di klinik. Antaranya:

  • Rubber band ligation : Kaedah rawatan ini boleh dilakukan bagi rawatan buasir dalaman. Rawatan ini adalah ringkas dimana gelung getah yang kecil dipasang dipangkal buasir menyebabkan aliran darah ke kawasan tersebut terhenti dan buasir tersebut mengecut.
  • Sclerotherapy: Kaedah rawatan ini memerlukan doktor untuk menyuntik sejenis cecair (seperti Phenol) ke dalam buasir tersebut menyebabkan dinding saluran vena (urat) tersebut mengecut.

Rawatan di Hospital

Rawatan di hospital melibatkan pembedahan dan keadaan buasir yang lebih serius. Biasanya, hanya segelintir pesakit yang memerlukan pembedahan.

  • Pembuangan buasir (Hemorrhoidectomy): Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan buasir tersebut. Pesakit yang menjalani prosedur ini mengambil masa 2-4 minggu untuk pulih. Kaedah ini adalah efektif untuk merawat buasir yang teruk serta berulang-ulang.
  • Doppler guided transanal hemorrhoidal dearterialization: Kaedah rawatan di mana mesin ultrabunyi (ultrasound) digunakan untuk mengenalpasti aliran darah arteri yang terbabit dan kemudiannya disekat.
  • Stappler hemmorhoidectomy: Kaedah pembedahan untuk membuang bahagian tisu yang longgar yang menyebabkan buasir keluar dari dubur.

Langkah Pencegahan

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Risiko untuk berlakunya buasir dapat dikurangkan sekiranya beberapa perkara ini sentiasa diberi perhatian.

1. Pemakanan

Amalkan gaya pemakanan yang sihat dan kaya dengan kandungan serat. Buah, sayur dan bijirin penuh adalah antara makanan yang kaya dengan serat. Serat dapat mengelakkan sembelit serta boleh melembutkan najis.

Elakkan juga makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan buasir seperti produk tenusu, tepung putih dan lain-lain.

Baca juga: Pantang larang makanan pesakit buasir.

2. Mengurangkan atau mengelak daripada meneran.

Ketika menggunakan tandas, kurangkan meneran dengan kuat kerana ia akan memberi tekanan pada urat dibahagian bawah rektum.

Tandas duduk adalah antara penyebab buasir kerana individu itu perlu meneran dengan kuat untuk mengeluarkan najis. Sekiranya mempunyai pilihan, gunakan tandas cangkung berbanding tandas duduk.

3. Kekalkan berat badan yang ideal

Obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko mendapat buasir.

4. Aktiviti fizikal

Duduk terlalu lama juga tidak elok untuk urat dibahagian dubur kerana ia memberi tekanan pada urat-urat (vena) ini.

Aktivit fizikal seperti berjalan laju juga turut boleh membantu pergerakan usus dan seterusnya melancarkan pembuangan air besar.

5. Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar

Jangan bertangguh atau menahan diri daripada membuang air besar kerana semakin lama ditangguh, najis akan menjadi semakin kering.

6. Minum air secukupnya

Kekal terhidrat penting untuk mengelakkan sembelit atau najis menjadi keras.

Rumusan

Terdapat 5 cara merawat buasir yang mudah dan senang diamalkan untuk merawat penyakit ini. Ia melibatkan pengambilan makanan yang berserat, menggunakan minyak sapuan, pek ais, merendam dubur dalam air suam dan menggunakan ubat penahan atau pelega kesakitan.

Selain itu, kaedah rawatan yang melibatkan prosedur perubatan dan pembedahan boleh didapati di klinik atau hospital.

Perubahan gaya hidup sebenarnya turut memberi impak sekiranya seseorang itu sedang atau pernah mengalami buasir. Oleh itu, sekiranya mengamalkan langkah pencegahan, risiko untuk terkena penyakit ini adalah rendah.

Kemaskini terakhir pada 29 September 2020.

Rujukan

Write A Comment