Kesihatan

Cara Menghilangkan Ketuat di Kaki dan Anggota Badan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pasti ramai yang mengalami masalah ketuat ini dan ramai juga yang ingin menghilangkan ketuat di badan mereka. Walaupun tidak mendatangkan kesakitan, namun ketuat mendatangkan rasa tidak selesa terutamanya dari segi penampilan. Kali ini kami kongsikan cara menghilangkan ketuat yang boleh dilakukan dirumah atau melalui rawatan perubatan.

Ketuat boleh berlaku di kaki, jari tangan, kelamin dan anggota badan yang lain. Istilah perubatan bagi ketuat ialah Verruca.

Terdapat 5 jenis ketuat. Setiap satunya mempunyai rupa yang berlainan dan tumbuh di bahagian anggota badan yang berbeza.

1. Ketuat Biasa

Ketuat biasa adalah ketuat yang selalu tumbuh di bahagian jari dan belakang tangan tetapi boleh juga tumbuh di kawasan lain. Ketuat ini kasar, kelihatan berbiji dan bulat dibahagian atas. Warnanya pula adalah seperti warna kulit atau lebih kelabu berbanding kulit sekelilingnya.

menghilangkan ketuat biasa
Sumber: WebMD

2. Ketuat Plantar

Ketuat jenis ini tumbuh di tapak kaki. Contohnya di kawasan tumit kaki. Jika ketuat ini tumbuh dalam bentuk kumpulan, ia dikenali sebagai ketuat mozek. Ketuat ini tebal, kuat dan rata.

Berbeza daripada ketuat lain, ketuat ini tumbuh ke dalam kulit. Ketuat plantar boleh mengandungi titik hitam di atasnya.

ketuat plantar
Oleh: James Heilman Sumber: Wikimedia

3. Ketuat Rata

Ketuat rata ini berbentuk rata seperti namanya. Ketuat rata biasanya tumbuh di muka, peha dan lengan. Saiznya lebih kecil berbanding jenis yang lain tetapi terjadi dalam kuantiti yang banyak.

hilangkan ketuat rata

4. Ketuat Filiform

Ketuat Filiform berbentuk seperti berduri, berjejari atau seperti berus. Ketuat jenis ini biasanya tumbuh di kawasan mulut, hidung dan mata. Warnanya pula boleh berwarna coklat, kuning, merah jambu atau warna kulit.

menghilangkan ketuat filiform
Penulis: AfroBrazilian Sumber: Wikimedia

5. Ketuat Kelamin

Ketuat ini tersebar apabila seseorang itu mempunyai sentuhan seksual dengan mereka yang telah mempunyai ketuat ini. Ketuat kelamin berbentuk seperti kubis bunga dan berwarna seperti warna kulit.

Jenis virus HPV yang menyebabkan ketuat kelamin terutamanya pada wanita boleh membawa kepada kanser serviks atau kanser kelamin lain.

Sumber: medicalopedia.org

Apakah Penyebab Ketuat?

Ketuat berpunca daripada jangkitan virus yang dikenali sebagai Human Papillomavirus (HPV). Terdapat lebih daripada 150 jenis virus HPV.

Semua orang terdedah kepada virus HPV, sama ada melalui sentuhan antara manusia atau pada objek-objek yang mengandungi virus ini. Namun begitu, tidak semua orang akan mendapat ketuat ini.

Mereka yang mempunyai sistem imuniti yang rendah lebih terdedah kepada masalah ketuat ini.

Adakah Ketuat Boleh Berjangkit dan Bagaimana Ketuat Merebak?

Ketuat mudah untuk berjangkit. Ketuat ini boleh berjangkit daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan.

Ia juga boleh tersebar dari satu bahagian badan ke bahagian badan yang lain. Oleh itu, pastikan anda membasuh tangan selepas menyentuh ketuat di badan anda.

Virus HPV ini juga boleh berpindah dari seorang individu kepada individu yang lain melalui perkongsian objek seperti tuala, baju atau pisau pencukur.

Virus ini menyukai kawasan yang hangat dan lembap.

Cara Menghilangkan Ketuat (Rawatan dirumah)

Umumnya, ketuat tidak berbahaya atau menyebabkan kesakitan serta boleh hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan atau selepas 2 tahun.

Namun begitu, secara psikologinya, ketuat membuatkan seseorang itu kurang berkeyakinan dalam penampilan mereka dan juga menimbulkan rasa malu.

Bagi memastikan ketuat itu tidak tumbuh kembali atau berulang, pastikan rawatan dilakukan sehingga ‘akar’ kepada ketuat ini turut tercabut.

Terdapat beberapa cara atau petua yang boleh dilakukan dirumah untuk menghilangkan ketuat. Antaranya ialah:

1. Asid salisiklik

Ubat belian kaunter yang mengandungi asid salisiklik boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.

Untuk ketuat biasa, dapatkan produk yang mengandungi 17% asid salisiklik. Produk-produk ini kebiasaannya memerlukan penggunaan harian selama beberapa minggu sehingga ketuat ini hilang. Contohnya seperti produk ELLGY corns & warts treatment solution.

Analisis yang dijalankan mendapati cecair asid salisiklik boleh membantu 14 daripada 100 orang menyingkirkan ketuat dengan lebih cepat (1).

Cara penggunaan:

  • Cara penggunaan produk-produk ini boleh dirujuk pada label produk.
  • Untuk hasil yang lebih baik, rendam ketuat dalam air suam beberapa minit sebelum memakai ubat ketuat ini.
  • Di antara satu-satu rawatan, kikis atau umpil lapisan atas (kulit mati) pada ketuat sebelum menyapu ubat yang baru.

2. Pembekuan (Cryotherapy)

Terdapat juga ubat atau produk belian kaunter yang menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan ketuat.

Contohnya seperti produk WARTNER Cryotherapy.

Kaedah ini akan mematikan kulit dan membolehkan anda membuang lapisan pada permukaan ketuat itu.

3. Minyak pati kayu manis

Minyak kayu manis atau minyak pati kulit kayu manis (Cinnamon essential oil) juga boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.

Kayu manis tinggi dengan kandungan antioksidan dan mempunyai sifat antibakteria.

Minyak pati kulit kayu manis adalah sangat kuat jika digunakan tanpa campuran. Maka, sebelum mengunakannya, cairkan minyak pati ini dengan minyak pembawa seperti minyak zaitun, minyak kelapa dan minyak badam.

Cara penggunaan:

  • Rendam ketuat dalam air suam selama 15 minit sebelum memulakan rawatan.
  • Letakkan 1 titis minyak pati kayu manis yang telah dicairkan dengan 1 titis minyak pembawa pada ketuat tersebut.
  • Ulang rawatan ini secara harian sehingga ketuat tercabut atau hilang.

Terdapat juga produk yang tersedia seperti Organic Hana yang berkesan untuk menghilangkan ketuat.

4. Pita pelekat

pita pelekat boleh menghilangkan ketuat

Pelik tapi benar. Pita pelekat seperti pita pelekat jenis kain boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat.

Sesetengah orang berjaya menghilangkan ketuat mereka melalui kaedah ini.Ada juga kajian yang menunjukkan penggunaan pita pelekat boleh menghilangkan ketuat (2).

Cara penggunaan:

  • Tutup ketuat dengan pita pelekat selama beberapa hari.
  • Kemudian, tanggalkan pita pelekat ini. Rendam ketuat ini dalam air suam dan tanggalkan lapisan kulit yang mati.
  • Ulang cara ini sehingga ketuat itu hilang.
  • Cara ini juga boleh digabungkan dengan penggunaan minyak pati kulit kayu manis.

5. Kulit pisang

Ada yang mengatakan kalium (potassium) dalam kulit pisang boleh melawan HPV.

Namun, tiada kajian yang mengaitkan kalium dengan rawatan ketuat atau jangkitan virus pada kulit.

Sekiranya anda ingin mencuba, letakkan kulit pisang pada ketuat. Biarkan semalam.

Rawatan Perubatan bagi Menghilangkan Ketuat

Sekiranya rawatan dirumah tidak berjaya, rawatan perubatan boleh dilakukan. Objektif rawatan ini adalah untuk menghapuskan ketuat dan merangsang sistem imunisasi untuk melawan jangkitan virus.

Rawatan ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan.

1. Ubat yang lebih kuat

Ubat preskripsi dengan kandungan asid salisiklik yang lebih kuat boleh membantu menghilangkan ketuat lapisan demi lapisan dalam satu jangka masa tertentu.

2. Pembekuan (Cryotherapy)

Kaedah pembekuan yang dipanggil ‘Cryotherapy‘ melibatkan penggunaan cecair nitrogen pada ketuat juga boleh menyelesaikan masalah ini. Kaedah ini hampir sama dengan pengunaan ubat belian kaunter jenis pembekuan ini.

Kaedah ini akan menyebabkan lepuh dibawah dan disekeliling ketuat. kemudian, tisu-tisu yang mati akan luruh dalam masa seminggu atau lebih.

Selain itu, kaedah ini turut merangsang sistem imunisasi badan untuk melawan jangkitan virus.

3. Pembedahan kecil

Kaedah ini melibatkan pemotongan ketuat. Nama spesifik bagi rawatan ini ialah Electrodesiccation dan Curettage.

Ketuat akan dikeringkan dengan jarum elektrik dan doktor akan mengikis keluar ketuat menggunakan alat yang dipanggil Curette.

Kaedah ini kebiasaannya akan menyebabkan parut.

4. Pembedahan laser

Kaedah ini akan memanaskan dan memusnahkan ketuat dengan sinaran laser. Rawatan ini boleh menyebabkan parut.

Peringatan!

Kebanyakan cara menghilangkan ketuat ini akan mendatangkan rasa sakit dan rasa seperti menyengat.

Rawatan ketuat ini juga boleh menyebabkan parut. Namun ia boleh dipudarkan atau dihilangkan dengan produk-produk yang menghilangkan parut.

Bagi ketuat di bahagian muka dan alat kelamin pula, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor untuk memilih rawatan yang sesuai kerana kulit di bahagian ini adalah sensitif.

Sekiranya anda mempunyai masalah kencing manis dan sistem imun yang rendah, elakkan daripada melakukan rawatan dirumah atau rawatan sendiri. Hal ini dikhuatiri akan mendatangkan bahaya dan membawa masalah yang lain.

Write A Comment