Kesihatan

Cara Mengatasi Sakit Perut Sebelah Kiri

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sakit perut sebelah kiri boleh terbahagi kepada dua kawasan utama iaitu kiri atas atau kiri bawah. Artikel kali ini akan membincangkan mengenai cara mengatasi sakit perut sebelah kiri bawah yang merupakan kawasan bahagian akhir kolon dan ovari kiri bagi sesetengah wanita.

Kolon adalah bahagian usus besar yang memanjang dari sekum hingga ke rektum.

Sakit yang ringan di kawasan ini selalunya tidak perlu dibimbangkan dan selalunya akan hilang dengan sendirinya dalam sehari dua.

Namun, sekiranya sakit ini turut melibatkan simptom lain seperti demam, bengkak di bahagian perut, najis berdarah, loya dan muntah-muntah, sila dapatkan rawatan segera.

Rawatan kepada sakit perut sebelah kiri ini akan bergantung kepada punca yang menyebabkan sakit ini.

sakit perut sebelah kiri

Punca Sakit Perut Sebelah Kiri

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan sakit perut sebelah kiri. Antaranya adalah:

1. Divertikulitis

Divertikulitis ialah radang atau inflamasi divertikulum, terutama inflamasi yang berkaitan dengan divertikulum kolon yang mungkin berliang dan membentuk abses.

Penuaan, keturunan dan diet adalah 3 faktor utama yang menyebabkan radang ini. Pemakanan yang rendah karbohidrat dan tinggi makanan diproses atau bertapis (refined food) juga meningkatkan risiko pembentukan penyakit ini.

Antara simptom-simptom lain Divertikulitis adalah:

  • Demam
  • Loya
  • Muntah
  • Rasa seperti kembung
  • Rasa tegang di perut

2. Hernia inguinal

Hernia inguinal ini terjadi akibat lemak atau sebahagian usus kecil menekan kawasan lemah dalam abdomen bawah lelaki. Hernia jenis ini jarang berlaku dalam kalangan wanita.

Simptom-simptom lain yang boleh terjadi termasuklah:

  • Benjolan berdekatan pangkal peha
  • Sakit di bahagian pangkal peha terutamanya ketika membongkok, batuk atau mengangkat barang
  • Rasa lemah atau tekanan pada pangkal peha
  • Rasa sakit dan perit di benjolan

Hernia inguinal pada asalnya tidaklah berbahaya. Namun, jika ia tidak sembuh dengan sendirinya, ia boleh membahayakan nyawa.

3. Sembelit

Sembelit berlaku apabila pergerakan usus adalah lebih kurang daripada biasa atau najis menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan.

Simptom lain yang mungkin terjadi adalah:

  • Kekejangan
  • Kembung perut

4. Penyakit Crohn

Penyakit Crohn ialah penyakit yang menyebabkan keradangan pada saluran gastrousus. Penyakit ini boleh menyebabkan ulser dalam usus kecil dan kolon. Penyakit ini hampir sama dengan keradangan kronik yang dikenali sebagai kolitis ulseratif.

Simptom-simptom bagi penyakit ini ialah:

  • sakit perut di bahagian kiri atau tengah
  • cirit-birit
  • muntah-muntah
  • demam
  • pengurangan berat badan
  • cirit-birit berdarah

5. Batu karang

Batu karang kebiasaannya akan menyebabkan masalah apabila ia mula bergerak dalam buah pinggang atau di saluran ureter (saluran yang menghubungkan pundi kencing dengan buah pinggang).

Batu karang ini akan menyebabkan sakit yang teruk di bahagian kiri perut, kanan atau kedua-dua bahagian atau bahagian pelvis.

Batu karang turut menyebabkan simptom-simptom seperti berikut:

  • sakit ketika membuang air kecil (kencing)
  • air kencing berubah warna menjadi merah, merah jambu, coklat, keruh atau berbau
  • loya
  • muntah-muntah
  • demam atau mengigil

6. Kehamilan ektopia

Kehamilan ektopia ialah kehamilan di luar rahim (uterus) seperti di tiub falopian atau dalam rongga abdomen.

Selain daripada sakit di bahagian perut, simptom lain yang berkaitan kehamilan ektopia ini adalah:

  • tidak datang haid
  • pendarahan vagina
  • keluar lelehan berair
  • tidak selesa semasa membuang air kecil atau air besar
  • sakit di bahagian bahu

7. Sista ovari

Sista ovari ialah struktur seperti kantung yang tertutup yang mengandungi cecair atau bahan separa pepejal.

Kebanyakan sista ovari berlaku dan sembuh dengan sendirinya tanpa apa-apa simptom. Namun apabila sista ini membesar,pecah, berdarah, membesar dengan pantas atau terkilas, ia akan menyebabkan simptom seperti sakit pada bahagian perut dan pelvis.

Simptom-simptom lain yang boleh berlaku termasuklah:

  • Mudah kenyang
  • Sakit pinggang
  • Ketakcernaan
  • Kening tidak lawas
  • Sakit ketika hubungan intim
sista ovari
Sista Ovari (kemungkinan Follicular cysts)
Kredit imej: Ed Uthman, MD

Rawatan Sakit Perut Sebelah Kiri

Jenis-jenis rawatan pula adalah bergantung kepada penyebab kesakitan itu.

1. Rawatan kepada Divertikulitis

Sekiranya sakit perut ini disebabkan Divertikulitis, rawatan menggunakan antibiotik, berehat, pelembut najis dan perubahan pada diet boleh membantu.

Namun, bagi kes yang serius atau teruk seperti berlaku jangkitan, anda mungkin memerlukan pembedahan.

2. Rawatan kepada Hernia inguinal

Bagi hernia yang kecil dan tidak menganggu anda, doktor mungkin akan mencadangkan “tunggu dan lihat”.

Namun, bagi hernia yang besar dan menyebabkan kesakitan, ia memerlukan pembedahan. Terdapat dua jenis pembedahan hernia iaitu “open hernia repair” dan “laparoscopic“.

3. Rawatan bagi Sista ovari

Rawatan bagi sista ovari bergantung kepada penyebab kepada sista tersebut atau sama ada ia menyebabkan simptom atau tidak. Rawatan juga bergantung kepada usia, saiz ssista tersebut dan kemunculan sista ini dalam pemeriksaan menggunakan kaedah ultrabunyi (ultrasound).

Sista yang berfungsi biasanya hanya melalui pemantauan. Namun, sekiranya sista ini pecah dan menyebabkan pendarahan, rawatan pembedahan diperlukan.

4. Rawatan bagi batu karang

Bagi penyakit batu karang, kebiasaannya batu karang tersebut akan melalui saluran kencing dalam masa 48 jam dengan pengambilan cecair yang mencukupi (minum air yang cukup).

Ubat tahan sakit pula boleh diambil untuk mengurangkan kesakitan. Bagi kes batu karang yang bersaiz besar (lebih besar daripada 9mm hingga 10mm), batu ini sukar untuk keluar dengan sendirinya.

Oleh itu, rawatan seperti lithotripsy (rawatan memecahkan batu karang menggunakan gelombang) dan pembedahan diperlukan.

5. Rawatan untuk kehamilan ektopia

Pilihan rawatan untuk kehamilan luar rahim ini termasuklah pemantauan, laparoscopy, laparotomy dan ubat-ubatan.

Pilihan rawatan ini bergantung kepada individu. Pembedahan diperlukan sekiranya berlaku pendarahan yang boleh mengancam nyawa.

6. Rawatan untuk sembelit dan penyakit Crohn

Rawatan sembelit hanya memerlukan perubahan pada rutin diet iaitu perlu membanyakkan pengambilan serat dan air. Bagi kes-kes yang teruk, mungkin memerlukan ubat laksatif.

Bagi penyakit Crohn, diet yang mengurangkan pengambilan serat dan meningkatkan pengambilan cecair seperti air, jus buah atau jus sayur boleh membantu. Selain itu, ubat antiradang dan antibiotik juga boleh digunakan untuk merawat penyakit ini.

Bila perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya sakit perut ini berpanjangan sehingga beberapa hari dan anda bimbang mengenainya. Langkah terbaik ialah segera berjumpa doktor.

Rujukan

Write A Comment