Memiliki kulit yang putih sememangnya menjadi idaman wanita terutamanya di negara-negara Asia. Ramai yang menggunakan produk kosmetik sebagai salah satu cara untuk memutihkan kulit. Namun, ia mempunyai risiko yang tersendiri. Mujurlah, terdapat cara memutihkan kulit tanpa produk kosmetik.
Warna kulit seseorang itu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:
- jenis kulit
- keturunan (genetik)
- terdedah kepada sinaran matahari
- pencemaran persekitaran
Warna kulit juga dipengaruhi oleh kandungan pigmen semula jadi iaitu melanin. Mereka yang berkulit gelap mempunyai kadar melanin yang lebih tinggi daripada mereka yang berkulit cerah.
Pada asasnya, melanin ini baik untuk melindungi kulit daripada sinaran UV. Walau bagaimana, jika berlebihan ia turut boleh mendatangkan kemudaratan. Contohnya seperti hiperpigmentasi yang boleh menyebabkan jeragat, melasma dan hiperpigmentasi pascakeradangan.
Sememangnya ramai yang lebih suka memilih produk kosmetik untuk memutihkan kulit kerana ia cepat dan mudah. Sesungguhnya ia bukanlah satu kesalahan, tetapi harus sentiasa diingat bahawa amatlah penting untuk menggunakan produk kosmetik yang betul dan berkualiti.
Sesetengah pengeluar produk kosmetik terutamanya yang tidak berdaftar menggunakan bahan berbahaya seperti merkuri dalam produk memutihkan kulit mereka. Ini akan mendedahkan pengguna kepada keracunan merkuri.

Sebagai langkah berhati-hati, sebenarnya terdapat bahan,makanan atau herba yang boleh membantu memutihkan kulit secara semula jadi. Cara memutihkan kulit ini lebih selamat.
Berikut adalah beberapa sumber semula jadi dan cara yang boleh membantu memutihkan kulit.
1. Aloe vera
Aloe vera mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai aloesin yang boleh membantu mengehadkan penghasilan melanin [1].
Selain itu, aloe vera juga turut boleh membantu meningkatkan penghasilan kolagen yang boleh melambatkan penuaan kulit [2].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Kikis lendir atau gel daripada aloe vera (lidah buaya) menggunakan sudu.
- Sapukan gel ini dibahagian kulit dan biarkan selama 30 minit.
- Kemudian, bilas dengan air bersih.
2. Kranberi dan Beri Biru
Buah kranberi dan beri biru mengandungi sebatian yang dikenali sebagai arbutin. Arbutin ialah sebatian yang bertindak sebagai agen pemutih kulit yang menganggu proses pembentukan melanin [3].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Ambil sedikit jus kranberi (asli) dan campurkan dengan satu sudu besar yogurt.
- Sapukan ke bahagian kulit (muka) dan urut selama 10-15 minit.
- Bilas dengan air bersih (air sejuk).
3. Anggur
Buah anggur adalah antara sumber yang baik untuk mendapatkan sebatian resveratrol. Resveratrol antara sebatian yang mujarab dalam merencatkan penghasilan melanin [4].
Selain itu, biji anggur juga mengandungi sebatian proanthocyanidin yang juga turut boleh merencatkan penghasilan melanin [5].
Selain itu, kedua-dua sebatian ini juga bersifat antioksidan dan turut mempunyai banyak manfaat kesihatan yang lain.
Cara penggunaan/pengamalan:
- Biji anggur boleh juga diperolehi dalam bentuk minyak. Minyak biji anggur ini boleh digunakan sama ada secara sapuan pada kulit atau secara makan.
Untuk buah anggur:
- Kisar atau lenyek kira-kira 3-4 biji buah anggur hitam atau merah.
- Tambah satu sudu besar yogurt.
- Tambah 3 titis jus lemon.
- Kacau semua bahan ini hingga sebati.
- Sapukan pada bahagian kulit muka untuk dijadikan seperti topeng (mask).
- Biarkan selama 20 minit.
- Bilas dengan air bersih.
4. Kulit Buah-buahan Sitrus
Buah sitrus ialah buah yang terdiri daripada buah oren, buah limau nipis, buah lemon, buah limau kasturi dan lain-lain lagi.
Kulit buah-buahan sitrus ini selalunya dibuang setelah jus atau isinya diambil. Sebaliknya, kulit buah-buahan sitrus ini boleh dimanfaatkan dengan menjadikannya sebagai agen pemutih kulit.
Kulit buah-buahan sitrus ini mempunyai sebatian yang dikenali sebagai nobiletin. Nobiletin ini juga boleh membantu merencatkan penghasilan melanin [6].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Ambil kulit buah oren (boleh juga menggunakan kulit buah limau atau lemon).
- Bersihkan kulit buah oren ini.
- Jemur sehingga kulit buah oren ini benar-benar kering (mungkin mengambil masa 1-2 hari).
- Kisar kulit buah oren yang telah kering ini tanpa menggunakan air (kisar kering).
- Kemudian, ambil satu sudu besar kisaran kulit oren tadi dan campurkan dengan satu sudu besar yogurt.
- Kacau sehingga sebati.
- Sapukan pada kulit muka.
- Biarkan selama 20 minit.
- Bilas dengan air bersih.
5. Kulit Buah Delima
Ekstrak kulit buah delima juga boleh digunakan untuk memutihkan kulit. Ekstrak buah ini mengandungi asid elagik yang boleh merencatkan penghasilan melanin dan boleh merencatkan pembentukan pigmen (melanin) akibat daripada sinaran UV [7].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Bersihkan kulit buah delima yang ingin digunakan.
- Jemur kulit buah delima ini sehingga kering.
- Kisar kulit buah delima yang telah kering sehingga menjadi seperti serbuk.
- Serbuk kulit buah delima ini boleh dibuat pes untuk sapuan di muka atau dimasukkan ke dalam kapsul untuk dimakan.
6. Temu kunci
Temu kunci (Kaempferia pandurata) atau dekunci atau merkunci adalah sejenis tumbuhan herba daripada keluarga halia. Ubi atau rizom daripada tumbuhan herba ini digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai penyakit.
Ekstrak daripada temu kunci mengandungi sebatian yang dikenali sebagai isopanduratin dan hydroxypanduratin. Sebatian-sebatian ini boleh bertindak sebagai agen pemutih kulit dengan merencatkan penghasilan melanin [8].
7. Cendawan Ganoderma
Cendawan Ganoderma lucidum juga turut boleh membantu memutihkan kulit. Kajian melaporkan bahawa cendawan Ganoderma menunjukkan aktiviti perencatan penghasilan melanin yang kuat [9].
9. Akar manis
Ekstrak akar manis (licorice) juga antara sumber semula jadi yang mempunyai kesan pemutihan kulit. Sebatian glabrene dan isoliquiritigenin dalam ekstrak akar manis menunjukkan kesan perencatan penghasilan melanin yang kuat [10].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Bahan yang diperlukan adalah serbuk akar manis dan gel aloe vera.
- Campurkan 1 bahagian sebuk akar manis dan 1 bahagian gel aloe vera sehingga membentuk seperti pes.
- Sapukan di kulit muka dan biarkan selama 30 minit.
- Kemudian, bilas dengan air bersih.
10. Biji Longan
Biji buah longan yang selalunya tidak dimakan dan dibuang sebenarnya bermanfaat untuk kecantikan kulit. Biji longan ini mengandungi sebatian aktif seperti asid galik, asid elagik dan korilagin yang mempunyai kesan antioksidan dan boleh merencatkan penghasilan melanin [11].
Cara penggunaan/pengamalan:
- Ambil kira-kira 10-15 biji longan.
- Jemur sehingga kering.
- Tumbuk atau kisar biji longan ini sehingga menjadi serbuk.
- Campurkan 1 bahagian serbuk biji longan ini dengan 1 bahagian gel aloe vera sehingga membentuk pes.
- Sapukan di kulit muka dan biarkan selama 30 minit.
- Kemudian, bilas dengan air bersih.
Cara-cara Lain untuk Memutihkan Kulit
Selain sumber-sumber di atas, beberapa amalan atau cara lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cerah adalah:
- dapatkan tidur yang mencukupi
- minum air secukupnya
- menggosokkan belahan limau nipis pada bahagian muka dan badan semasa mandi
Risiko dan Kesan Sampingan
Sesetengah individu mungkin mempunyai kulit sensitif atau alahan kepada bahan-bahan ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum menggunakan bahan ini kepada kulit muka, sapukan terlebih dahulu di atas lengan dan biarkan buat seketika.
Sekiranya tiada tindak balas dalam masa beberapa jam atau sehari, maka bahan tersebut sesuai untuk digunakan oleh anda.
Rumusan
Sumber-sumber atau bahan yang disenaraikan ini mengandungi sebatian aktif yang didapati boleh merencatkan penghasilan melanin iaitu pigmen yang memberi warna kepada kulit.
Secara umumnya sumber-sumber ini selamat digunakan. Kajian-kajian lebih lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan-dapatan kajian ini.