Nama gum arabic mungkin sedikit asing bagi sesetengah daripada kita. Makanan yang berasal dari negara Sudan dan Afrika ini mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Jadi, bagaimana cara makan gum arabic untuk kita dapatkan manfaatnya? Ikuti perkongsian kami ini.
Gum arabic atau turut dikenali sebagai Acacia gum adalah serat (kelihatan seperti getah) yang diambil daripada pokok Acacia. Gum arabic telah digunakan sejak dahulu lagi dalam merawat pelbagai masalah kesihatan seperti:
- masalah penghadaman
- membantu menurunkan berat badan
- menurunkan tekanan darah
- mengurangkan keradangan
- mengurangkan plak gigi
dan lain-lain lagi.
Selain itu,gum arabic turut digunakan dalam industri makanan dan farmaseutikal kerana mempunyai ciri-ciri seperti pengemulsi, agen pemekat dan penstabil rasa. Gum arabic juga turut digunakan dalam pembuatan kosmetik.

Sekarang ini, gum arabic boleh didapati dalam beberapa bentuk di pasaran seperti serbuk halus, dalam bentuk hancur atau bentuk asalnya.
Cara makan gum arabic secara umumnya adalah seperti berikut:
- Campurkan 1-2 sudu besar serbuk gum arabic ini ke dalam segelas air 250 ml.
- Gunakan air minuman biasa dan tidak panas.
- Kacau sehingga larut (kira-kira 30 saat).
- Diminum sebelum sarapan dan sebelum tidur.
Manakala untuk merawat atau tujuan yang khusus, kami sertakan cara makan gum arabic ini mengikut kajian yang telah dijalankan.
a) Cara Makan Gum Arabic untuk Kurus
Kajian oleh University of Medical Science & Technology, Sudan melaporkan bahawa kumpulan yang menerima atau makan gum arabic mengalami penurunan dari segi BMI (body mass index) dan peratusan lemak badan [1].
Cara makan dan kuantiti:
Pagi
- Campurkan 18 gram serbuk gum arabic ke dalam segelas air 250 ml.
- Kacau sehingga larut.
- Minum pada awal pagi
Petang / Malam
- Campurkan 12 gram serbuk gum arabic ke dala segelas air 250 ml.
- Kacau sehingga larut.
- Minum selepas 4 jam selepas makan malam.
Amalkan pengambilan gum arabic ini sekurang-kurangnya selama 6 minggu.
b) Cara Makan Gum Arabic untuk Pesakit Kencing Manis
Gum arabic juga didapati boleh mendatangkan kesan positif kepada pesakit kencing manis (diabetes jenis 2).
Kajian yang dijalankan terhadap 91 orang pesakit kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati pengambilan gum arabic menunjukkan penurunan BMI (body mass index), lemak visera dan tekanan darah sistolik [2].
Cara makan dan kuantiti:
- Campurkan 30 gram (kira-kira 2 sudu besar) serbuk gum arabic ke dalam segelas air 250 ml.
- Kacau sehingga larut.
- Amalkan setiap hari.
Kesan pengambilan gum arabic ini mungkin dapat dilihat setelah 3 bulan pengamalannya.
Kesan Sampingan atau Tindak Balas Gum Arabic
Secara umumnya, gum arabic adalah selamat untuk dimakan. Adalah disarankan untuk mengambil gum arabic ini tidak melebihi 30 gram sehari.
Tetapi terdapat laporan mengenai kesan sampingan bagi sesetengah orang yang mengambilnya. Antara kesan sampingan yang diketahui ialah:
- Loya
- Cirit-birit
- Kembung perut
- Rasa likat di dalam mulut
Gum arabic juga mempunyai tindak balas terhadap antibiotik jenis amoxicillin [3].
Sekiranya anda mengambil sebarang ubat, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil gum arabic terutamanya dalam bentuk suplemen.
Rumusan
Gum arabic ialah sejenis serat yang diperolehi daripada pokok Acacia. Seperti perubatan tradisional, perubatan moden juga turut mendapati gum arabic mempunyai banyak potensi dalam perawatan atau kesihatan.
Cara-cara makan gum arabic ini adalah berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan terhadap manusia dan telah menunjukkan kesan positif.
Sekiranya anda mengambil gum arabic ini dalam bentuk suplemen, anda boleh mengikuti cara makan yang disarankan oleh pengeluar produk suplemen tersebut.
Rujukan
- Babiker, R. et al. (2012). Effects of Gum Arabic ingestion on body mass index and body fat percentage in healthy adult females: two-arm randomized, placebo controlled, double-blind trial. Nutrition journal.
- Babiker, R. et al. (2018). Effect of Gum Arabic (Acacia Senegal) supplementation on visceral adiposity index (VAI) and blood pressure in patients with type 2 diabetes mellitus as indicators of cardiovascular disease (CVD): a randomized and placebo-controlled clinical trial. Lipids in health and disease.
- Acacia. WebmD [diakses pada 7 Februari 2020].