Buah delima adalah buah yang berkhasiat dan enak dimakan. Oleh kerana buah delima adalah buah-buahan import, maka mungkin ada diantara kita yang tidak tahu cara makan buah delima yang sebenar dan mudah untuk dilakukan.

Buah delima mempunyai banyak khasiat, antaranya adalah untuk:

  • merendahkan tekanan darah
  • mencegah kanser prostat
  • melawan kanser payudara
  • mempercepatkan pemulihan otot
  • menguatkan daya ingatan (memori)
  • boleh mengurangkan keradangan
  • mengurangkan sakit sendi
  • meningkatkan kesuburan lelaki

Buah delima banyak ditanam di negara-negara seperti Turki, Mesir, Tunisia, Sepanyol, Morocco, Iran dan juga India. Buah delima mempunyai bentuk heksagon dan mempunyai kulit yang tebak.

Disebalik kulit yang tebal ini, terdapat kira-kira 600 biji delima (aril) yang boleh dimakan segar atau dibuat jus. Buah delima boleh mencapai saiz kira-kira 5-12 cm dari segi diameter [1].

Bahagian paling sukar untuk makan buah delima ini ialah membuang atau mengelupas kulitnya yang tebal itu.

Oleh itu, kali ini kami kongsikan cara untuk makan buah delima yang betul,cepat dan mudah untuk dilakukan.

Cara Membuka atau Memotong Buah Delima

Terdapat satu cara yang efektif dan mudah untuk mengeluarkan biji buah delima untuk dimakan.

Sebelum makan buah delima ini, pastikan anda mencuci buah ini dengan bersih. Kemudian, ikuti langkah-langkah berikut:

1. Potong bahagian atas buah delima

cara makan buah delima

Potong disekeliling bahagian atas yang kelihatan seperti mahkota atau jambul pada buah delima ini menggunakan pisau. Anda boleh memotong sekelilingnya dalam bentuk bulat atau membuat hirisan berbentuk empat segi.

Kemudian, pisahkan bahagian kulit yang dipotong ini daripada buah tersebut.

2. Belah kepada 5 bahagian

cara belah buah delima

Seterusnya, menggunakan pisau. Buat belahan cetek (tidak sehingga memotong biji-biji) buah delima ini kepada 5 bahagian mengikut garis empulur atau mengikut paksanya.

Letak ibu jari anda di bahagian potongan mahkota tadi dan kopak belahan yang dibuat satu persatu untuk mengasingkan bahagian demi bahagian.

Lakukan langkah ini di atas mangkuk atau bekas yang besar bagi mengelakkan biji-biji delima ini bertaburan keluar dan jatuh di tempat yang kotor.

3. Tanggalkan biji daripada kulit

cara makan buah delima

Langkah terakhir ialah membuang lapisan-lapisan putih yang membahagikan biji-biji delima ini dan tanggalkan biji-biji delima ini daripada kulitnya.

Bergantung kepada tahap keranuman buah ini, biasanya jika ia cukup ranum maka adalah mudah untuk menanggalkan bijinya. Cukup sekadar menggosok lembut pada biji-biji ini untuk menanggalkannya.

Sekarang, buah ini sedia untuk dimakan.

Cara Makan Buah Delima yang Pelbagai

Biji buah delima ini boleh dimakan dengan pelbagai cara. Lazimnya ia dimakan segar atau dibuat jus.

Terdapat juga beberapa cara lain yang ringkas dan mudah untuk menggabungkan biji delima ini dengan makanan lain.

Antaranya termasuklah:

  • Campurkannya dengan salad buah atau salad sayur.
  • Campurkannya dalam yogurt atau oat.
  • Tambahnya dalam campuran smoothie.
  • Tambahnya dalam koktel buah.
  • Campurkannya bersama aiskrim.
  • Dijadikan jeli atau agar-agar.

Tips penyimpanan

Anda boleh menyimpan biji-biji delima di dalam peti sejuk beku (freezer) dan ia boleh bertahan sehingga 12 bulan [2].

Caranya:

  • Taburkan biji-biji delima ini di atas papan pembakar yang dialas dengan kertas minyak yang digunakan untuk membakar kek.
  • Bekukan terlebih dahulu biji-biji delima ini selama 2 jam dalam peti sejuk beku.
  • Kemudian, pindahkan biji-biji delima ini ke dalam beg sejuk beku (freezer bag) atau bekas kedap udara.

Rumusan

Buah delima adalah buah yang berkhasiat dan enak dimakan. Sebiji buah delima mengandungi beratus biji (aril) di dalamnya.

Terdapat cara yang berkesan untuk mengasingkan biji delima daripada kulitnya yang tebal dan pahit.

Buah delima yang ranum lebih mudah untuk dipotong dan dikopek. Isi atau bijinya juga mempunyai rasa yang lebih manis jika telah cukup masak (ranum).

Anda boleh makan buah delima ini dengan pelbagai cara, sama ada dimakan segar atau dicampurkan dalam hidangan lain.

Rujukan

Rujukan

  1. Zarfeshany, A., Asgary, S., & Javanmard, S. H. (2014). Potent health effects of pomegranateAdvanced biomedical research.
  2. Bryant, K.M. (n.d). Pomegranate Fruit Uses, Recipes and Storage. University of Florida [diakses pada 5 Februari 2021].

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

10 Rahsia & Khasiat Buah Avokado (Avocado)

Disebalik rupanya yang tidak menarik, buah avokado (avocado) menyimpan 1001 khasiat untuk…

Cara Minum Cuka Epal Dengan Kuantiti Yang Sesuai

Cuka epal banyak digunakan dalam petua-petua atau masakan. Walau bagaimanapun, mungkin ada…

5 Khasiat Buah Mangga Yang Menarik Perhatian Ramai

Khasiat buah mangga sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Selain kaya dengan antioksidan…