Mungkin ada yang tidak pasti cara makan asid folik yang sepatutnya atau menginginkan panduan mengikut situasi mereka yang tertentu. Artikel ini menerangkan panduan cara makan asid folik mengikut keperluan tertentu dan waktu makan yang sesuai.
Sebelum itu, harus diketahui terlebih dahulu tentang apa itu asid folik.
Apa itu Asid Folik?
Asid folik atau dalam bahasa Inggerisnya “folic acid” adalah bentuk sintetik kepada vitamin B9 (folat) yang digunakan dalam makanan tambahan (suplemen) dan makanan yang diperkaya seperti gandum.
Folat adalah vitamin B yang terkandung dalam banyak makanan. Badan tidak boleh menghasilkan folat, maka ia mesti diperolehi melalui makanan harian.

Terdapat banyak pilihan makanan yang kaya dengan folat. Contohnya seperti kacang ginjal, bayam, asparagus, atau telur.
Walau bagaimanapun, sesetengah individu mungkin tidak mendapatkannya secukupnya. Keadaan ini memerlukan mereka untuk mendapatkan makanan tambahan asid folik.
Asid folik penting untuk kesihatan badan kerana ia:
- merawat atau mencegah anemia akibat kekurangan folat
- membantu bayi dalam kandungan untuk membentuk otak, tengkorak dan saraf tunjang dengan baik bagi mengelakkan masalah kecacatan tiub saraf
- membantu mengurangkan kesan sampingan daripada ubat methotrexate yang digunakan untuk merawat artritis, penyakit Crohn atau psoriasis yang teruk
Cara Makan Asid Folik Mengikut Dos dan Waktu yang Sesuai
Secara umumnya, terdapat beberapa panduan cara makan asid folik yang boleh diikuti berdasarkan keperluan anda. Sekiranya anda mengambil asid folik melalui suplemen, anda boleh mengikuti panduan yang telah disediakan oleh pengeluar produk suplemen tersebut.
Dos yang Sesuai
1. Dos bagi wanita yang belum berkahwin
Bagi wanita yang belum berkahwin yang berada pada usia subur, dos yang disarankan adalah sebanyak 400 mikrogram asid folik sehari.
Bagi remaja perempuan, pengambilan nutrien yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 400 mikrogram folat sehari iaitu bersamaan dengan 200 mikrogram asid folik sehari (jika dimakan ketika perut kosong).
2. Dos bagi wanita yang bakal atau sedang hamil
Bagi wanita yang merancang untuk hamil, dos yang disarankan adalah sebanyak 400 mikrogram sehari.
Pengambilan asid folik ini disarankan diambil sehingga minggu ke-12 anda hamil. Ini boleh membantu bayi anda membesar dengan normal.
Sekiranya kandungan anda berisiko untuk mengalami kecacatan tiub saraf semasa hamil, doktor mungkin akan mencadangkan dos yang lebih tinggi seperti 5 miligram sekali sehari.
3. Dos untuk anemia akibat kekurangan folat
Anemia adalah penyakit yang diakibatkan oleh kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam sel darah merah. Penyakit ini boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan tetapi ia lebih lazimnya berlaku kepada perempuan atau wanita.
Untuk merawat anemia akibat kekurangan folat, dos yang selalunya digunakan bagi orang dewasa dan kanak-kanak berumur 1 tahun ke atas adalah 5 miligram, sekali sehari selama 4 bulan.
Kadang-kadang dos ini ditingkatkan kepada 15 miligram sehari.
Untuk mencegah anemia akibat kekurangan folat, dos yang sesuai bagi orang dewasa dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas adalah 5 miligram, diambil setiap 1 hingga 7 hari.
Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada umur, diet dan keadaan kesihatan anda.
Bagi kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun, dapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan dos yang sesuai.
4. Dos untuk kesihatan otak
Kekurangan folat dalam darah juga boleh menyebabkan prestasi kognitif yang buruk. Kognitif melibatkan kognisi iaitu proses mental untuk mentafsir,mempelajari dan memahami sesuatu.
Berdasarkan satu kajian yang melibatkan 180 orang dewasa yang mengalami gangguan kognitif yang ringan, pengambil asid folik pada dos 400 mikrogram sehari selama 2 tahun boleh menambah baik fungsi otak. [1]
5. Dos untuk mengurangkan risiko penyakit jantung
Pengambilan suplemen asid folik juga boleh membantu meningkatkan kesihatan jantung dan mengurangkan risiko kepada penyakit jantung.
Satu analisis yang melibatkan 30 kajian dan lebih 80,000 peserta melaporkan bahawa asid folik boleh mengurangkan risiko kepada penyakit jantung sebanyak 4% dan risiko kepada strok sebanyak 10%. [2]
Dos yang digunakan adalah antara 0.5 miligram hingga 15 miligram sehari.
Waktu Sesuai Makan Asid Folik
Asid folik adalah vitamin larut air, pengambilan suplemen atau makanan tambahan ini bersama-sama dengan segelas air kosong serta perut yang kosong adalah kaedah terbaik.
Namun, asid folik juga boleh diambil bersama-sama makanan lain.
Waktu sesuai untuk makan asid folik boleh diantara waktu pagi atau petang.
Sekiranya anda mengambil asid folik setiap hari, makan vitamin ini pada waktu yang sama setiap hari.
Kesan Sampingan
Kebanyakan orang dewasa dan kanak-kanak boleh mengambil makanan tambahan atau suplemen asid folik.
Walau bagaimanapun, golongan berikut harus memaklumkan kepada doktor mereka sekiranya mereka ada mengambil suplemen asid folik:
- Mempunyai paras vitamin B12 yang rendah
- Menghidap kanser
- Mengalami tindak balas alahan terhadap asid folik
- Menjalani hemodialisis
- Mempunyai sten jantung
Dapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya kesan sampingan berikut menganggu anda atau tidak pulih:
- Kembung perut atau angin
- Hilang selera makan
- Loya (tetapi bagi wanita hamil ia mungkin akibat mabuk hamil)
Soal Jawab
Ambil dos yang terlupa tadi sebaik sahaja anda mengingatinya. Jika ia sudah hampir dengan dos berikutnya, abaikan dos yang terlupa tersebut. Ambil dos yang berikutnya seperti biasa.
Sekiranya anda mengingatinya pada hari anda mengambil ubat methotrexate, tunggu sehari dan ambil dos yang terlupa pada hari berikutnya.
Jangan sekali-kali mengambil 2 dos untuk menebus yang terlupa.
Ambil dos anda yang terlepas sebaik sahaja anda ingat. Kemudian, kembali mengambil dos mingguan pada hari biasa anda.
Sekiranya anda mengingatinya pada hari anda mengambil ubat methotrexate, tunggu sehari dan ambil dos yang terlupa pada hari berikutnya.
Jangan sekali-kali mengambil 2 dos untuk menebus yang terlupa.
Asid folik adalah suplemen vitamin dan ia tidak menganggu haid anda. Ia boleh diambil ketika anda mengalami haid atau datang bulan.
Tiada bukti yang menunjukkan asid folik boleh menjejaskan kesuburan wanita atau lelaki.
Rujukan
- Ma, F. et al. (2019). Effects of folic acid supplementation on cognitive function and Aβ-related biomarkers in mild cognitive impairment: a randomized controlled trial. European journal of nutrition.
- Li, Y. et al. (2016). Folic Acid Supplementation and the Risk of Cardiovascular Diseases: A Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Journal of the American Heart Association.
- Cleveland Clinic. (2021). The Best Time to Take Vitamins.
- NHS. (2019). Folic acid.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Folic acid.
- National Institutes of Health. (2021). Folate.
- National Coordinating Committee on Food and Nutrition. (2017). Recommended Nutrient Intakes for Malaysia. A Report of The Technical Working Group on Nutritional Guidelines. Ministry of Health Malaysia.