Sakit gigi boleh menjadi sangat menyakitkan dan mencabar untuk dirawat. Ia mungkin menyebabkan anda mengalami sakit kepala hingga demam. Bagi membantu anda, kami senaraikan beberapa cara hilangkan sakit gigi yang boleh anda lakukan di rumah.
Sakit gigi boleh disebabkan oleh banyak punca. Cotohnya seperti gigi rosak, tampalan gigi yang longgar atau pecah, jangkitan atau gusi bengkak.
Sekiranya kesakitan tersebut berlarutan sehingga sehari atau dua hari, adalah terbaik untuk mendapatkan rawatan di klinik gigi dengan segera.

Sementara mendapatkan rawatan, berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu hilangkan sakit gigi buat sementara waktu.
1. Berkumur dengan Air Garam
Bagi kebanyak orang, berkumur dengan air garam adalah rawatan yang berkesan.
Air garam ialah pembasmi kuman semula jadi, dan ia boleh membantu melonggarkan sisa makanan dan serpihan yang mungkin tersekat di celah-celah gigi anda.
Tambahan itu, merawat sakit gigi dengan air garam boleh membantu mengurangkan keradangan dan menyembuhkan luka pada mulut. [1]
Untuk mencuba kaedah ini, campurkan setengah sudu teh garam ke dalam segelas air suam. Kemudiannya, gunakan air tersebut sebagai pencuci mulut.
2. Daun Pudina
Daun pudina juga mempunyai sifat “kebas” yang boleh menghilangkan sakit gigi. Kandungan mentol dalam daun ini turut bersifat antibakteria.
Satu sudu teh daun pudina kering boleh dimasukkan ke dalam secawan air mendidih dan direndam selama 20 minit. Selepas dibiarkan sejuk, ia boleh dikumurkan ke dalam mulut kemudian diludah.
3. Bunga Cengkih
Seperti daun pudina, bunga cengkih juga turut mempunyai sifat “kebas” yang boleh menghilangkan sakit gigi.
Cengkih juga mempunyai ciri-ciri antiradang dan antibakteria, yang boleh membantu melawan jangkitan pada gigi dan gusi. [2]
Anda boleh menggunakan minyak cengkih atau cengkih kering. Untuk minyak cengkih, rendamkan putik kapas ke dalam minyak cengkih dan sapukan pada kawasan yang sakit.
Bagi cengkih kering pula, kunyah sebiji cengkih secara perlahan-lahan untuk mengeluarkan minyaknya dan tahan pada gigi yang terjejas sehingga 30 minit.
4. Pek Ais
Pek ais juga boleh membantu mengurangkan sakit gigi terutamanya jika ia disebabkan kecederaan atau gusi bengkak.
Anda boleh meletakkan pek ais pada bahagian luar pipi di tempat gigi yang sakit selama beberapa minit pada satu-satu masa.
Penggunaan rawatan menggunakan pek ais ini boleh membantu menyempitkan saluran darah, memperlahankan aliran darah ke kawasan yang terjejas. Ini boleh membantu menghilangkan rasa sakit, mengurangkan bengkak dan keradangan.
5. Daun Jambu Batu
Daun jambu batu mempunyai sifat antiradang yang boleh membantu menyembuhkan luka. Ia juga mempunyai aktiviti antimikrobial yang boleh membantu dalam penjagaan mulut. [3, 4]
Untuk menggunakan kaedah ini, kunyah daun jambu batu segar atau masukkan daun jambu batu yang telah dihancurkan ke dalam air mendidih untuk dijadikan ubat kumur.
6. Bawang Putih
Bawang putih sememangnya terkenal dengan khasiat perubatannya. Ia juga mempunyai sifat antibakteria. Ia bukan sahaja boleh membunuh bakteria berbahaya yang menyebabkan plak gigi, tetapi ia juga boleh bertindak sebagai penghilang rasa sakit. [5]
Untuk menggunakan bawang putih pada gigi yang sakit, hancurkan seulas bawang putih untuk membuat pes dan sapukan pada kawasan yang terjejas. Anda boleh menambah sedikit garam.
Sebagai alternatif, anda boleh mengunyah seulas bawang putih segar secara perlahan.
7. Minyak Taim (Thyme)
Taim (thyme) juga merupakan tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antibakteria yang boleh membantu menghilangkan sakit gigi.
Malah, taim juga boleh membantu melawan bakteria yang menyebabkan pereputan gigi. [6]
Untuk menggunakan kaedah ini, cairkan minyak pati taim dengan minyak pembawa dan kemudian sapukan pada kawasan yang terjejas.
Anda juga boleh menambah setitik minyak taim ke dalam segelas dan membuat ubat kumur.
8. Ekstrak Vanila
Ekstrak vanila asli juga boleh membantu anda menghilangkan rasa sakit gigi. Ia mengandungi alkohol yang boleh mengurangkan kesakitan.
Selain itu, kandungan antioksidannya juga boleh menjadi penyembuh yang efektif.
Untuk menggunakan ubat ini, sapukan sedikit ekstrak vanila ke jari anda atau putik kapas. Sapukan terus ke kawasan yang terjejas beberapa kali sehari.
9. Ubat Penghilang Kesakitan
Cara hilangkan sakit gigi yang seterusnya adalah menggunakan ubat penghilang kesakitan yang boleh didapati di farmasi atau kedai penjagaan diri.
Ubat penghilang kesakitan seperti paracetamol dan ibuprofen boleh menyediakan pelegaan kesakitan yang sementara kepada sakit gigi anda.
Rujukan
- Huynh, N. C. et al. (2016). Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro. PloS one.
- Cortés-Rojas, D. F. et al. (2014). Clove (Syzygium aromaticum): a precious spice. Asian Pacific journal of tropical biomedicine.
- Varghese, J. et al. (2019). In Vitro Evaluation of Substantivity, Staining Potential, and Biofilm Reduction of Guava Leaf Extract Mouth Rinse in Combination with its Anti-Inflammatory Effect on Human Gingival Epithelial Keratinocytes. Materials.
- Vieira, D. R. et al. (2014). Plant species used in dental diseases: ethnopharmacology aspects and antimicrobial activity evaluation. Journal of ethnopharmacology.
- Bayan, L. et al. (2014). Garlic: a review of potential therapeutic effects. Avicenna journal of phytomedicine.
- Damtie, D., & Mekonnen, Y. (2020). Antibacterial activity of essential oils from Ethiopian thyme (Thymus serrulatus and Thymus schimperi) against tooth decay bacteria. PloS one.