Rawatan

13 Cara Hilangkan Bau Mulut atau Nafas Berbau

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sekiranya anda tertanya-tanya bagaimana cara untuk hilangkan bau mulut? Di sini ada jalan penyelesaiannya. Artikel kali ini akan berkongsi beberapa petua atau rawatan dirumah yang boleh diamalkan untuk hilangkan bau mulut atau nafas berbau.

Bau mulut adalah salah satu tanda kepada masalah nafas berbau. Istilah perubatan bagi masalah nafas berbau adalah Halitosis.

Sesungguhnya, sememangnya sukar untuk seseorang itu menyedari bahawa mereka mempunyai masalah nafas berbau atau mulut berbau. Di sini, pasangan atau kawan rapat memainkan peranan. Mereka perlu jujur menegur atau memaklumkan kepada penghidap Halitosis ini.

Tiada apa yang perlu dimalukan kerana bau mulut atau nafas berbau boleh terjadi kepada semua orang. Mengetahui punca dan jalan penyelesaiannya adalah lebih penting.

Punca Bau Mulut atau Nafas Berbau

Bau mulut atau nafas berbau biasanya berasal daripada mulut iaitu lokasi dimana wujudnya bakteria . Apabila kita makan, cebisan atau sisa makanan akan terlekat digigi.

Bau busuk ini terhasil apabila bakteria dalam mulut ini menguraikan cebisan makanan yang terlekat tersebut.

Selain itu, bau mulut juga boleh berpunca daripada masalah seperti kaviti gigi, penyakit gusi seperti periodontitis atau salut lidah (lidah putih).

Penyakit atau kondisi lain yang turut boleh menyebabkan nafas berbau adalah mulut kering, diabetes, jangkitan pada kerongkong, sinusitis, tonsilitis, atau gangguan dalam usus.

Tabiat merokok dan minum minuman keras juga boleh menyebabkan bau mulut.

cara hilangkan bau mulut atau nafas berbau

Petua atau Rawatan Dirumah untuk Bau Mulut dan Nafas Berbau

Bau mulut atau nafas berbau bukanlah satu masalah kesihatan yang serius. Sesetengah bau mulut adalah bersifat sementara. Masalah ini boleh diatasi dengan beberapa kaedah rawatan mudah yang boleh dilakukan sendiri dirumah.

Beberapa cara hilangkan bau mulut yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

1. Gosok gigi

Penjagaan kebersihan mulut adalah penting bagi mengelakkan bau mulut serta mencegah pembentukan plak gigi. Ini bagi mengelakkan bakteria membiak di dalam mulut seterusnya menghasilkan bau busuk.

Gosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari iaitu di waktu pagi dan malam boleh mengurangkan risiko berlakunya mulut dan nafas berbau.

Selain itu, bakteria juga boleh berkumpul pada permukaan lidah. Ini juga boleh menyumbang kepada bau mulut. Maka, mengikis atau menggosok permukaan lidah semasa menggosok gigi juga adalah langkah yang perlu bagi mengelakkan masalah bau mulut.

2. Minum air

Mulut kering juga boleh menyebabkan bau mulut. Keadaan ini biasa berlaku ketika bulan puasa namun ia akan hilang setelah individu tersebut berbuka puasa.

Dehidrasi, ubat-ubatan dan diet juga boleh menyebabkan mulut kering. Mulut kering ini berlaku apabila kelenjar air liur tidak menghasilkan air liur yang secukupnya untuk menyingkirkan cebisan makanan daripada mulut. Akibatnya, bakteria akan membiak pada cebisan makanan ini dan menyebabkan bau mulut.

Langkah penyelesaiannya ialah dengan membanyakkan minum air bagi mengelakkan mulut kering.

3. Teh hijau

Teh hijau adalah teh yang tinggi dengan kandungan antioksidannya. Teh ini mengandungi sebatian yang dikenali sebagai Epigallocatechin-3-gallate (EGCG).

Terdapat kajian yang mendapati EGCG mengalakkan perembesan bahan kimia yang bersifat antibakteria oleh gusi. Bahan kimia ini boleh menghapuskan bakteria P. gingivalis iaitu bakteria penyebab penyakit gusi dan menyebabkan bau mulut.

Sekiranya anda mempunyai masalah mulut berbau, boleh cuba amalkan minum teh hijau setiap hari.

4. Jus nanas

Amalan meminum jus nanas juga dipercayai boleh menghilangkan nafas berbau dengan cepat dan berkesan. Walaupun tiada bukti saintifik yang menyokong, tetapi ada yang mendakwa ia berkesan.

Caranya, minum segelas jus nanas asli selepas makan atau kunyah sepotong nanas selama 1 minit atau 2 minit.

Kemudian bilas mulut untuk menghilangkan gula buah ini.

5. Yogurt

Yogurt juga boleh membantu mengatasi masalah bau mulut atau nafas berbau. Yogurt mengandungi bakteria baik yang dikenali sebagai lactobacillus.

Bakteria baik ini boleh membantu melawan bakteria jahat dalam badan kita.

Kajian selama 6 minggu menunjukkan pengambilan yogurt boleh mengurangkan nafas berbau sehingga 80%. Ini menunjukkan probiotik berkesan dalam mengurangkan nafas berbau.

Untuk mendapatkan manfaat daripada yogurt ini, ambil sekurang-kurangnya 1 hidangan yogurt asli setiap hari.

6. Susu

Susu juga terkenal dengan kebolehannya untuk mengurangkan bau mulut. Terdapat kajian yang menunjukkan meminum susu selepas makan bawang putih boleh mengurangkan nafas berbau akibat bawang putih ini.

Amalkan minum segelas susu rendah lemak selepas makan hidangan yang mengandungi bawang atau bawang putih.

7. Oren atau lemon

Buah oren atau lemon adalah antara buah yang mengandungi asid sitrik.

Kajian mendapati asid sitrik boleh membantu meningkatkan penghasilan air liur. Penghasilan air liur yang mencukupi boleh membantu menghilangkan bau mulut dengan menyingkirkan bakteria penyebab bau dalam mulut. Selain itu, bakteria juga tidak menyukai persekitaran yang berasid.

Oleh itu, makan buah oren atau lemon boleh membantu menghilangkan bau mulut.

8. Gunakan pencuci mulut

Amalan membilas atau membersihkan mulut menggunakan pencuci mulut juga boleh membantu menghilangkan bau mulut. Pencuci mulut ini boleh digunakan yang terdapat di pasaran atau dibuat sendiri.

a) Pencuci mulut komersil

Menggunakan pencuci mulut yang boleh didapati di pasaran seperti Listerine juga berkesan untuk hilangkan bau mulut.

Produk pencuci mulut ini mengandungi bahan aktif yang boleh membunuh bakteria di dalam mulut.

b) Pencuci mulut daripada cuka

Cuka juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut. Cuka mengandungi asid yang dikenali sebagai asid asetik. Bakteria di dalam mulut tidak menyukai persekitaran berasid. Maka, mencuci mulut menggunakan cuka boleh mencegah pembiakan bakteria di dalam mulut.

Cara penggunaan:

  • Masukkan 2 sudu besar cuka epal atau cuka putih ke dalam secawan air.
  • Berkumur dengan air tersebut selama 30 saat.
  • Kemudian, ludah atau buang air tersebut.
  • Amalkan setiap hari.

c) Pencuci mulut daripada baking soda

Baking soda atau natrium bikarbonat juga boleh digunakan sebagai pencuci mulut. Ini kerana baking soda boleh membunuh bakteria dalam mulut secara berkesan. Kajian juga menunjukkan ubat gigi yang mengandungi kepekatan baking soda yang tinggi berkesan untuk mengurangkan bau mulut atau nafas berbau.

Cara penggunaan:

  • Campurkan 2 sudu teh baking soda ke dalam secawan air suam.
  • Berkumur dengan air campuran ini selama 30 saat.
  • Kemudian, buangkannya.

9. Rawatan lain yang boleh diamalkan

  • Flos gigi: flos gigi selepas makan bagi membuang cebisan makanan yang terlekat pada gigi.
  • Bersihkan pendakap gigi: sekiranya anda memakai pendakap gigi bersihkan secara menyeluruh sekurang-kurang sekali sehari.
  • Ubah diet: elakkan daripada makan makanan mengandungi banyak bawang putih dan bawang besar. Elakkan juga makanan tinggi gula kerana boleh menyebabkan nafas berbau.
  • Kerap menukar berus gigi: tukar berus gigi anda setiap 3-4 bulan sekali dan gunakan berus gigi yang berbulu lembut.

Kesimpulan

Sekiranya anda mempunyai masalah bau mulut dan nafas berbau, jangan bimbang kerana masalah ini boleh dirawat.

Senarai petua atau cara hilangkan bau mulut ini adalah mudah dan boleh diamalkan bagi mengatasi masalah bau mulut. Kunci utama kepada masalah ini sentiasa menjaga kebersihan mulut.

Namun, harus diingat juga nafas berbau boleh menjadi tanda kepada kegagalan buah pinggang, jangkitan atau diabetes ketoacidosis.

Dapatkan rawatan daripada doktor gigi sekiranya bau mulut atau nafas berbau ini tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan selepas mencuba rawatan dirumah ini.

Rujukan

Write A Comment