Kesihatan

Cara Hilangkan Batuk: 5 Rawatan Tanpa Ubat (+5 Bonus)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Batuk semestinya menyebabkan rasa yang sangat tidak selesa. Sudah tentu ramai yang mencari cara hilangkan batuk. Di sini kami kongsikan 5 petua atau cara hilangkan batuk.

Batuk yang sekejap-sekejap adalah tidakbalas normal yang membantu membersihkan saluran pernafasan daripada kahak dan iritasi. Tetapi, jika batuk ini berpanjangan ia mungkin berpunca daripada masalah kesihatan yang lain.

Secara umumnya, batuk boleh berpunca daripada alahan, bahan iritasi atau jangkitan kuman (virus dan bakteria). Selain itu, asid refluks juga boleh menyebabkan batuk.

Buat masa ini, batuk (batuk kering) boleh menjadi tanda-tanda kepada jangkitan virus COVID-19. Oleh itu, dapatkan saringan atau rawatan segera.

Bagi kes-kes batuk yang ringan, terdapat banyak ubat belian kaunter yang boleh didapati untuk merawat batuk.

Namun, sekiranya anda memilih untuk menghilangkan batuk dengan kaedah alami, berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan.

1. Madu

Madu sememangnya mempunyai banyak khasiat. Selain boleh mengubat sakit tekak, madu juga boleh meredakan batuk, malahan lebih berkesan daripada ubat belian kaunter [1].

Madu juga boleh menghentikan penghasilan mukus dan membunuh kuman. Tidak kira madu lebah atau madu kelulut, kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang hampir sama.

Cara rawatan:

Cara merawat batuk menggunakan madu ini ialah dengan menggunakan 2 sudu teh madu yang dicampur ke dalam secawan air suam atau teh herba.

Boleh juga dicampur perahan lemon kerana lemon boleh membantu melegakan saluran pernafasan yang tersumbat.

Selain itu, madu ini juga boleh terus dimakan tanpa dicampur air.

2. Jus Nanas

nanas boleh hilangkan batuk

Mungkin tidak ramai yang mengetahui sebenarnya buah nanas boleh membantu mengubati batuk. Enzim dalam buah dan batang nanas yang dikenali sebagai Bromelain boleh mengurangkan batuk dan mencairkan kahak di kerongkong [2].

Selain itu, Bromelain ini juga boleh meningkatkan sistem imuniti (sistem pertahanan badan) dan mengurangkan keradangan.

Cara rawatan:

Makan sehiris nanas atau minum 100 mililiter jus nanas segar (tanpa campuran gula) sebanyak 3 kali sehari.

3. Daun Pudina

Daun pudina juga terkenal dengan khasiatnya. Daun ini juga boleh ditanam di Malaysia dan produk yang mengandungi daun ini juga mudah diperolehi. Mentol dalam daun pudina boleh melegakan kerongkong dan bertindak sebagai dekongestan dengan menipiskan kahak [3].

Cara rawatan:

1. Minum secawan teh daun pudina sebanyak 1 hingga 5 kali sehari atau

2. Sedut wap daun pudina.

Caranya, campurkan 3 atau 4 titis minyak pati daun pudina ke dalam 150 mililiter air panas. Tutup kepala dengan kain tuala dan bernafas terus di atas air panas tersebut.

4. Berkumur dengan Air Garam

Kaedah berkumur dengan air garam ini adalah mudah dan senang dilakukan. Campuran garam dan air suam dapat melegakan tekak yang gatal yang menyebabkan batuk.

Cara rawatan:

Campurkan kira-kira setengah sudu teh garam ke dalam 200 mililiter air suam, kemudian berkumurlah dengan air ini.

5. Teh Halia

Cara hilangkan batuk yang seterusnya ialah menggunakan teh halia. Halia mempunyai banyak manfaat dalam perubatan. Kajian mendapati kandungan sebatian antiradang dalam halia boleh menenangkan membran dalam salur pernafasan. Seterusnya mengurangkan batuk [4].

Cara rawatan:

Hasilkan teh halia dengan mencampurkan kira-kira 20 hingga 40 gram hirisan halia segar ke dalam secawan air panas. Biarkan selama beberapa minit sebelum meminumnya.

Campurkan madu untuk menambah rasa supaya lebih mudah diminum.

(Bonus) 5 Cara Lain untuk Mengurangkan atau Hilangkan Batuk

Selain 5 petua atau tips menghilangkan batuk yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa cara lain yang boleh diamalkan bagi mengurangkan atau mencegah batuk.

1. Membanyakkan minum air:

Adalah penting untuk kekal terhidrat semasa batuk atau demam. Kajian mendapati minuman panas atau minuman pada suhu bilik boleh mengurangkan batuk, hidung berair dan bersin [5].

Selain itu, minum air kosong yang banyak juga boleh menipiskan kahak.

2. Probiotik

Probiotik ialah mikroorganisma yang berguna untuk kesihatan. Dalam konteks penawar batuk, probiotik bertindak menyeimbangkan bakteria dalam usus.

Walaupun probiotik tidak menyembuhkan batuk secara terus, keseimbangan bakteria dalam usus ini meningkatkan sistem pertahanan badan. terdapat bukti yang menunjukkan bakteria Lactobacillus (probiotik) boleh mengurangkan demam selesema [6].

Probiotik boleh didapati daripada produk yogurt asli, susu yang diperkaya, kimchi atau dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).

Peringatan: Susu boleh menebalkan kahak.

3. Cuka epal

Cuka epal yang dicairkan (dicampurkan) dengan madu atau air boleh diminum untuk menipiskan kahak.

4. Gula-gula lozeng

Gula-gula lozeng yang boleh didapati di kedai-kedai runcit atau farmasi juga boleh membantu mengurangkan batuk atau ketidakselesaan pada kerongkong.

5. Coklat

Ya, makan coklat juga boleh membantu mengatasi batuk. Ini kerana coklat mengandungi Theobromide iaitu bahan dalam coklat atau koko boleh menghentikan aktiviti saraf vagus yang menyebabkan batuk [7].

Langkah-langkah Mencegah Batuk

Selain mengetahui cara hilangkan batuk, langkah pencegahan penting bagi mengelakkan daripada dijangkiti. Antara beberapa langkah pencegahan yang boleh diamalkan termasuklah:

  • Jauhi atau elakkan bersentuhan dengan mereka yang tersedia sakit.
  • Tutup mulut dan hidung ketika bersin dan batuk.
  • Sentiasa bersihkan kediaman, tempat kerja atau tempat bermain (bagi kanak-kanak).
  • Jauhi debu, minyak wangi dan bahan pencemar.
  • Kerap membasuh tangan selepas batuk, makan atau selepas ke tandas.
  • Dapatkan tidur yang cukup.
  • Ambil makanan tambahan yang boleh meningkatkan sistem imun seperti vitamin C, vitamin D, vitamin B kompleks atau mineral zink.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut bersama-sama dengan batuk, sila dapatkan rawatan daripada doktor dengan segera:

  • Kahak yang berwarna kuning atau hijau dengan bau busuk
  • Mengigil
  • Dehidrasi
  • Demam melebihi 39 darjah celcius
  • Demam yang tidak kebah lebih dari 3 hari
  • Rasa lemah atau keletihan
  • Batuk berdarah
  • Sukar bernafas
  • Hilang selera makan
  • Sukar untuk menelan
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Berat badan menurun
  • Nafas menjadi pendek

Simptom atau gejala tambahan ini mungkin mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan yang lebih serius yang memerlukan rawatan daripada doktor.

Kemaskini terakhir pada 14 September 2020.

Rujukan

  1. Paul, I. M., et al. (2007). Effect of honey, dextromethorphan, and no treatment on nocturnal cough and sleep quality for coughing children and their parentsArchives of pediatrics & adolescent medicine.
  2. Tamyra Comeaux. 2007. ‘Bromelain’ dalam The Definitive Guide to Natural Pregnancy Health – Why Your Prenatal Vitamin May Not Be Enough. Dog Ear Publishing. Halaman 9.
  3. Eccles R. (2003). Menthol: effects on nasal sensation of airflow and the drive to breatheCurrent allergy and asthma reports3(3), 210–214.
  4. Townsend, E. A.,et al. (2013). Effects of ginger and its constituents on airway smooth muscle relaxation and calcium regulationAmerican journal of respiratory cell and molecular biology.
  5. Sanu, A., & Eccles, R. (2008). The effects of a hot drink on nasal airflow and symptoms of common cold and fluRhinology.
  6. Kang, E. J., et al. (2013). The effect of probiotics on prevention of common cold: a meta-analysis of randomized controlled trial studiesKorean journal of family medicine.
  7. Martínez-Pinilla, E., et al. (2015). The relevance of theobromine for the beneficial effects of cocoa consumptionFrontiers in pharmacology.

Write A Comment