Bronkitis kronik ialah keradangan yang berpanjangan pada bronkus iaitu saluran udara yang membawa udara ke paru-paru anda. Bronkitis kronik adalah lazim berlaku kepada perokok. Penghidap penyakit ini juga cenderung untuk mendapatkan jangkitan paru-paru dengan mudah.
Seseorang itu boleh dianggap menghidap penyakit ini apabila mengalami batuk yang produktif selama lebih daripada 3 bulan dalam masa 2 tahun. Ia berbeza daripada bronkitis akut yang berlaku kurang daripada 3 minggu.
Bronkitis kronik adalah salah satu keadaan yang termasuk dalam penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Tanda-tanda dan Gejala
Bronkitis kronik ditakrifkan sebagai batuk produktif yang berlangsung sekurang-kurangnya 3 bulan, dengan serangan berlaku secara berulang-ulang sekurang-kurangnya 2 tahun berturut-turut.
Setiap orang mungkin mempunyai tanda dan gejala yang berbeza-beza. Berikut adalah tanda-tanda dan gejala yang lazim berlaku:
- Batuk
- Batuk berkahak (kahak berwarna jernih, putih, kelabu kekuningan atau hijau)
- Berdehit
- Rasa tidak selesa di dada
Penghidap penyakit ini biasanya akan batu dan menghasilkan kahal selama beberapa tahun sebelum mereka berasa sesak nafas.
Gejala-gejala yang lebih teruk yang boleh berlaku termasuklah:
- Kecacatan
- Jangkitan saluran pernafasan yang kerap dan teruk
- Sukar bernafas
- Tiub pernafasan (bronkus) menyempit dan tersumbat
- Bunyi semput dan berderak dengan pernafasan
- Bengkak kaki
- Kuku jari, bibir dan kulit kebiruan kerana tahap oksigen yang lebih rendah
- Kegagalan jantung
Punca
Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan bronkitis kronik. Tetapi punca atau faktor yang utama adalah terdedah kepada asap rokok sama ada sebagai seorang perokok atau perokok pasif.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan penyakit ini. Contohnya adalah:
- Jangkitan: Jangkitan virus dan bakteria seperti Influenza Jenis A dan B, bakteria Staphylococcus, Streptococcus, dan Mycoplasma pneumonia.
- Pencemaran udara: Pencemaran persekitaran seperti habuk, bahan kimia seperti ammonia dan sulfur dioksida.
- Menghidap penyakit lain: Penghidap asma, fibrosis sista atau bronkiektasis mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini.
Rawatan
Walaupun tiada ubat untuk bronkitis kronik, penyakit ini boleh diuruskan dengan rawatan perubatan dan perubahan gaya hidup, terutamanya apabila didiagnosis lebih awal.
Matlamat rawatan adalah untuk melegakan gejala-gejala, mencegah komplikasi dan memperlahankan kemajuan penyakit.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang mungkin dipreskripsi untuk merawat penyakit ini adalah:
- Antibiotik: Sekiranya penyakit ini disebabkan oleh bakteria.
- Glukokortikoid: Ubat yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan penghasilan mukus atau kahak.
- Bronkodilator: Membantu dengan meningkatkan lumen saluran pernafasan, meningkatkan fungsi silia dan meningkatkan penghidratan mukosa.
Terapi
Jika anda menghidap bronkitis kronik, anda mungkin mendapat manfaat daripada pemulihan pulmonari iaitu satu program senaman pernafasan di mana ahli terapi pernafasan mengajar anda cara bernafas dengan lebih mudah dan meningkatkan keupayaan anda untuk bersenam.
Rujukan
- Widysanto A, Mathew G. Chronic Bronchitis. [Updated 2021 Jul 17]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI