Kesihatan

Bayi Selesema: Apa Tindakan Ibu Yang Sepatutnya

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sudah tentu sekiranya bayi selesema akan meresahkan anda. Bayi anda sememang mudah terdedah kepada jangkitan virus kerana sistem imun badan mereka masih tidak matang.

Sebelum berumur 2 tahun, bayi anda boleh terkena sebanyak 8 hingga 10 kali selesema dalam setahun.

Bagi bayi yang berumur kurang daripada 3 bulan, adalah penting untuk membawa bayi anda berjumpa doktor sekiranya menunjukkan tanda-tanda selesema, batuk atau demam.

Ini untuk memastikan sakit tersebut tidak membawa kepada masalah yang lebih serius seperti pneumonia (radang paru-paru) dan croup (jangkitan yang menyebabkan bengkak di peti suara).

Gejala atau Simptom-simptom

Gejala atau simptom selesema terhadap bayi boleh dilihat selepas 1 hingga 3 hari mereka dijangkiti. Antaranya ialah:

  • Hidung tersumbat
  • Hidung berair
  • Batuk (terutamanya pada waktu malam)
  • Demam
  • Hilang selera makan atau menyusu
  • Bersin
  • Sukar untuk menyusu kerana hidung tersumbat
  • Sukar untuk tidur
bayi selesema

Punca Bayi Selesema

Selesema adalah jangkitan pada hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh satu atau lebih 200 virus.

Rhinovirus adalah yang paling biasa menyebabkan selesema kepada bayi.

Apabila dijangkiti oleh virus, bayi anda akan menjadi imun terhadap virus tersebut. Tetapi disebabkan terlalu banyak virus yang menyebabkan selesema, bayi anda akan mengalami selesema beberapa kali dalam setahun atau sepanjang hidup mereka.

Bayi anda mungkin dijangkiti virus melalui udara, sentuhan dan permukaan yang kotor.

  • Udara: Apabila seseorang yang batuk,demam selesema atau bersin, mereka boleh menyebarkan virus kepada bayi anda. Contohnya jangkitan daripada adik beradik terdekat atau dari tempat penjagaan kanak-kanak.
  • Sentuhan: Apabila seseorang itu menghidap selesema dan menyentuh bayi anda, virus ini akan tersebar kepada bayi anda.
  • Permukaan yang kotor: Virus boleh hidup pada permukaan selama 2 jam atau lebih. Oleh itu, bayi anda boleh dijangkiti virus jika menyentuh permukaan yang kotor.

Rawatan

Kebiasaannya, selesema tidak perlu dirawat kerana ia akan sembuh dengan sendirinya. Antibiotik tidak berkesan untuk selesema kerana antibiotik adalah untuk membunuh bakteria bukan untuk virus.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan oleh anda bagi mengurangkan ketidakselesaan bayi anda.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

1. Menyedut hingus yang terkumpul

Anda boleh membantu memberikan keselesaan kepada bayi anda dengan menyedut hingus yang terkumpul. Cara ini boleh membersihkan laluan pernafasan (hidung) bayi anda daripada hingus.

Caranya ialah:

  • Gunakan
  • Picit picagari pengepam getah (rubber-bulb syringe) atau penyedut hingus bayi untuk keluarkan angin di dalamnya.
  • Masukkan sebanyak kira-kira 0.6 hingga 1.3 cm muncung penyedut hingus ini ke dalam lubang hidung bayi anda.
  • Kemudian, lepas penyedut hingus ini secara perlahan-lahan sementara muncung penyedut itu menyedut mukus (hingus) daripada hidung bayi anda.
  • Bersihkan kandungan hingus yang disedut menggunakan tisu untuk sedutan seterusnya.
  • Setelah selesai, bersihkan penyedut hingus dengan sabun dan air.

Peringatan! Sedut hingus bayi ini 2 atau 3 kali sehari sahaja bagi mengelakkan luka pada lapisan dalam hidung bayi.

2. Nipiskan hingus

Anda juga boleh membantu menipiskan hingus bagi mengelakkan hidung bayi tersumbat menggunakan normal saline nasal drop yang boleh didapati di klinik kesihatan. Kebiasaannya doktor akan memberikan normal saline nasal drop ini bagi bayi selesema.

Caranya:

  • Baringkan bayi dengan mengalaskan tuala yang digulung di bahagian belakang (bahu) supaya kepada lebih rendah sedikit daripada dada.
  • Titiskan 2-3 titis normal saline ini ke dalam setiap lubang hidung bayi anda. Biarkan selama 30-60 saat.
  • Kemudian, pegang bayi anda dengan muka terlangkup ke bawah bagi membolehkan hingus meleleh keluar.
  • Sapu hingus yang keluar menggunakan tisu lembut. Jangan gunakan cotton bud.
  • Anda juga boleh menggunakan penyedut hingus bagi membersihkan lebihan hingus (jika perlu).

3. Lembapkan udara di bilik bayi

Anda juga boleh menggunakan humidifier di dalam bilik bayi untuk mengurangkan hidung bayi tersumbat. Tukar air humidifier itu setiap hari.

4. Pastikan bayi kekal menyusu

Pastikan bayi anda kekal menyusu walaupun hidung tersumbat membuatkannya tidak selesa untuk menyusu. Hal ini penting untuk mengelakkan bayi anda daripada mengalami dehidrasi.

Malah, susu ibu boleh membantu memberi perlindungan terhadap kuman yang menyebabkan selesema.

5. Elakkan memberi ubat belian kaunter

Elakkan ubat belian kaunter untuk bayi kerana ubat-ubat ini tidak berkesan untuk kanak-kanak dibawah umur 6 tahun dan boleh memberikan kesan sampingan yang berbahaya.

Ubat belian kaunter ialah ubat-ubat yang boleh didapati di farmasi atau kedai-kedai penjagaan diri.

Sebaiknya, dapatkan rawatan daripada doktor untuk mendapatkan ubat yang sesuai bagi mereka.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Sekiranya bayi menghidap selesema tanpa komplikasi, kebiasaannya bayi anda akan sembuh sekitar 10 hingga 14 hari.

Sekiranya bayi anda berusia kurang 3 bulan, dapatkan rawatan doktor sekiranya bayi anda menghidap selesema terutamanya jika disertai demam.

Jika bayi anda berusia 3 bulan atau lebih, dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya bayi anda menunjukkan gejala-gejala seperti:

  • Suhu badan melebihi 38 darjah celcius.
  • Mata merah atau mengeluarkan cecair kuning atau kuning kehijauan di mata.
  • Tidak kencing sekerap yang biasa.
  • Sukar bernafas.
  • Batuk yang berterusan.
  • Keluar hingus berwarna hijau dan pekat selama beberapa hari.
  • Menunjukkan simptom-simptom yang membimbangkan anda.

Kemaskini terakhir pada 28 September 2020

Write A Comment