Adakah badan anda sering lesu atau tidak bertenaga? Ia mungkin disebabkan oleh kekurangan vitamin atau mineral tertentu.
Kelesuan adalah perasaan keletihan atau kelemahan yang berterusan dan boleh melibatkan fizikal, mental atau gabungan kedua-duanya. Kelesuan bukanlah satu penyakit tetapi kelesuan adalah satu gejala, gejala kepada penyakit atau masalah kesihatan lain.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan kelesuan atau badan lesu. Antaranya adalah:
- Kurang tidur
- Kurang aktiviti fizikal
- Obesiti atau mempunyai berat badan berlebihan
- Penyakit tertentu
- Tekanan emosi
- Tidak memakan makanan bernutrisi

Tidak mendapatkan makanan bernutrisi mendedahkan anda kepada risiko kekurangan nutrien tertentu. Tambahan lagi, kekurangan vitamin dan mineral tertentu boleh menyebabkan kelesuan.
Antaranya adalah:
1. Vitamin B1
Vitamin B1 atau tiamin ialah vitamin yang diperlukan oleh badan untuk menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Kesan vitamin B1 terhadap kelesuan dapat diperhatikan dalam kajian yang melibatkan 40 orang penghidap penyakit usus inflamatori yang mengalami kelesuan yang kronik. Pengambilan vitamin B1 pada dos yang tinggi didapati boleh mengurangkan kelesuan kronik yang dialami. [1]
Kekurangan vitamin B1 juga boleh menyebabkan gejala seperti kelesuan atau kelemahan otot. [2]
2. Vitamin B12
Vitamin B12 atau nama lainnya kobalamin adalah vitamin yang diperlukan oleh badan bagi memastikan darah dan sel-sel saraf anda kekal sihat.
Vitamin B12 juga boleh mencegah daripada berlakunya anemia megaloblas iaitu satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu penat dan letih.
Kekurangan vitamin B12 boleh mengakibatkan tenaga berkurangan, bersama-sama dengan kelesuan dan sesak nafas. [3]
3. Folat
Folat atau vitamin B9 ialah vitamin yang penting bagi wanita mengandung dan juga turut memainkan peranan terhadap gejala kelesuan dan badan lesu.
Kekurangan folat juga boleh menyebabkan anemia megaloblas yang menyebabkan gejala-gejala seperti kelesuan, kelemahan, sakit kepala dan sesak nafas.
Kelesuan dan kelemahan biasanya muncul pada peringkat lanjut, tetapi boleh dilihat pada tahap anemia yang lebih ringan bagi sesetengah pesakit, terutamanya orang tua. [4]
4. Zat Besi
Kekurangan zat besi juga boleh menjadi penyebab kepada kelesuan.
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia kekurangan ferum (zat besi). Anemia kekurangan ferum ini menyebabkan gejala-gejala seperti kelesuan, kelemahan atau sesak nafas.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa terdapat keadaan di mana kekurangan zat besi tanpa anemia boleh menyebabkan kelesuan. Namun, perkaitannya tidaklah ketara. [5]
5. Magnesium
Magnesium juga adalah mineral yang penting kepada badan. Magnesium terlibat dalam pelbagai proses di dalam badan seperti mengawal selia fungsi otot dan saraf, mengawal paras gula darah dan tekanan darah serta terlibat dalam penghasilan protein, tulang dan DNA.
Salah satu tanda awal kekurangan magnesium ialah kelesuan yang kerap. Selain itu, gejala kelesuan ini mungkin diikuti dengan gejala-gejala seperti hilang selera makan, berasa lemah, tidak bermaya atau kekejangan otot. [6]
6. Kalium (potassium)
Kalium (potassium) adalah mineral sangat penting kepada badan. Mineral kalium juga boleh diperolehi daripada kebanyakan makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan.
Badan manusia memerlukan mineral kalium untuk hampir kesemua fungsinya. Contohnya, mineral ini diperlukan untuk pengecutan otot, fungsi jantung dan buah pinggang.
Kekurangan mineral kalium boleh menyebabkan badan menjadi lesu. Hal ini demikian kerana mineral ini memberi kesan terhadap bagaimana badan menggunakan nutrien.
Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa kekurangan kalium boleh menjejaskan penghasilan insulin. Akibatnya, ia boleh menyebabkan paras gula darah yang tinggi dan kekurangan glukosa yang bertindak sebagai tenaga kepada sel-sel badan. [7]
Rumusan
Kelesuan atau badan lesu bukanlah satu penyakit atau masalah kesihatan. Sebaliknya, ia adalah gejala kepada masalah kesihatan yang lain.
Kekurangan nutrien tertentu boleh menjadi punca atau penyebab kepada kelesuan. Kekurangan vitamin B1, B12, folat, zat besi, magnesium dan kalium boleh menyebabkan gejala seperti kelesuan, kelemahan atau tidak bertenaga.
Rujukan
- Bager, P. et al. (2021). Randomised clinical trial: high-dose oral thiamine versus placebo for chronic fatigue in patients with quiescent inflammatory bowel disease. Alimentary pharmacology & therapeutics.
- Hammond, N. et al. (2013). Nutritional neuropathies. Neurologic clinics.
- Stabler S. P. (2013). Clinical practice. Vitamin B12 deficiency. The New England journal of medicine.
- Lanier, J. B. et al. (2018). Anemia in Older Adults. American family physician.
- Yokoi, K., & Konomi, A. (2017). Iron deficiency without anaemia is a potential cause of fatigue: meta-analyses of randomised controlled trials and cross-sectional studies. The British journal of nutrition.
- Gröber, U. et al. (2015). Magnesium in Prevention and Therapy. Nutrients.
- Stone, M. S. et al. (2016). Potassium Intake, Bioavailability, Hypertension, and Glucose Control. Nutrients.