Terdapat banyak faktor atau perkara yang boleh menjadi penyebab kepada ekzema. Sesetengahnya mungkin mudah untuk dikenalpasti, manakala sesetengah yang lain mungkin sedikit sukar.
Ekzema ialah penyakit keradangan kulit yang menyebabkan kulit kering dan tompok-tompok gatal.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan ekzema. Ini termasuklah faktor genetik, sistem imun, persekitaran dan emosi.

Ekzema menjejaskan setiap individu dengan cara berbeza-beza. Apa yang menyebabkan simptom-simptom anda tercetus mungkin tidak mencetuskan orang lain yang turut menghidap ekzema.
Terdapat beberapa penyebab yang lazimnya menyebab ekzema tercetus, antaranya adalah:
1. Perengsa
Sesetengah simptom-simptom ekzema boleh meradang sebagai tindak balas kepada perengsa tertentu. Perengsa biasa yang boleh mencetuskan ruam termasuk:
- Pewangi tiruan seperti yang digunakan di dalam produk mandian, kosmetik dan pencuci.
- Asid seperti cuka dan jus lemon
- Alkali seperti soda penaik
- Produk pencuci seperti detergen
- Geseran
Perengsa boleh merosakkan penghalang kulit dengan menghilangkan minyak dan kelembapan. Jika kerosakan berterusan sebelum kulit sempat dibaiki, ini boleh mengakibatkan dermatitis sentuhan perengsa.
Selepas mengenal pasti perengsa yang menyebabkan ruam, penghidap ekzema boleh mengelakkannya.
2. Udara Kering, Kelembapan dan Haba
Penghidap ekzema mungkin mendapati simptom-simptom menjadi lebih teruk dalam iklim, musim atau semasa perubahan bermusim tertentu.
Tambahan lagi, kajian pada 2020 turut melaporkan bahawa suhu dan kekurangan kelembapan di udara boleh mencetuskan kegatalan bagi mereka yang mempunyai dermatitis atopik. [1]
3. Tekanan (Stres)
Tekanan atau stres boleh menjadi salah satu penyebab kepada tercetusnya ekzema.
Satu kajian mendapati bahawa stres adalah pencetus kegatalan yang ketara bagi penghidap dermatitis atopik. [1]
Stres boleh menyebabkan keradangan di dalam badan. Ini menjelaskan kenapa ia memburukkan lagi simptom-simptom asma.
4. Kulit Kering
Sesetengah orang secara semula jadi terdedah kepada kulit kering tanpa mengira persekitaran mereka.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai ekzema atopik mungkin mempunyai kulit yang lebih telap disebabkan oleh sifat genetik, menyebabkan tahap kelembapan yang lebih rendah.
5. Perubahan Hormon
Terdapat juga bukti kajian yang mendedahkan bahawa perubahan hormon boleh menjadi penyebab kepada keterukan ekzema seperti dermatitis atopik.
Satu kajian oleh pengkaji dari Jepun mendapati kanak-kanak perempuan lebih berkemungkinan mendapat dermatitis atopik selepas akil baligh. Namun, sebelum baligh, sebaliknya berlaku. [2]
Para penyelidik mencadangkan bahawa ini mungkin disebabkan oleh hormon seks dan kesannya terhadap sistem imun.
Ini mungkin menjelaskan mengapa sesetengah wanita mendapati ekzema mereka bertambah baik atau bertambah teruk pada titik tertentu dalam kitaran haid atau semasa kehamilan.
6. Terdedah Kepada Air
Terlalu kerap terdedah kepada air juga boleh memburukkan lagi ekzema dan menyebabkan kulit menjadi kering.
Walaupun ia adalah amalan yang baik, namun kerap membasuh tangan boleh menyebabkan ekzema pada tangan menjadi lebih teruk.
Ini termasuklah membasuh menggunakan sabun, air panas dan pensanitasi.
7. Mikrob
Sesetengah mikrob seperti bakteria, virus dan kulat (fungi) juga boleh memainkan peranan bagi ekzema tertentu.
Sebagai contohnya:
- Staphylococcus aureus: Penghidap dermatitis atopik lebih berkemungkinan mempunyai bilangan bakteria jenis ini yang lebih besar pada kulit mereka.
- Herpes: Virus herpes simplex yang menyebabkan kudis atau herpes mulut, boleh menjejaskan kawasan kulit yang lebih luas. Apabila ia berlaku, ia menyebabkan sejenis ekzema yang dikenali sebagai ekzema herpeticum.
- Malassezia: Fungai atau yis jenis ini berlaku pada kulit orang yang mempunyai dermatitis seboroik. Ia boleh menyebabkan kelemumur dan ruam gatal.
8. Alergen
Penghidap dermatitis atopik boleh juga menghidap alahan makanan dan dermatitis atopik ini juga boleh berlaku bersama-sama asma atau rinitis alergi.
Walaupun ekzema bukanlah simptom bagi tindak balas alahan, penghidap kedua-dua ekzema dan alahan mungkin mendapati simptomnya bertambah teruk apabila mereka mengalami alahan.
9. Peluh
Berpeluh adalah satu lagi pencetus ekzema yang biasa. Ini mungkin disebabkan oleh kulit yang lembap atau kerana peningkatan suhu badan.
10. Hama Habuk
Jika seseorang mempunyai simptom ekzema tanpa sebarang pencetus yang jelas, hama habuk mungkin menjadi penyebabnya.
Hama habuk adalah makhluk mikroskopik yang hidup pada komponen habuk. Tidak seperti pepijat, hama habuk bukan parasit, tetapi sesetengah orang boleh mengalami tindak balas alahan atau sensitiviti terhadap najis hama ini.
11. Asap Rokok
Menghisap rokok juga boleh memburukkan lagi simptom-simptom ekzema seperti dermatitis atopik.
Ini berdasarkan satu kajian pada tahun 2021 yang mendapati mereka yang merokok mempunyai simptom-simptom dermatitis atopik yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak. [3]
American Academy of Dermatology Association juga turut menyatakan bahawa pendedahan kepada asap rokok boleh mencetuskan atau memburukkan simptom-simptom ekzema pada kanak-kanak.
12. Sisik Haiwan Peliharaan
Jika ekzema seseorang kelihatan semakin teruk di sekeliling haiwan peliharaan atau haiwan lain, sisik haiwan tersebut mungkin menjadi pencetus.
Haiwan peliharaan menanggalkan sel-sel kulit dalam sisik dari bulu, kulit dan mulut.
13. Selaran Matahari atau Terdedah Cahaya Matahari
Sesetengah orang mungkin mendapati bahawa selaran matahari atau pendedahan terhadap cahaya matahari memburukkan atau mencetuskan simptom-simptom ekzema.
Rumusan
Terdapat banyak penyebab yang berpotensi untuk menyebabkan ekzema semakin teruk. Ini termasuklah perubahan cuaca, perubahan hormon, perengsa, stres dan air.
Mengenal pasti pencetus ini boleh membantu seseorang menguruskan ekzema mereka dan mengurangkan simptom-simptom.
Rujukan
- Silverberg, J. I. et al. (2020). Association of itch triggers with atopic dermatitis severity and course in adults. Annals of allergy, asthma & immunology.
- Kanda, N. et al. (2019). The Roles of Sex Hormones in the Course of Atopic Dermatitis. International journal of molecular sciences.
- Pilz, A. C. et al. (2022). Atopic dermatitis: disease characteristics and comorbidities in smoking and non-smoking patients from the TREATgermany registry. Journal of the European Academy of Dermatology and Venereology.